Hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang agama dan budaya adalah satu keunikan kepada kita untuk saling mengenali antara satu sama yang lain.  Walaupun berbeza agama, Islam sama sekali melarang kita untuk melakukan kezaliman, penindasan mahupun apa jua perkara yang boleh menggugat hak mereka untuk beragama. Bahkan, Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk melakukan kebaikan sesama manusia meskipun berlainan agama. . Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahah ayat 8-9 yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Allah SWT mengajar kita supaya mengucapkan ucapan yang baik kepada mereka yang memberikan ucapan kebaikan kepada kita. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa’ ayat 86 yang bermaksud :

 “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

Walaupun Islam menganjurkan kita bertoleransi merentasi perbezaan agama, Islam juga turut melarang kita daripada melakukan sebarang  perbuatan yang boleh menjadikan kita kufur dalam apa jua bentuknya. Sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan atau gerakan hati yang boleh menyebabkan kita menjadi kufur. Firman Allah SWT dalam surah al Nahl ayat 106 yang bermaksud :

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”

Oleh itu, terdapat beberapa perbahasan dikalangan para sarjana Islam di dalam menetapkan hukum mengucapkan selamat bagi perayaan agama selain Islam dan hukum merayakannya. Sebahagian sarjana Islam berpendapat bahawa mereka melihat terdapat unsur mengiktiraf kekufuran apabila kita mengucapkannya. Maka bagi mereka hukumnya haram memberi ucapan perayaan agama lain kerana dibimbangi ucapan tersebut membawa kepada mengiktiraf kekufuran.

Manakala sebahagian sarjana pula melihat pemberian ucapan tersebut tidak berunsur mengiktiraf kekufuran tetapi sebaliknya sekadar menunjukkan kebaikan kepada penganut agama lain yang secara terang tidaklah memusuhi Islam. Maka, bagi mereka yang berpandangan sebegini menyatakan hukum harus memberi ucapan tersebut dengan di ikat syarat-syarat tertentu.

Sebahagian para sarjana yang mengharamkannya seperti Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, juga al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah dengan tegas mengharamkannya dengan mendatangkan hujah dan alasan yang tersendiri. Fokus utama mereka mengharamkannya kerana mereka melihat kepada perbuatan itu seolah-olah meredhai dan mengiktiraf kebenaran agama mereka.

Sebaliknya, beberapa para sarjana kontemporari seperti Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi menyatakan keharusan mengucapkannya berserta syarat tertentu. Demikian juga Prof. Dr. Abd al Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan Ulum Quran di Universiti Al Azhar. Beliau berpandangan mengucapkan tahniah dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Syeikh Dr. Mustafa Zarqa’ juga mengharuskan ucapan tersebut dan beliau menyifatkan perbuatan memberikan ucapan tersebut termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dalam pergaulan. Namun sesiapa yang beranggapan perayaan agama bukan Islam adalah sama seperti perayaan umat Islam maka ia akan menjadi haram kerana hal tersebut termasuk dalam hal akidah dan seolah-olah ingin menyamakan semua agama (pluralism).

Antara hujah Syeikh Mustafa al Zarqa mengharuskan ucapan perayaan agama lain adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam kitab Fatawa Mustafa al Zarqa, beliau berkata:

“Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa,).

Maksudnya ialah beliau membandingkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain kepada penganutnya, bukan bermaksud mengiktiraf akidah mereka sebaliknya sekadar menzahirkan kesopanan.

Melalui perbahasan ini, difahami bahawa terdapat khilaf atau perbezaan pendapat berkenaan hukum mengucapkan tahniah sempena perayaan agama orang bukan Islam. Semuanya bergantung cara kita melihat dan menilai sekaligus mempertimbangkan kewajaran kita menzahirkan ucapan.

Sekiranya tidak ada kepentingan untuk menzahirkan ucapan bagi perayaan agama lain, maka lebih baik kita tidak memberikan ucapan. Sebaliknya jika kita mempunyai kedudukan atau kepentingan seperti seorang pemimpin, seorang majikan atau sebagai seorang jiran dan kenalan selainnya maka diharuskan memberi ucapan dengan syarat ucapan tersebut tidak membawa kepada makna kekufuran.

Disediakan oleh,

Faidhi Azis

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.