Di Malaysia, kursus kahwin merupakan satu kewajipan untuk memastikan setiap pasangan dibekalkan dengan ilmu perkahwinan yang diperlukan sebelum melangsungkan perkahwinan. 

Akan tetapi, bagaimana pula dengan ilmu penceraian? Bersediakah kita?

Tidak dinafikan lagi, baru-baru ini kes penceraian yang berlaku semakin meningkat. Lebih menyedihkan lagi di media sosial, persoalan-persoalan berkaitan penceraian yang dikemukakan  menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sangat kurang dalam ilmu berkaitan penceraian sehinggakan terdapat pasangan yang telah bercerai tanpa sedar! Akibatnya, ada pasangan yang menjalani kehidupan sebagai suami isteri tetapi pada hakikatnya hubungan itu telah terputus.

Berdasarkan pemerhatian saya, berikut merupakan contoh salah faham yang sering terjadi dalam kalangan masyarakat di Malaysia :

1. Talak memerlukan saksi (SALAH). 

Talak tidak memerlukan saksi untuk dikira sah talak. Ramai yang bertanya “sah atau tidak talak suami yang telah dilafazkan sebab tiada saksi” dan ada juga rakan kepada si isteri yang mengadu bahawa suami si isteri itu mengatakan talak yang telah dilafazkan olehnya tidak sah kerana tiada saksi. Maka si suami bertegas tidak mahu ke mahkamah untuk mengesahkan lafaz talak dan si isteri hanya mengiyakan kata-kata suami.

Perkara ini sangat bahaya kerana mengakibatkan pasangan masih menganggap mereka adalah suami isteri walaupun sebenarnya talak telah jatuh dan telah melebihi tempoh yang dibolehkan untuk suami merujuk isteri.

2. Talak tidak jatuh ketika marah/ bergurau/ mangandung/ haid ( SALAH)

Apabila dilafazkan, talak sah & jatuh  dalam semua keadaan termasuk yang disebutkan di atas, tidak kira sama ada talak Sunni atau Bid’ie kecuali si suami hilang kesedaran akal ketika melafazkan talak.  

Walaupun talak ketika isteri haid berdosa dan haram kerana itu adalah talak bid’ie, talak tetap jatuh apabila dilafazkan.

Mengikut jumhur dan mazhab Syafie, talak ketika mengandung tidak berdosa dan talak juga sah dan jatuh.

3. Tamat idah perempuan hamil yang kematian suami adalah mengikut tempoh yang lebih panjang (SALAH)

Tamat idah perempuan hamil yang kematian suami adalah ketika isteri melahirkan anak, bukan mengikut tempoh yang lebih panjang.

Jika si isteri bakal melahirkan anak sekitar bulan Ogos, tetapi suaminya meninggal awal bulan Julai, si isteri hanya perlu menjalani idah sehingga anak lahir dalam bulan Ogos, bukannya selepas empat bulan 10 hari dari kematian suami iaitu bukannya sehingga bulan Oktober.

4. Rujuk boleh melalui perbuatan (SALAH) 

Walaupun terdapat khilaf di kalangan para fuqaha. Di Malaysia, si suami tidak boleh merujuk isteri melalui rujuk perbuatan, tetapi rujuk mestilah melalui lafaz.

5. Talak tiga (3) boleh dirujuk. (SALAH) 

Talak tiga tidak boleh dirujuk kecuali melalui proses tertentu iaitu bekas isteri perlu mengahwini selain bekas suami, berhubungan suami isteri dan menghabiskan tempoh idah selepas cerai dengan suami baru. Selepas itu, bekas suami pertama boleh bernikah semula dengan bekas isteri tadi.

Mungkin ramai yang mengetahui mengenai perkara ini akan tetapi terdapat segelintir masyarakat yang beranggapan suami boleh rujuk isteri dalam tempoh idah walaupun telah jatuh talak tiga hanya disebabkan si isteri masih perlu menjalani idah. Kewajipan si isteri menjalani iddah tidak semestinya bermaksud suami ada peluang untuk rujuk bekas isterinya semula! 

