in ,

4 Bulan Di Amerika: Introspeksi Diri

Kata Buya Hamka,

“Saya pergi ke negeri Arab khususnya Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk mencari sumber kekuatan jiwa, sudah sepatutnya saya melawat ke Amerika untuk mencari sumber kekuatan akal.”

Alhamdulillah, selesai membaca kedua-dua buah jilid, 4 Bulan di Amerika karya Buya Hamka. Sememangnya hasil nukilan Buya Hamka tidak pernah mengecewakan dan sentiasa menghadirkan rasa semangat dan keterujaan saat membacanya. Bagi saya, perkongsian yang diterapkan dalam Jilid 2 agak ringan berbanding Jilid 1. Namun, kedua-duanya sangatlah disarankan untuk bacaan kita kerana otak kita akan mula berfungsi untuk memproses banyak maklumat yang bermanfaat. Menerusi pembacaan karya Buya Hamka ini suka saya kaitkan dengan kehidupan sebagai seorang manusia dan Muslim.   

Jilid 1 lebih banyak fakta dan kosa kata baru yang saya peroleh. Saya mengambil masa lebih kurang 5 hari untuk menghabiskan bacaan Jilid 1 kerana setiap perkataan dan ayat yang dititipkan, membuatkan saya ingin meneliti satu-persatu untuk digarap dan diolah. Sangat banyak istilah-istilah yang dimasukkan oleh Buya Hamka lebih-lebih lagi pada bahagian subtopik “Minangkabau” di Chicago. Seronok saya membaca perkongsian Buya Hamka melawat Muzium Nasional di Chicago tersebut. Seolah-olah kita juga turut berada di sana. Lalu, Buya Hamka memasukkan pula informasi berkaitan Minangkabau – masyarakat, pakaian, alat tenunan, alat nelayan, agama. Jauh manapun kita pergi, tetap tempat lahir juga yang akan terkenang di mata dan terbayang di minda. Dalam Jilid 2 pula, Buya Hamka menggarap kisah tentang iktibar dan kesan yang didapatkan sepanjang keberadaannya di Amerika. Setiap penceritaan, beliau cuba meletakkan kaitan antara pengajaran yang diperoleh terhadap kehidupan manusia secara amnya.

Dalam Jilid 1 juga, Buya Hamka berkongsi kisah perjalanannya di Hollywood, tempat yang sememangnya terkenal dengan pengaruh perfilemannya. Melihat set penggambaran dan berjumpa dengan beberapa orang pelakon, sememangnya apa yang dilihat di layar kaca, layar putih dan media cetak, hanya fantasi yang disangkakan realiti. Kecantikan dan ketampanan bintang filemnya yang kadangkala menjadi igauan anak muda di seantero dunia, tidak semuanya seratus peratus sama dengan apa yang terlihat. Justeru, sebagai makhluk yang hidup di dunia ini, sedarlah bahawa dunia ini penuh dengan tipu daya. Jiwa kita sendiri harus kuat untuk membezakan mana kebaikan yang harus diikuti dan mana pula keindahan semua yang harus dijauhi. Lumrah manusia yang sukakan keindahan. Namun, tidak semua yang terlihat indah dari luaran itu, perlu dituruti. Yang lebih penting keindahan dalaman juga perlu digilap kerana itulah yang dipandang oleh Allah. 

“Tua mesti datang, tetapi usahlah didahulukan dari waktunya. Jiwa yang senantiasa dikembangkan menghadapi zaman, dan pengharapan yang tiada pernah putus kepada rahmat Tuhan, dan semangat yang dapat menyimpulkan hidup dalam nilai jasa, menyebabkan orang tidak pernah disinggung tua, walaupun usianya telah 100 tahun.”

(Jilid 1: 110)

Dan bagaimana kita memenuhkan kantung hayat kita? Adakah dengan amal kebaikan atau selain itu? Kadang kita biarkan diri kita dimamah usia tua sebelum waktunya dengan melakukan perkara yang tidak membangun diri. Buya Hamka menitipkan pesanan bahawa pentingnya kebergantungan hidup kita kepada Allah. Setiap apa yang dilakukan harus diniatkan dan dipaksikan keyakinan bahawa Allah menerima segala amal kebaikan yang dilakukan. Justeru, jika kita hanya mengharapkan ganjaran Allah di akhirat kelak, dan tidak mengendahkan penghargaan manusia di dunia ini, hingga tubuh tidak berkudrat dan muka beribu kedut sekalipun, kita terasa bahagia dengan amalan dan kebaikan yang dilakukan. Itulah manusia yang tidak pernah merasa dirinya tua.    

