Pengalaman mengembara ke sesuatu tempat tentulah meninggalkan impak yang berbekas di hati dan fikiran. Lebih-lebih lagi jika tempat itu berbeza pada serba-serbi aspek dengan tempat kita sendiri. Apabila kita pergi ke sesuatu tempat, kita bukan sahaja membawa bekalan dan barangan peribadi, tetapi kita juga membawa diri yang bersamanya ialah ilmu pengetahuan, pengalaman, dan cara pandang dunia yang tersendiri. Kita juga tidak akan menempuh satu pengalaman yang sama untuk kali kedua walaupun pergi ke tempat yang sama berkali-kali. Tambahan pula jika kita pergi sekali lagi pada usia yang berbeza.

Pengalaman pergi ke Bandar Ho Chi Minh, Vietnam pada usia 18 tahun tentulah membentuk satu pengalaman unik yang pasti tidak akan berulang jika aku direzekikan ke sana sekali lagi. Pada usia yang dikatakan dalam fasa mencari identiti diri dan suka memberontak, sungguh banyak persoalan kehidupan yang masih tidak terjawab. Bak kata peribahasa, “kelapa muda tak berminyak”; banyak lagi perkara dalam dunia ini yang masih belum ditempuh dan dilihat. Maka, tentulah pengalaman pergi ke negara orang membuka jalan untuk aku melihat sisi lain kehidupan ini.

Aku ibaratkan peluang pergi ke Bandar Ho Chi Minh seperti diberi anak patung untuk memujukku yang sedang menangis. Pada semester kedua di Taylor’s College, aku cuba mendaftar kelas Sociology I yang diajar oleh Dr. Adnan Omar, seorang ahli psikologi yang mempunyai kepakaran dalam bidang kajian bunuh diri, tetapi tidak berjaya. Aku ditempatkan dalam kelas yang diajar oleh Puan Parvinder Singh, salah seorang pensyarah kegemaranku yang turut mengajar General Psychology. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku; salah satu aktiviti kelas dengan Puan Parvinder ialah program kesukarelawanan di Vietnam.

Imej yang terlintas apabila memikirkan Vietnam ialah sebuah negara miskin, kurang maju, dan kotor. Aku sendiri membayangkan tiada kemudahan asas akan disediakan di hotel tempat kami bakal menginap iaitu Hotel Top of the World, walaupun namanya sungguh gah untuk disebut. Aku siap membawa cerek elektrik, peralatan mandian, dan serba-serbi barangan yang aku tidak mungkin terfikir untuk bawa bersama jika pergi ke hotel di Malaysia.

Tanggapan pertama aku ketika tiba pada waktu malam di hotel itu sendiri sudah meleset jauh. Cocoklah nama hotel itu sebegitu rupa. Belum habis kekaguman aku di lobi, aku dan rakanku, Rahmah, teruja dan kagum sekali lagi apabila kami ditempatkan di satu-satunya bilik VIP di hotel itu. Bilik yang paling besar dan punya tingkap di keseluruhan dinding menghadap jalan di hadapan hotel itu tentulah menjamin pemandangan hiruk-pikuk kehidupan harian penduduk yang tidak jemu untuk dilihat. Vietnam mungkin tidaklah seteruk yang aku bayangkan.

Pada hari pertama di Bandar Ho Chi Minh, kami melawat ke Pagoda Dieu Giac. Di situlah kami akan seharian melakukan aktiviti kesukarelawanan. Selain sebagai sebuah pagoda, ia juga pusat yang menempatkan lebih daripada 100 orang kanak-kanak yang punya pelbagai isu dalam keluarga dan majoriti mereka ialah anak yatim. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Tugas-tugas yang perlu dilakukan ialah kerja di dapur, membersihkan halaman, dan memandikan kanak-kanak. Sejujurnya, tiada satu tugas pun yang aku suka. Aku sendiri memikirkan jika aku punya tekad untuk melaksanakan tugas yang diberi. Namun, jika diikutkan juga kehendak diri, tentulah aku melepaskan peluang yang tidak mungkin akan kembali. Aku persoalkan diri sendiri; mengapa tidak aku cuba melakukan sesuatu yang aku tidak suka demi manfaat manusia lain? Mengapa tidak aku cuba meletakkan diri pada posisi yang aku tidak suka demi memahami apa yang ditempuh oleh manusia lain?

Sepanjang tempoh aku membersihkan halaman, aku mengenangkan kanak-kanak di situ yang kurang bernasib baik dan tidak punya banyak pilihan dalam kehidupan. Mereka mungkin akan memilih untuk membesar dalam suasana yang berbeza jika pilihan itu ada di tangan mereka. Kehidupan kami bagai langit dengan bumi. Tiada kehidupan alternatif lain yang mereka ketahui wujud melainkan apa yang aku lihat sebagai kepayahan. Tidak mungkin aku berdaya menempuh kehidupan mereka.

Budaya memuliakan tetamu ialah satu bahasa universal yang dikongsi oleh sekalian manusia dan tidak sukar bagi sesiapa pun untuk memahami dan merasainya. Kebetulan kami hadir pada hari yang mana mereka meraikan Dewi Rahmat, atau dikenali sebagai Quan Yin. Pada hari tersebut, mereka tidak dibenarkan makan sebarang produk berasaskan haiwan. Aku berpeluang merasa daging olok-olok, atau mock meat, yang dibuat daripada kacang soya pada waktu makan tengah hari. Pihak pengurusan dan kanak-kanak di situ melayan kami dengan begitu mesra sepanjang kami berada di situ.

