Ciri asas masyarakat madani mencakup aliran kehidupan sosial yang subur berlandaskan prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dan kestabilan masyarakat. Ia menghidupkan nilai-nilai keberagaman, keterbukaan, ketinggian moral dan etika, kesenian dan kebebasan yang khas dengan konstruksi budaya dan nilai kemajmukan yang diperjuangkannya. 

Sistem pemerintahan madani tertegak oleh undang-undang dan bukan nafsu dan kemahuan individu – yang terwujud berteraskan hubungan timbal balik, kemajmukan budaya, sikap saling menghormati dan menghargai. Karakter masyarakat madani menjadi idea pendorong, dalam menjelmakan pikiran-pikiran yang mendasarinya, yaitu prinsip moral, keadilan, kesaksamaan, musyawarah dan demokrasi. 

Teori ilmiah tentang masyarakat madani telah dirumuskan oleh para pemikir Islam dalam tradisi intelektualnya yang klasik seperti al-Farabi (870-950), Ibn Miskawayh (936-1030), Ibn Khaldun (1332-1406) dan lain-lain yang digarap dengan faham yang jauh lebih terkehadapan dari yang pernah dilakukan sebelumnya oleh mana-mana pemikir Timur dan Barat termasuklah Plato dan Aristotle. 

Dalam merumuskan konstruksi pemikiran dan falsafahnya, gagasan yang dilontarkan oleh al-Attas menyajikan konteks dan pemahamannya yang asli terkait ide masyarakat madani, yang dibezakan dari masyarakat sivil, di mana civil society lahir dari suatu kemodenan, sedangkan kemodenan diakibatkan dari gerakan pembaharuan, gerakan sekular yang meminggirkan keEsaan Tuhan, sehingga ia memiliki moral keimanan yang rapuh kerana menafikan Tuhan. Sebaliknya masyarakat madani timbul dari petunjuk Tuhan, dengan perantaraan Nabi Muhammad (saw). Perbezaan substansinya jelas tatkala kita membandingkan tatanan masyarakat Madinah – dengan konsep yang diluar Islam yang dijadikan pembenaran atas pembentukan civil society masyarakat Muslim moden. 

Syed Naquib al Attas

Syafii Maarif menekankan masyarakat madani merupakan masyarakat yang terbuka, dan toleran atas landas nilai etika-moral keimanan yang bersumberkan wahyu, beradab, menjunjung tinggi nilai kemanusiaan, berkemajuan dan menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi. 

Dari kerangka sejarah, masyarakat madani yang dibangun Nabi (saw) menjadi contoh pembentukan masyarakat yang bertamadun, yang mencerminkan tipe masyarakat ideal dalam lingkungan sosio-politik yang luas. Ia mempengaruhi tatacara baru perhubungan masyarakat dalam bentuk dan etika hubungan baru yang diasaskan kepada prinsip akhlak dan keprihatinan sosial, serta konsep insan sebagai makhluk rohaniah dan bermoral. 

Penerapan piagam Madinah telah menciptakan sebuah masyarakat religius yang bebas yang mempertahankan nilai-nilai keadilan, dasar kesetaraan hukum, jaminan kesejahteraan bagi semua penduduk, dan perlindungan terhadap kelompok minoriti. Struktur negara yang dilakar berdasar kerangka prinsip Islam – seperti dibangun dalam tradisi Sunni – dan diartikulasi seputar konsep pokok dari undang-undang Islam bermakna suatu konsep syariah – yang menciptakan asas-asas kesatuan kebudayaan, rasa keterikatan serta mencari makna yang difahami bersama serta merentasi kepelbagaian bentuk kebudayaan. Ini berilhamkan tradisi budaya Islam yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat dalam lingkungan yang memungkinkan penyertaan menyeluruh dan interaksi terbuka pelbagai unsur dalam masyarakat. 

Semangat dari perjanjian Madinah yang diberikan Nabi (saw) kepada kota itu setelah penghijrahannya ke sana pada 622 Masihi menentukan setiap negara Islam dalam sejarah. Ia menetapkan bahawa umat Islam, tanpa mengira asal-usul mereka (mereka tergolong kepada suku dan bangsa yang berbeza) adalah satu ummah. Dengan kata lain, mereka membentuk satu entiti korporat yang dikawal oleh hukum Islam, yang memiliki institusinya sendiri, mahkamah pengadilan, sekolah bagi pendidikan anak-anaknya, yang bertentangan dari semua yang lain. 

