in

Agnes Keith, Sejarah Penulis Inggeris di Borneo

Sejak dahulu lagi kerap terdengar buah mulut orang yang bercerita tentang Rumah Agam Agnes Keith. Namun, baru kali ini berpeluang memberanikan diri bertandang ke sini. Siapakah Agnes Keith ? Apakah kaitan beliau di bumi Borneo ini? Saya akan cerita serba sedikit disini. Pada tahun lepas, saya dan dua orang lagi sahabat, berpeluang melawat rumah Agam Agnes Keith yang terletak di Jalan Istana, Sandakan Sabah. Mengunjungi tempat bersejarah di tanah kelahiran tercinta sudah menjadi minat dan hobi yang tegar.

Agnes Newton Keith lahir pada 6 julai 1901 di Illionos, Amerika Syarikat. Beliau seorang wartawan di syarikat The Sun Francisco Examiner pada tahun 1924. Pada tahun 1934 beliau telah dikahwini lelaki British yang bertugas sebagai Pegawai Konservator Hutan sejak tahun 1925 di Sandakan. Perkara inilah yang telah mendorongnya berhijrah ke Sandakan dan tinggal dirumah penuh bersejarah ini. 

Agnes Keith dan Suaminya Harry Keith serta anaknya George merupakan penghuni kedua rumah ini selepas M.M Clark. Negeri Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara pada ketika itu telah menawan hati Agnes Keith dan dia mulai menuliskan tentang keindahan negeri Sabah sepanjang tinggal di bumi Borneo itu. Antara buku pertamanya Land Below The Wind (memenangi anugerah buku bukan fiksyen terbaik, Atlantic Monthly) pada tahun 1939.

Agnes Keith dan keluarganya telah pulang ke Amerika Syarikat kerana perang dunia kedua mulai meletus. Setelah peperangan berakhir beliau kembali semula ke Rumah Agam itu dan didapati rumah tersebut telah pun musnah teruk. Lalu, rumah Agam itu dibina semula dan diberi julukan baru iaitu ‘Newsland’.

Agnes Newton Keith merupakan seorang penulis buku yang dikagumi dunia walaupun hidup di zaman era peperangan. Masa menulisnya tidak terhenti walaupun banyak menghabiskan waktu hidupnya semasa di penjara. Hasil karya beliau, sehingga ke hari ini Sabah masih menyandang gelaran Bumi Di Bawah Bayu. 

Disebabkan kecintaan Agnes Keith dalam dunia penulisan maka terhasil sebuah buku yang berjudul Three Came Home pada tahun 1946. Buku ini sarat dengan erti perjuangan yang berkisarkan pengalaman Agnes Keith dan keluarganya semasa menjadi tahanan perang selama tiga tahun setengah di Berhala, Sandakan.

White Man Returns adalah buku beliau yang diterbitkan pada tahun 1951. Buku ini tentang perjalanan beliau dan keluarganya selepas dibebaskan daripada tahanan Jepun di Borneo.

Sayangnya pada tahun 1952 Agnes Keith dan keluarganya pulang ke Amerika Syarikat buat selama-lamanya. Meskipun begitu, beliau tetap konsisten dan aktif dalam berkarya dan telah menerbitkan lagi beberapa buah bukunya.

Bare Feet In The Palace, buku keempat terbit pada tahun 1955. Buku yang menceritakan pengalaman beliau dan keluarganya selama 18 bulan di Filipina.

Buku Kelima, Children Of Allah Between in The Sea And The Sahara pada tahun 1966 terhasil selepas dua tahun Agnes Keith dan Herry Keith meninggalkan Libya. 

Buku keenam beliau terbit pada tahun 1972 iaitu Below Exiles, merupakan novel cinta beliau di Sandakan. Agnes mengambil masa 30 tahun untuk menyiapkannya selepas bersara di Victoria, Kanada. 

Buku ketujuh dan terakhir berjudul Before The Blossom Fall Life And Death In Japan diterbitkan pada tahun 1975 selepas perjalanan Agnes Keith dan suaminya ke Jepun yang ditaja oleh Yayasan Jepun.

Sempat saya lihat sendiri peninggalan milik peribadi Agnes Keith seperti radio lama jenama Bush buatan London, England. Mesin Taip, jenama Remigston dan mesin jahit jenama Vickers yang juga buatan British. Ruang rumah dua tingkat dipenuhi perabot lama dan masih terjaga rapi hingga ke saat ini.

Rumah Agam Agnes Keith telah dibiar usang begitu lamanya. Muzium Negeri Sabah telah mengambil inisiatif untuk memulihkan semula rumah Agam tersebut dan dikenali sebagai Agnes Keith House secara rasmi pada 16 April 2004.

Sebagai penutup bicara kata, pada sesiapa yang ingin menikmati dan merasai zaman kolonial segeralah berkunjung dan melihat peninggalan barangan antik milik Agnes Newton Keith. Harga tiket hanya berharga RM 2 perseorangan sahaja. Selamat mengembara!


Disediakan oleh,

Syuhara Suriati

Leave a Reply

Loading…

Mengapa Lelaki Sukar Untuk Setia?

Semakin Saya Jauh, Semakin Saya Rindu Malaysia