Pada hari ketiga, kami melawat Terowong Cu Chi iaitu salah satu destinasi wajib kunjung jika ke Bandar Ho Chi Minh. Terowong Cu Chi menjadi saksi pada sejarah penting yang membentuk identiti negara Vietnam. Di terowong bawah tanah itulah yang menjadi kubu pertahanan dan persembunyian bagi tentera dan rakyat Vietnam ketika menentang tentera Perancis dan Amerika Syarikat. Sudah tentu pengalaman aku menelusuri terowong yang sudah dibesarkan keluasannya untuk jarak hanya 30 meter tidak akan pernah sama dengan pengalaman penduduk Vietnam ketika tempoh peperangan yang sudah pun membina keseluruhan kehidupan mereka di bawah tanah untuk bertahun-tahun lamanya. Itu semua menunjukkan ciri-ciri kecekalan dan kepintaran penduduk Vietnam untuk terus hidup dengan serba-serbi kepayahan.

Terowong Cu Chi, Vietnam

Satu perkara yang aku sedari sepanjang berada di Bandar Ho Chi Minh ialah ramai penduduk di sana yang asyik memandang kami. Hanya aku dan tiga lagi rakanku dalam kumpulan kami yang memakai tudung dan barangkali itu menarik perhatian mereka. Ada seorang wanita bertanya kepada kami kenapa kami berpakaian sebegitu. Sukar untuk kami jelaskan sebabnya kerana dia sendiri tidak fasih berbahasa Inggeris. Situasi yang lebih kurang sama ketika aku cuba untuk meminta izin daripada seorang remaja perempuan untuk menggunakan satu ruang kecil di Pagoda Dieu Giac untuk solat. Aku kira, penduduk di situ kurang terdedah dengan budaya dan agama lain kerana Muslim sendiri tidak ramai di situ.

Pada malam terakhir kami di Bandar Ho Chi Minh, aku dan Rahmah turun ke lobi. Asalnya kami mahu menggunakan komputer di situ, tetapi kedua-dua komputer sedang digunakan. Lantas Rahmah berkata, “Syamim, jom keluar!” Wang tidak dibawa, sebarang dokumen pengenalan diri juga tidak dibawa. Hanya berbekalkan telefon bimbit (ya, telefon bimbit, belum lagi telefon pintar) yang tidak dapat digunakan kerana tiada kad SIM Vietnam, kami keluar sahaja dengan yakin dan berani tanpa memberitahu sesiapa. Itu bukanlah satu-satunya waktu aku melakukan kerja gila sebegitu. Maklumlah, akal masih dangkal. Aku kira, kedangkalan akal aku menimbang risiko keluar lewat malam seperti itu membuka peluang aku berhadapan dengan situasi yang mungkin tidak ditempuh jika aku lebih rasional membuat keputusan.

Kami keluar dan menggunakan jalan yang sama kami lalui ketika pulang dari Pasar Ben Thanh pada petang itu. Jauh juga jarak perjalanan kami yang hanya berjalan kaki mengikut gerak hati. Bagi merasionalkan kerja gila ini, aku panggil ia sebagai participant observation, iaitu satu metodologi kajian yang mana kita turut melibatkan diri dalam aktiviti seharian kumpulan manusia yang kita mahu kaji. Maklumlah, sebagai pelajar sains sosial, dunia di luar kelas inilah guru sebenar yang mendidik.

Kami melihat masih ramai kanak-kanak dan remaja yang sedang lepak di luar pada waktu melepasi tengah malam. Pemerhatian sebegini tentulah mencetuskan penilaian yang negatif, walaupun kisah sebenar masih belum diketahui. Adakah ibu bapa mereka tidak kisah atau risau anak-anak mereka masih belum pulang pada waku sebegitu? Atau, adakah mereka begitu daif sehingga tiada rumah untuk berteduh? Jika begitu, di mana pula orang dewasa yang lain?

Kami bertuah kerana direzekikan bertemu dengan seorang guru Bahasa Inggeris yang turut berada di situ. Aku tidak ingat siapa yang mula menyapa. Hampir setengah jam kami berbual dengan Lam San. Dari topik Perang Vietnam, sikap dan tingkah laku pemandu di Bandar Ho Chi Minh, sehinggalah topik kanak-kanak dan remaja yang berpelesiran ketika tengah malam buta.

Kanak-kanak dan remaja di situ tiada apa yang kita biasa panggil sebagai curfew. Mereka lebih suka memilih untuk tidur di taman berbanding di rumah. Sukar aku mengerti sebabnya.

“So, what about school?” aku bertanya.

“They do not go to school,” Lam San menjawab, “they do not have money to send their children.”

Isu kemiskinan yang menghalang kanak-kanak mendapat peluang pendidikan ialah satu isu global. Mungkin itulah juga sebab penduduk di sana tidak fasih berbahasa Inggeris kerana mereka tidak mengikuti pembelajaran secara formal.

Pengalaman mengembara ke sesuatu tempat membuka horizon pemikiran dan mencabar kenaifan diri. Pengalaman mengembara memaksa aku keluar dari zon selesa dan meletakkan aku pada posisi baharu untuk melihat sisi lain kehidupan. Pengalaman mengembara memberi peluang untuk aku “belasah dengan kehidupan.” Begitulah sebahagian ayat yang aku sebut kepada wartawan Utusan Malaysia yang turut mengikuti program kami sebelum ia diungkap semula menjadi ayat yang lebih lunak untuk disiarkan di akhbar. Sungguh benarlah peribahasa Melayu yang menyebut, “berjalan jauh banyak dilihat.”

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.