Pemerintahan ummah dengan maksud bagi kesedaran diri, dalam ukuran yang sepenuhnya dari agamanya, kecerdasannya, undang-undangnya, etika dan budayanya, adalah dijamin, begitu juga kelangsungannya. 

Dengan keuniversalan Islam, ia menghapuskan perbezaan ras dan suku, dan justeru mengiktiraf dan menegakkan umat Islam sebagai satu ummah, dengan kebebasan yang penuh dalam merealisasikan legasi dan kesadaran hukum dan budaya, tata tertib, nilai kreatif, mandiri, percaya diri, semangat persaingan, dan persaudaraan yang setaraf dan pluralistik. 

Konsepsi masyarakat madani sentiasa hidup dan dapat berkembang di setiap tempat dan masa. Kelestariannya dapat dipertahankan dan layak diterapkan di manapun dari prinsip dasar yang terkandung dalam perjanjian Madinah. Karakteristik dan tatanan masyarakat yang terwujud di Madinah dan tantangan-tantangan perubahan menuntut ikatan solidaritas untuk membangun persaudaraan dan mengikat sistem sosial dan persefahaman dalam pemerintahan yang berfungsi dan konstruktif yang tertegak oleh prinsip toleransi, pluralisme, dan mengkompromi politik liberal. Hanya dengan merujuk kepada kerangka Islam kita dapat menahan imperialisme Barat dan serangan tiga-serampang dari kolonialisme. 

Negara yang ditakrifkan sebagai Islamik adalah satu-satunya struktur yang dapat menjamin kemerdekaan politik, identiti agama dan kekhasan budaya dari kebangkitan entiti kebangsaan. Dalam menzahirkan upaya untuk menghidupkan semula warisan sosial dan politik Islam, dan memenuhi aspirasi yang idealistik dari masyarakat Muslim, pemulihan ide pergerakannya dapat menyongsong kebangkitan baru dari cita-cita politik Islam. 

Sebahagian ulama dan pemimpin Islam – seperti Shaykh Yusuf al-Qaradawi atau pemimpin Tunisia Rachid Ghannouchi – telah sedia menerima prinsip demokratik dan sivil yang tidak bertentangan dengan idea tentang Islam sebagai projek politik. Juga pemimpin Islam dari parti Hamas Algeria, Mahfoud Nahnah, muncul sebagai sosok pertama yang tidak lagi memperkatakan tentang negara Islam tetapi negara madani. Tidak lama sebelum beberapa pergerakan Islamis menggantikan ungkapan “Islamik” dengan “sivil” dalam mempotretkan diri mereka, dalam waktu yang sama menjauhi istilah seperti sekularisasi, sekularisme, atau yang non-denominasi memandangkan konsep tersebut mengusung konotasi yang negatif yang merebak dalam kesadaran masyarakat Arab dan Muslim. 

Intelektual dari aliran kiri, Mohammad Imarah dengan tuntas mengesahkan bahawa negara Islam adalah negara madani, yang mana, beliau menambah, harus bersandarkan institusi dan perundingan (syura) dan bahawa proses menetapkan keputusan menuntut supaya autoritinya harus bersifat sivil. Baginya negara sivil harus memutuskan pilihan majoriti melalui kategori “benar atau salah” ketimbang melalui “kepercayaan atau penolakannya”, dengan pengiktirafan yang penuh terhadap idea-idea agama dan politik. 

Sebahagian pemimpin gerakan Islam, seperti mantan penggerak Ikhwan al-Muslimin Abdul Moneim Abul Futuh di Mesir atau Ghannouchi mengumandangkan pendirian yang diambil oleh pergerakan Maghribi Al Adl Wal Ihsan yang keutamaannya adalah untuk menemukan republik demokrasi yang berbenturan dengan monarki. Pergerakan itu kini dirakamkan memberi keutamaan kepada negara madani, yang mengesahkan bahawa pemimpin Islam ingin menjarakkan diri mereka dari faham “sekularisme” yang dilihat dalam dunia Arab sebagai trengkas kepada rempuhan pembaratan, sementara melenyapkan idea tentang “negara Islam” yang diburukkan dengan kerumitan muatannya yang membawa konotasi negatif. Kelompok Islamis telah didesak untuk mengolah semula istilah dan memaknakan konsep mereka dengan lebih tepat. 

Ketika merujuk kepada pengalaman mutakhir, mereka lebih sering memilih model Turki dari revolusi stail Iran. Al-Mujtama’ al-Madani yang diilhamkan oleh Ghannouchi memperhatikan tertegaknya prinsip al-hurriyah (kebebasan), al-‘adalah (keadilan), Huquq al-Insan (Hak asasi) dan al-Syura (perundingan) dan peranan masyarakat massa yang kritikal dalam Daulah Madaniyyah (atau negara sivil beridentitikan Islam), yang berasaskan kepada nilai dan ajaran Islam dan prinsip maqasid shariah. 

