in

LoveLove

Merdeka Buat Anak Merdeka!

Merdeka, pastinya hari yang berbahagia buat semua rakyat Malaysia dan  kebahagiaan itu berganda buat ku kerana ia adalah hari aku dilahirkan. Tanggal 31  Ogos 1991, jam 9:00 pagi lahirnya seorang aku. Tarikh lahir yang mungkin tidak akan  dilupakan oleh insan-insan terdekat dengan ku. Ingat merdeka ingat aku. Aku merasa  istimewa dengan rezeki lahir sebagai anak merdeka ini. Malah setiap orang yang  mengetahui tarikh lahir ku akan berkata aku sungguh bertuah. 

Aku lahir dalam keluarga yang serba kekurangan tetapi di hari penuh bahagia ini,  ibuku akan cuba sedaya upaya untuk membahagiakan aku dengan memasak juadah  untuk majlis sambutan hari lahirku iaitu bihun goreng dan keropok. Walaupun ringkas  tetapi ia sangat bermakna kerana aku dapat menjemput kawan-kawanku datang  ke rumah. Makan dan main bersama-sama. 

Pada malam ambang merdeka pula, ayah akan membawa kami ke dataran untuk  melihat bunga api dan lampu-lampu cantik di sekitar bandar Kota Bharu. Kami tiada  kereta, ayah akan membawa balik pulang lori kilangnya dengan izin dari majikan.  Kami akan menaiki van tersebut beramai-ramai. Sungguh aku sangat bahagia. Bagi 

anak kampung seperti ku berpeluang melihat lampu-lampu cantik begitu mengujakan dan pengalaman yang indah. Hati ku turut disinari cahaya harapan. Harapan untuk  aku mengubah hidup kami dan berbakti buat ibu ayah ku. 

Semasa di bangku sekolah, aku akan diraikan di pentas apabila sambutan hari  kemerdekaan diadakan. Pihak sekolah akan menyediakan kek dan hadiah buat ku. Begitulah aku diraikan saban tahun. Terima kasih sekolahku, Sekolah Menengah  Kebangsaan Putri Saadong. Aku merasai begitu dihargai dan diraikan. 

Kini aku telah dewasa, beberapa hari lagi genaplah umurku 30 tahun. Di usia begini  tidak lagi ku harapkan sambutan atau hadiah daripada sesiapa pun. Aku lebih ingin  memberi bukan menerima. Ingin ku raikan insan-insan tersayang di hari bahagiaku  sebagai tanda kesyukuranku. Masih lagi bernafas di bumi bertuah ini. Masih sihat dan  bebas walau sekarang segalanya terbatas dek penangan wabak Covid-19. Tapi aku  yakin semuanya akan berakhir jua. Ayuh Malaysia kita pasti menang! 

Aku mengharapkan kebahagian buat semua orang, buat semua kenalan dan rakyat  Malaysia. Aku tahu semua sedang teruji dan punya cerita masing-masing. Punya  kesusahan dan perjuangan tersendiri. Perjuangan tidak akan berhenti selagi kita  bernafas. Terus bangkit dan berjuang. Dengan izinNya Kita pasti MERDEKA dalam  setiap perjuangan kita. 

Semua pengalaman hidup ini mengajarku untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang  aku ada, untuk aku sentiasa menghargai. Menghargai apa yang ada di sekelilingku dan menghargai kemerdekaan ini. Aku bahagia dan kini aku melihat bahagia itu dari  sudut yang berbeza.  

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! 

Bebaskan jiwa dari belengu derita, 

Bebaskan jiwa dari terus berkeluh kesah, 

Bersama kita satukan hati, 

Berganding bahu saling membantu, 

Tanpa mengira kau dan aku, 

Kerna kita semua adalah SATU.

Catatan peribadi,

TINA – Anak Merdeka 

Kampung Padang Salim, Kota Bharu. 

Sambutan hari Kemerdekaan dan ulang tahun kelahiran pada tahun  2019 di Kenaboi, Negeri Sembilan. 
Sambutan hari Kemerdekaan ulang tahun kelahiran  pada tahun 2020 di Bukit Melati,  Neg

Merdeka 2021: Antara Memori dan Muatan Pengisian

Industri Penerbitan dan Media Cetak Pasca Covid-19