Tahun ini sekali lagi kita menyambut bulan kemerdekaan dalam suasana yang masih berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19. Bilangan kes positif baharu dan kematian harian tinggi yang direkodkan terus mencemaskan masyarakat. Ini sekali gus mengingatkan semua betapa perlunya setiap seorang daripada kita memikul tanggungjawab dan terus berkorban untuk negara khususnya dalam konteks melindungi diri, keluarga dan masyarakat sekeliling demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Hakikatnya selepas 64 tahun usia kemerdekaan kita sedang berhadapan dengan dua krisis yang cukup membimbangkan, iaitu krisis kesihatan dan ekonomi berpunca daripada serangan pandemik Covid-19. 

Ironinya, cukup besar dugaan dan cabaran yang sedang kita hadapi sekarang, namun mahu tidak mahu kita perlu harungi bersama dan tidak mungkin dapat lari daripadanya. Krisis kesihatan dan ekonomi ini misalnya bukan saja melanda negara kita tetapi pandemik telah menyebabkan keseluruhan kehidupan masyarakat dunia terjejas teruk. Sistem kesihatan dan ekonomi hampir seluruh dunia terkesan dan masih sedang bergelut untuk keluar daripadanya.

Justeru kita tidak boleh cepat mengalah mahupun putus asa. Inilah masanya untuk mengetepikan segala jenis perbezaan pandangan, ideologi mahupun perselisihan yang ada sekali gus mengukuhkan perpaduan demi menyelamatkan diri, keluarga dan anggota masyarakat yang lain. Tuntasnya, negara kita adalah tanggungjawab kita bersama. 

Sesungguhnya kita sedang berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu virus COVID-19, jika kita sepakat dan saling bekerjasama pasti boleh memenangi peperangan ini dengan cepat dan mudah. Namun hakikatnya masih ramai yang tidak sedar perkara ini sebaliknya suka mencetuskan pelbagai masalah sehingga mengganggu segala usaha untuk menangani kedua-dua krisis besar ini.

Misalnya masih ramai yang degil dan tidak mahu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Walaupun majoriti memberikan kerjasama yang baik, namun tindak tanduk kumpulan minoriti yang acuh tak acuh ini bukan saja membahayakan diri sendiri dan keluarga tetapi turut mengancam keselamatan anggota masyarakat yang lain. 

Akibatnya bilangan kes baharu terus meningkat di samping kemunculan pelbagai kluster baharu di seluruh negara. Apakah kita tidak boleh mengorbankan sedikit keegoan dan kedegilan demi melindungi diri dan orang lain sekali gus mengembalikan kesejahteraan hidup rakyat?

Di samping itu bagi kelompok yang tidak begitu terjejas akibat penutupan sektor ekonomi serta masih mampu menjana pendapatan dan meneruskan kehidupan seperti biasa, diharap dapat melakukan sedikit pengorbanan dengan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukannya. 

Harus diingat kadar pengangguran semakin membimbangkan, ramai yang hilang kerja lantas putus sumber pendapatan secara total. Akibatnya, kelompok ini bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup dan kita dapat lihat semakin ramai mula mengibarkan bendera putih. 

Mufti WP Beri Penjelasan Hukum Kibar Bendera Putih Minta Bantuan

Bagi yang berkemampuan, inilah masanya untuk melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di samping menambah pahala masing-masing. Ringkasnya, berkongsilah rezeki dengan orang lain. Jangan lupa dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Menghulurkan bantuan atas semangat prihatin di saat genting seperti ini adalah suatu pengorbanan yang cukup besar dan signifikan kepada rakyat dan negara.

Hakikatnya pada hari ini kita tidak perlu mengangkat senjata mahupun mengorbankan jiwa dan raga untuk berperang mempertahankan kedaulatan negara daripada penjajah. Zaman itu sudah berlalu, dan terima kasih kepada generasi terdahulu yang telah melakukan pengorbanan tersebut demi kesejahteraan generasi hari ini.

Namun tuntutan pengorbanan pada hari ini agak berbeza jika dibandingkan ketika zaman penjajahan dahulu. Hal ini kerana mempertahankan kemerdekaan serta mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan rakyat serta negara kelihatan lebih sukar berbanding memperoleh kemerdekaan.

Walaupun sudah merdeka itu bukan bermaksud kita hanya perlu berpeluk tubuh sebaliknya negara ini masih memerlukan pengorbanan yang ikhlas dan jujur dari setiap warganya demi kelangsungan kemerdekaan dan kestabilan bumi tercinta ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk menterjemahkan semangat patriotisme yang tinggi melalui budaya pengorbanan yang mampu mempertahankan kemerdekaan dan mengekalkan kestabilan serta kesejahteraan rakyat. Seperti kata bekas Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy, 

“Jangan tanya apa sumbangan negara kepada anda tetapi tanyalah apa sumbangan anda kepada negara.”

Disediakan oleh,

Noor Mohamad bin Shakil Hameed

Pentadbir Universiti dan Penganalisis Isu Semasa

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.