Perlu dibezakan antara talak rajie dan talak bain. Masyarakat perlu mengetahui istilah-istilah ini untuk menentukan sama ada rujuk itu sah atau tidak.

Talak rajie seperti talak satu dan dua membolehkan suami merujuk isteri ketika idah. Manakala talak bain tidak membolehkan suami merujuk isteri dalam tempoh idah.

Ya! Kedua-dua jenis talak ini masih memerlukan si isteri menjalani idah. Walau bagaimanapun,  terdapat pengecualian di dalam kes janda berhias kerana walaupun ia termasuk dalam kategori talak bain. Oleh itu, si isteri tidak ada proses idah. Yang membezakan kedua-dua jenis talak ini adalah cara untuk di suami kembali semula kepada bekas isteri. 

6. Suami boleh berkahwin terus setelah menceraikan isterinya yang masih dalam tempoh idah. (SALAH)

Suami mempunyai idah. Aneh bukan! Pada asalnya, si suami tidak mempunyai iddah. Tetapi dalam beberapa keadaan, suami mesti beridah mengikut idah si isteri.

Contohnya, apabila si suami mempunyai empat isteri dan menceraikan salah seorang daripadanya, suami tidak boleh berkahwin baru sehingga isteri yang diceraikan habis tempoh idahnya.

Hal ini kerana si isteri yang dalam tempoh idah masih berstatus si isteri dan perkahwinan masih lagi belum terbubar sepenuhnya. Jika suami berkahwin dalam tempoh idah tersebut, suami telah dikira mempunyai lima isteri dan perkahwinan tersebut tidak sah kerana suami tidak dibenarkan berkahwin melebihi empat orang isteri.

Manakala bagi suami yang tidak berpoligami, juga perlu menjalani idah isteri yang diceraikannya jika mahu berkahwin baru dalam tempoh idah isteri. Jika tidak, suami di anggap mahu berpoligami dan poligami memerlukan kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

Perkahwinan baru itu tetap sah kerana suami tiada idah dan boleh berkahwin sejurus menceraikan isterinya walaupun isteri masih dalam tempoh idah kerana suami masih ada kuota poligami yang dibenarkan. Akan tetapi suami akan dikira melanggar undang-undang Malaysia kerana berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

7. Jika suami tidak boleh rujuk maka isteri tiada idah (SALAH)

Formula yang sering dipakai oleh rata-rata masyarakat walhalnya SALAH adalah idah seseorang isteri bergantung kepada kebenaran suami untuk merujuk. 

Yang sebenarnya: Semua cerai hidup dan mati ada idah kecuali janda berhias 

Misalnya, jika isteri bercerai disebabkan fasakh. Ada yang beranggapan bahawa isteri tiada idah kerana suami tidak boleh rujuk isteri dan hanya boleh bersama semula dengan akad perkahwinan yang baru. Sebenarnya, isteri masih perlu menjalani idah.

Perlu dibezakan antara kaedah rujuk dan kaedah idah kerana walaupun saling berkait tetapi perbahasan kedua-duanya berbeza.

8. Cerai di Malaysia boleh dilakukan di  Pejabat Agama (SALAH)

DI Malaysia, penceraian perlu dilakukan di Mahkamah Syariah, bukan Pejabat Agama. Pejabat Agama hanya untuk mendaftarkan cerai yang telah disahkan oleh mahkamah.

Mungkin banyak lagi senarai yang boleh ditambah selain yang disebutkan di atas. Tetapi saya hanya menyenaraikan persoalan yang sering ditanya serta dibincangkan dan terjadi di kalangan rakyat Malaysia

Oleh itu, pentingnya untuk sentiasa merujuk mahkamah syariah berkaitan pengesahan lafaz talak atau rujuk yang dilakukan. Walaupun lafaz yang digunakan amat jelas untuk difahami tetapi kesahihan dah kesan lafaz tersebut hanya boleh disahkan di mahkamah.

Disediakan oleh,

Nur Aina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.