“Orang jangan ingat akan haknya saja, melainkan di samping menuntut hak ingatlah kewajipan.”

(Jilid 1: 141)

Bercerita pula tentang agama di Amerika. Sememangnya setiap agama mengajarkan kebaikan kepada penganutnya. Mereka juga percaya Syurga dan Neraka. Kepelbagaian latar hidup, latar masyakarat, latar tempat dan latar masa, itu yang membawa kepada perbezaan fahaman dan mazhab. Namun, perbezaan tersebut tidak seharusnya dijadikan sebagai kunci kepada perbalahan. Manusia suka menuntut hak di atas pemahaman yang dibawa, hak kebebasan, hak bersuara dan bermacam lagi. Namun, kadangkala yang menuntut hak tidak faham apa yang dituntut. Hanya sekadar menurut untuk menuntut sehingga mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang perlu dijalankan. Dalam kehidupan, kita juga sering berdepan dengan keadaan ketidakpuasan hati. Kita mengharapkan benda yang tidak ada sehingga mengabaikan apa yang sudah ada. Kita melihat nikmat rezeki yang Allah kurniakan kepada orang lain, sehingga kita tidak nampak dan tidak mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Sedangkan Allah Mengurnia nikmat kepada setiap hamba-Nya dalam bentuk yang berbeza-beza. Kita meminta-minta dari Allah, namun tidak menjalankan kewajipan kita sebagai seorang Muslim dengan baik. Malunya dengan Allah.   

“Di sana saya berjumpa yang buruk dan berjumpa yang baik. Dan di manapun di dunia ini, tetaplah berjuang di antara nafsu angkara murka yang meruncut (menarik) kita ke bumi, dengan cita-cita tinggi yang hendak mengangkat kita ke langit. Tilka hiya al-hayat. Itulah dia hidup.”

(Jilid 1: 158)

Dalam setiap perjalanan yang kita lalui, ke tempat yang sering kita singgah, mahupun tempat baru bagi kita, ianya membawa kita kepada pertemuan perkara yang baik dan buruk. Orang-orang yang baik dan sebaliknya. Nasib baik yang menyebelahi atau sebaliknya. Semuanya sudah ditetapkan. Namun, bukanlah bermakna setiap perkara yang kita tempuh, harus kita ikuti. Saat inilah kita berperang dengan diri sendiri. Jika baik yang kita jumpa, kita ikutilah. Jika buruknya yang kita lihat, kita elaklah agar tidak membawa fitnah pada diri kita. Seperti yang diceritakan oleh Buya Hamka. Perjalanannya ke Amerika, mempertemukannya dengan perkara yang baik dan sebaliknya. Jadi, tugas kita untuk tetap teguh dengan tahap kepercayaan dan keimanan kita sebagai seorang Muslim. Jika kita mengharapkan yang baik, maka yang baik-baik sahajalah yang datang. Dalam tafsiran kehidupan kita di muka bumi, saat kita ingin menuju ke arah titik kebaikan, seolah-olah ada lambaian daripada arah sebaliknya – keburukan. Mulalah was-was meraja di hati dan jiwa. Mana satu yang harus diturut? Jika jadi baik, ada yang akan mengata. Jika jadi jahat, ada yang tidak suka. Ingatlah, Allah itu Maha Baik, sesungguhnya Allah sukakan kebaikan. Jadi, jika hati masih lagi ragu-ragu untuk lakukan kebaikan, ingatlah bahawa Allah Sayangkan Hamba-Nya yang melakukan kebaikan. Mohonlah hidayah dan tuntunan dari Allah agar kita tetap berada di landasan yang benar, yang akhirnya akan memimpin kita kembali ke tempat asal kita – Syurga. 

“Biarlah tubuh kita mengembara di dunia ini. Tetapi nyawa kita tak putus dengan “Langit”. Biarlah tubuh kita asal dari bumi, hidup dengan bumi dan akan kembali ke bumi, namun cita itu tidaklah pernah mengikat kita untuk langsung ke langit bersama-sama.”

(Jilid 2: 190)

Dalam satu bahagian, Buya Hamka ada menyentuh tentang kehidupan manusia ketika dijajah dan kehidupan selepas dijajah. Manusia umpama dalam lubang penjara ketika penjajahan. Yang menjajah, bermaharajalela. Yang dijajah, berlelah – berjuang menuntut keadilan. Setelah kebebasan didapatkan, seolah-olah masing-masing mendapatkan kehidupan baru dan mula merancang untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. 

