Hampir empat tahun setengah saya menetap di tempat orang. Hari demi hari menyesuaikan diri masuk ke dalam kehidupan bermasyarakat di sana. Tubuh mereka tegap, bermata sepet, berjalan pantas, bersuara lantang, mendengar kata juga sangat setia. Saya sering merindukan masakan emak, pantai berpasir halus dan awan putih gebu bak gula-gula kapas yang saya sering kali lupa untuk mengucapkan syukur tatkala ia ada di depan mata di Malaysia. Jikalau di Beijing, seringkali saya menantikan awan putih untuk muncul bertanya khabar. 

Semakin jauh dari bumi Malaysia, semakin saya menghargai setiap detik dan nafas di tanah air ini. Nikmat di Malaysia terlalu besar, sangat besar sehinggakan lupa untuk mengucapkan syukur dan tidak menghargai nikmat-nikmat ini.

Nikmat berbilang kaum ini sungguh tidak mampu saya tuturkan  setinggi mana syukurnya kepada Allah kerana selama berpuluh-puluh tahun, harmoni ini dijaga dan dipanjangkan lagi nikmat ini oleh-Nya untuk kita terus menjaga lagi. Ingat lagi saya ketika di sekolah rendah, kawan baik saya ialah Sabrina, gadis berbangsa Cina yang sudi menjadi rakan semeja saya dan tidak lupa juga Ng Jinyi, rakan sekelas saya ketika di Kolej Matrikulasi yang menjadi pasangan saya dalam kebanyakan kelas untuk menyiapkan satu-satu tugasan. 

Bebaslah berkawan dengan sesiapa saja, asalkan niatnya kita mahu berkawan bukan mencari salah dan menjadi lawan. Allah menciptakan manusia dengan kepelbagaian juga menjadi asbab untuk kita saling berkenalan dan memahami budaya yang ada. Satu nikmat yang saya kira sangat mahal tapi dek sikap diskriminasi yang malampau itu mendatangkan persepsi yang buruk-buruk saja sesama kita.

Nikmat ini juga mengajar saya erti membina hubungan atas dasar hubungan yang ikhlas, bukan kerana niat-niat tertentu seperti mahu mendapat kedudukan, mahupun dipandang orang atau mendapatkan populariti dalam kalangan masyarakat. Saya percaya, hubungan harmoni yang dibina atas dasar ikhlas inilah yang masih menjadi asas kepada keteguhan Malaysia sehingga sekarang. 

Kebebasan kita dalam kehidupan bermasyarakat, dalam menjalankan aktiviti beragama, dalam menyuarakan pendapat, dalam melontarkan kritikan; ini juga satu nikmat yang hebat lagi mahal!

Ketika di sana, jika mahu menunaikan solat di luar, mesti di tempat tertutup. Jika di situ ada CCTV, perlu mencari tempat lain. Elakkan. Tidak sampai lima minit nanti datanglah pegawai keselamatan yang menghalau kita dari situ. Jika mahu melakukan seminar atau perkongsian bersama pelajar, jangan ada perkara berkaitan agama. Hal ini akan menyinggung perasaan mereka, jika mahu buat, nun jauh di tempat lain yang jaraknya tiga hingga lapan jam jauh dari kota raya.

Jika mahu solat di masjid, pembesar suaranya tidak boleh menghala ke luar kawasan, hanya dibolehkan di dalam kawasan masjid sahaja. Jika mahu membuat apa-apa aktiviti di dalam masjid juga, imam juga turut menasihatkan kami agar berhati-hati dan tidak menonjolkan diri, bahaya! Berkali-kali diuji dengan ujian ini, namun itu tidak mematahkan semangat untuk terus setia menjadi hamba Allah yang bergantung kepada-Nya sekalipun dalam keadaan sesulit itu.

Walau kedengaran seperti detik yang mencemaskan lagi menakutkan, di sanalah saya belajar memaknai erti syukur atas segala nikmat yang diberikan di Malaysia. Beijing merupakan rumah kedua saya yang menjadi tempat saya mengenali Islam. Kehidupan di sana juga mengajar saya bersyukur dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. 

Jadi, seharusnya kita bersyukur atas nikmat kebebasan ini. Buang segala rasa yang mahu menguntungkan diri sendiri sahaja, buang keinginan peribadi yang memerlukan kejatuhan orang lain sehingga mampu meruntuhkan keharmonian yang dibina sejak dari dulu lagi.

Apabila kita terlalu bebas, maka kita akan melakukan perkara yang melampau dan di luar perbatasan. Ada sebabnya kita perlu terikat dengan sesuatu. Pasti ada. Kerana itu dalam agama, ada panduannya. Dalam negara, ada undang-undangnya. Dalam persatuan, ada syaratnya.

Jika diri meronta-ronta mahu bebas, ia akan berasa teruja. Namun, keterujaan itu menjadi melampau sehinggakan semakin lama dibiar bebas, semakin kita mahukan lagi dan lagi. Lama-kelamaan sehingga boleh melanggar hukum alam.

Semoga kita juga dapat menyumbang kepada keharmonian negara dan berjuang sehabisnya dengan akal yang diberikan Tuhan ini. Apa gunanya kita hidup di tanah bertuah ini tetapi hanya sekadar menjadi air yang bertakung sahaja? Masuklah ke dalam masyarakat, lihatlah nikmat kesyukuran, manfaatkan akal dan berjuanglah, wahai anak muda! 


Disediakan oleh,

Jiha Jahari,

Alumni Beijing Foreign Studies University

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.