in

Aku, Malaysia dan Merdeka

Tahun ini genap 64 tahun Merdeka dilaungkan. Bendera Malaysia berkibar megah. Sudah tentu kau tidak lupa detik bersejarah 64 tahun yang lepas, saat pertama kali Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan kalimah keramat Merdeka! Aku belum melihat dunia lagi ketika itu. Malaysia pula masih dengan gelaran Persekutuan Tanah Melayu.

Kau masih ingat saat terkuburnya Malayan Union pada bulan Januari 1948? Ia merupakan kekalahan pihak Inggeris di Tanah Melayu. Tanggal 1 April 1946 menjadi detik yang tidak akan pernah dilupakan oleh penduduk Tanah melayu kerana Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat disatukan di bawah Malayan Union. Orang yang dipilih untuk menjadi Pemerintah Tertinggi ialah Sir Edward Gent.

Ah, Inggeris memang begitu. Tidak habis-habis hendak memainkan kedudukan Tanah Melayu dan Raja-Raja Melayu. Padahal kita hanya berada di bawah naungan British melalui perjanjian sejak tahun 1874, tetapi Inggeris tanpa segan silu mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai koloni melalui rancangan Malayan Union mereka.

Namun, yang lebih menggembirakan lagi adalah tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu setelah gagasan Malayan Union berjaya diruntuhkan. Negeri-Negeri Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka bergabung untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Peristiwa ini menjadikan kedaulatan Raja-Raja Melayu dikembalikan semula. Usaha Tunku Abdul Rahman ternyata telah menaikkan semangat yang berkobar- kobar dalam kalangan penduduk Tanah Melayu untuk hidup bebas daripada cengkaman Inggeris.

Aku jadi terkenang ceritamu tentang Tunku Abdul Rahman. Ya, Tunku bukan calang-calang orang. Darah Nasionalisme sentiasa mengalir dalam tubuh beliau sehingga ke hujung hayatnya. Aku sebagai generasi yang lahir selepas Merdeka seharusnya berbangga dengan pelan dan tindakan Tunku untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas dari kongkongan penjajah. Tidak pelik kalau Tunku digelar Bapa Kemerdekaan kerana dengan kegigihan beliau, namamu masih disebut-sebut sehingga sekarang.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Kau juga maklum, bukan? Kesungguhan Tunku tidak berhenti setakat itu sahaja. Setelah Persekutuan Tanah Melayu Merdeka, keinginan beliau begitu membuak-buak untuk turut membebaskan Wilayah Borneo dari penjajahan Inggeris, seterusnya membentuk Malaysia, negara yang sedang kita berteduh saat ini. 

Kau harus tahu apa yang membuatkan aku bangga dengan datuk nenek moyang kita dahulu? Mereka sanggup mengorbankan harta benda yang ada untuk disumbangkan kepada Rombongan Kemerdekaan Tunku yang akan menuju ke England. Sokongan mereka kepada usaha Tunku tidak pernah padam.

Dengan izin Allah urusan menuju kemerdekaan di Bumi Inggeris membuahkan hasil. Akhirnya laungan Merdeka bergema dengan dengan penuh sukacita pada tanggal 31 Ogos 1957. Kemudian, beberapa tahun selepas itu, lahirlah Malaysia setelah melalui pelbagai mehnah dan cabaran dalam tempoh pembentukannya. Aku yakin, sejak dari itu, Malaysia tidak pernah lelah berjuang sebagai sebuah negara yang baru Merdeka sehingga ke hari ini.

Tanggal tiga puluh satu, bulan lapan lima puluh tujuh, Merdeka, Merdeka tetaplah Merdeka. Ia pasti menjadi Sejarah.

Aku pernah bertanya kepada Malaysia bagaimana keadaannya pasca Merdeka. Katanya banyak perubahan berlaku sejak mengenalimu. Wujud pembaharuan di sana sini hasil kerja keras para pemimpin. Malaysia berkembang seiring sejalan dengan kemerdekaan yang diraih dari tangan penjajah. Dia kelihatan begitu bangga. Tiba-tiba, riak wajahnya berubah serta merta lantas menyambung perbualan. Apa gunanya kalau hanya Malaysia yang Merdeka, tetapi pemikiran para penghuninya masih lagi dijajah, tidak bebas. Mahu dibawa ke mana gagasan ini. Ledakan kemarahannya jelas kedengaran. 

Merdekakan dirimu, merdekakan pemikiranmu Kata-kata itu bagaikan menari-nari di cuping telingaku. Betapa besarnya tanggungjawab kita untuk berperanan sebagai generasi yang merdeka dari setiap aspek, tidak kira di mana berada dan apa jua jawatan yang disandang. Aku ingin sekali mengajak kalian untuk kita bersama-sama memerdekakan diri dan pemikiran. 

Pilihan sudah berada di tangan kita. Seandainya pilihan yang ada kita sia-siakan, apakah nasib generasi akan datang? Aku sedar, bukan mudah untuk meraih sesuatu kejayaan, apatah lagi untuk mengekalkan momentum tersebut. Tetapi yakinlah bahawa tujuan yang sama akan mempertemukan kita dalam perjalanan menuju penambahbaikan untuk tanah air tercinta. Adakah tujuan kita masih sama?

Aku akan sentiasa mendoakanmu, Malaysia. Semoga kau sentiasa berada dibawah lembayung Rahmat dan Redha Allah. Selamat ulang tahun Kemerdekaan yang ke-64 untuk tanah tumpah darahku, dulu, kini dan selamanya. Dirgahayu Malaysia Merdeka. Inilah tanah pusaka tinggalan nenek moyang kita yang mesti dikenang dan disanjung oleh generasi demi generasi.

Nukilan,

Hasni Syakila

Asas Kemerdekaan Jiwa Manusia

Puisi-Puisi Kemerdekaan