Konsep negara madani atau “civil state with Islamic reference” ini lebih berorientasikan suara rakyat atau masyarakat sivil dan mengambil kira faktor keamanan, perkongsian kuasa dan pluralisme politik. Ia termasuk dalam ruang ijtihad yang terbuka luas untuk dibicarakan, dan merupakan bentuk negara yang paling ideal sebagai model pemerintahan dan pentadbiran yang menjamin persamaan hak, kebebasan bersuara, dan beragama, yang komited mewujudkan sistem keadilan yang menyeluruh, jaminan keharmonian bernegara dan menjunjung harakat kemanusiaan sejagat. 

Gagasan masyarakat madani yang diilhamkan Islam menciptakan persekutuan ummah dari agama dan budaya dan tradisi yang berbeza (kaum Muslimin, Yahudi dan Kristian) yang komited untuk hidup secara harmoni dan dengan aman antara satu sama lain. Negara Islam adalah penjamin dan pelindung mereka yang tugasnya dijelaskan oleh perlembagaannya sendiri yang membolehkan setiapnya untuk hidup mengikut agama, etika dan budayanya sendiri, untuk mengekalkan dirinya melalui generasi, dalam kebebasan yang sempurna. Islam adalah agama dakwah par excellence, sistem persekutuannya menerima suatu modus vivendi antara umat Islam dan bukan Islam, yang terpancar dan mengalir dari intinya sebagai agama yang universal. 

Pendirian sebuah negara Madani dapat ditegakkan di Malaysia, yang harus bersifat neutral terhadap semua doktrin agama yang berbeza. Ini tidak bermaksud pengasingan agama dari kehidupan sosial masyarakat. Negara memainkan peranan utama dalam tata urus, dengan tugas pokoknya untuk menjadi penjamin terhadap maruah manusia, serta memastikan keselamatan fizikal terhadap setiap rakyat, hak untuk melindungi keluarga, keselamatan harta benda dan kerjaya mereka dan penyertaan penuh dalam masyarakat. 

Selama lebih satu generasi, negara ini telah cuba menyerap modernisme stail-Barat dengan pengiktirafan terhadap tradisi. Kerencaman sejarah, budaya dan agamanya menjadikannya kaya, menggugah dan menakjubkan. Kebudayaan China, India, Melayu, dan dalam rangka yang lebih luas, Indonesia hidup berdampingan, sementara agama Buddha, Kristian dan Islam semuanya mengisi akar warisannya yang berlapis. Perbicaraan tentang negara Islam, tentang syariah, undang-undang jenayah Islam, reformasi dan perubahan akan terus bergilir. 

Kebangkitan Arab dan kemenangan kelompok Islamis telah menyalakan kesannya. Rakyat Malaysia terheret mengikuti perkembangannya dengan penuh minat, menganalisis dan mengharapkan masa depan yang lebih baik, dengan rasuah yang berkurangan, kebebasan yang hakiki, demokrasi yang telus dan media yang bebas. Naratif dari mana bangsa Malaysia diasaskan mencerminkan perdebatan yang sengit tentang konsep kebangsaan, dan membayangkan imej kebanyakan penduduknya yang mengiktiraf dan menghargai perlembagaan, menghormati undang-undang dan negara madani.

Perwujudan masyarakat yang pluralis, dan dinamik dari landas sosial, kultural dan agama yang berbeza adalah unik dan tersendiri di Malaysia, negara yang sarat dengan harapan dan kerapuhan. Malaysia mempunyai keupayaan ekonomi dan potensi geostrategik kelas pertama dengan kepentingan tempatan dan antarabangsa yang meningkat, antara salah satu negara membangun yang mewakili kekuatan Asia. 

Ketika pusat graviti ekonomi dunia di bawah orde baru berganjak ke Timur, ia akan memainkan peranan yang signifikan dan kritikal dan menjadi kekuatan pendesak yang harus diperhitungkan. Pembangunannya terus dijana dengan strategi politik yang lazim diasak dengan Islamisasi, modernisme dan kapitalisme. Di mana-mana terukir perpaduan yang dibina di atas sokongan struktur madani dan hidup semangat yang kreatif yang menggabungkan tradisi, estetik dan etika di tengah-tengah dunia moden. 

Disediakan oleh: Ahmad Nabil Amir


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.