“Ketika kita telah bertahun-tahun di tempat gelap, dan telah biasa mata kita dalam gelap ritu, tiba-tiba terbukalah lobang penutup, dan cahaya matahari masuk ke dalam dengan keras sinarnya. Maka banyaklah yang pingsan karena belum biasa dengan cahaya, dan banyak yang silau. Banyak yang kebingungan tidak tentu apa yang akan dikerjakan.”

(Jilid 2: 174)

Begitulah kehidupan manusia – yang bertaubat dari dosa. Saat diri penuh dengan dosa, sebenarnya kita terpenjara dalam diri sendiri. Mata dan hati menjadi gelap dek noda dosa, terkongkong dalam sangkar maksiat. Namun, saat hidayah Allah muncul, menusuk ke hati, lalu sedikit demi sedikit, sangkar yang terkunci itu terbuka. Lalu, terserlahlah cahaya taubat dan keimanan yang menyuluh arah jalan baru. Kadangkala, diri sukar istiqamah dalam penghijrahan kerana kata nista dari persekitaran. Ada yang terjerumus kembali ke dalam sangkar tersebut. Namun, cepat-cepat sedar semula, lalu terbang keluar mencari semula cahaya. Hanya semangat dan keinginan dalam hati serta keyakinan pada Allah yang akan terus menguatkan jalan menuju cahaya hakiki tersebut. Bagi saya, Buya Hamka bukan sekadar mengalunkan kisah kembaranya ke Amerika tanpa ada ibrahnya. Dalam penulisannya, beliau cuba membuatkan kita menggunakan akal dan hati untuk saling menerima kepelbagaian dalam kehidupan masyarakat, serta mengenal untuk mengikuti yang baik dan menjauhi yang buruk.   

“Demokrasi yang sebenarnya ialah cinta kepada seluruh manusia. Cinta kepada jalan-jalan raya di kota dan pelabuhan-pelabuhannya, suka bercakap, bertukar fikiran dengan manusia yang merdeka, dan memangggil orang dengan namanya yang pertama; tidak memperbedakan orang, walaupun dia bergelar Master. Demokrasi yang sejati ialah bersenyum bersama orang yang tertawa, dan sanggup mengerjakan pekerjaan berat dan tidak memandang akan ilmunya dan pendidikannya. Sanggup memakan yang biasa dari rakyat jelata. Sanggup bergaul dengan orang laut dan dengan buruh. Sedia selalu melepaskan diri dari ikatan pergaulan kaum terpelajar yang berpakaian panas itu, dan pergi berkumpul dengan orang kebanyakan, bersenda gurau, bercengkerama, mengikuti apa yang mereka pertengkarkan, turut tertawa tergelak-gelak, dalam kegirangan mereka, dengan tidak pernah lupa peribadinya sendiri.”

(Jilid 2: 109)

Secara keseluruhannya – Kembara ke dunia lain, tidak semestinya kita terjebak lalu teresap segala perbezaan budayanya ke dalam jati diri kita. Apa yang harus dilakukan, perhati yang baik yang harus diambil ibrah dan diamalkan, sementelah yang buruk itu harus dijadikan iktibar dan dihapus. Jika jadi diri sendiri, jangan sampai orang lain yang menentukan arah hidup kita. Lain kita, lain orang. Gayanya tidak sama. Pertingkatkan diri itu bukan dengan membandingkan diri dengan orang lain, bahkan merenung estimasi yang telah dicapai sejak langkah dimula hingga detik yang terkini. Islam sangat menggalakkan umatnya untuk bermusafir di atas muka bumi, memerhatikan, merenungi, menghayati dan bermuhasabah sepanjang pertualangan. Benarlah, mengembara merupakan sumber kekuatan akal, juga sumber kekuatan jiwa. Jika tidak mampu mengembara dengan berjalan, kembaralah dengan membaca kisah-kisah mereka yang berjalan. Kerana dengan membaca juga mampu membawa kita menjelajah dunia tanpa perlu bergerak, namun masih membuatkan akal berfungsi dan jiwa hidup dalam menelan intipati kisahnya. 

 

Disediakan oleh,

Siti Khairiah binti Abu Hassan

Serdang

Leave a Reply

Loading…

Kesederhaan Pada Hujan Bulan Juni

Cerpen: Perihal Orang Kita