in

Usah Bersedih dan Hiduplah Pada Hari Ini

Wabak pandemik Covid-19 yang berlaku sejak awal tahun 2020 telah memberi impak yang besar terhadap kehidupan masyarakat sama ada pekerjaan, kesihatan, ekonomi dan pendidikan. Bahkan ada yang terjejas seluruh kualiti hidupnya . Semua orang di dunia terkesan dan harus beradaptasi dengan norma baharu.

Berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dianggarkan sebanyak 90,000 orang telah kehilangan pekerjaan pada 28 Oktober 2020,

Sebagai contoh dari aspek pendidikan, para guru dan murid menghadapi tekanan dalam cabaran sesi pengajaran dan pembelajaran secara jarak jauh. Hal ini juga mengundang kerisauan ibubapa terhadap anak-anak mereka yang mungkin tercicir dalam pembelajaran.

Perasaan sedih dan kerisauan terhadap kesempitan hidup ibarat bayang-bayang yang sentiasa mengekori manusia. Lebih membimbangkan apabila emosi dan tekanan yang tidak terkawal memberi kesan yang buruk kepada diri sendiri dan juga keluarga.

Tidak hairan berlakunya peningkatan kadar kes keganasan rumah tangga sejak dunia dilanda wabak Covid-19. Merujuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 1,929 aduan yang membabitkan kes keganasan fizikal, emosi dan seksual sejak bulan Mac tahun ini.

Oleh itu, masyarakat perlu mengambil berat tentang cara pengendalian emosi, mental dan juga spritual.

Kesedihan Hari Semalam dan Kerisauan Masa Hadapan

Di dalam sebuah doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Abu Umamah untuk menghilangkan dukacita dan melangsaikan hutang, terdapat penggunaan kata al-Hamm dan al-Hazn yang signifikan untuk kita renungi. Berikut doa daripada hadis riwayat Abu Said al-Khudri mafhumnya:

..اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ…

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kerisauan dan kesedihan…”

Setelah mengamalkan nasihat (doa) tersebut, Abu Umamah sedikit demi sedikit mula menjalani harinya tanpa dibelenggu rasa kesempitan dan kebimbangan. Bagaimana?

Jika dilihat dari segi penggunaan istilah, perkataan Al-Hamm bermaksud sesuatu perasaan (ketidakselesaan) yang dirasai disebabkan terlalu sibuk memikirkan masa hadapan. Manakala al-Hazn pula ialah perasaan sedih yang dirasai terhadap sesuatu masa yang telah berlalu.

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sebagai rahmat yang diutuskan kepada alam ini sangat mengerti akan pemikiran manusia yang seringkali sesak memikirkan kesedihan masa lalu dan kerisauan masa hadapan.

Secara asasnya, doa ini berperanan sebagai sumber kekuatan, kepercayaan dan tawakkal seseorang hamba kepada Tuhannya dan menjadi sandaran dalam meminta perlindungan daripada perasaan yang mengganggu kehidupan.

Apakah cara yang boleh di ambil ketika menghadapi al-Hazn(kesedihan) dan al-Hamm(kerisauan) dalam kehidupan seharian?

Menurut Dale Carnigie di dalam bukunya yang fenomenal iaitu “How to Stop Worrying and Start Living”, terdapat satu formula dalam membendung perasaan risau:

  1. Mencari apakah kemungkinan terburuk yang akan berlaku disebabkan perkara yang dirisaukan.
  2. Bersedia untuk menerima kemungkinan tersebut.
  3. Bersiap sedia dalam memperbaiki dan menyelesaikan kemungkinan terburuk tersebut.

Formula ini jika dirumuskan, seseorang itu perlulah berdiri teguh dalam menghadapi apa jua perkara yang dirisaukan walaupun manusia secara tabiatnya tidak dapat membuat keputusan secara rasional apabila dikuasai emosi. Manusia akan memperoleh ketenangan dalam berfikir setelah wujud kualiti penerimaan(redha).

kekuatan akal dan pemikiran dapat dioptimumkan dengan persediaan dalam menghadapi setiap kemungkinan. Tindakan lari dan menghindar daripada kesusahan tidak akan membawa apa-apa penyelesaian. Bahkan hanya menambahkan lagi resah di dalam jiwa.

Menangisi perkara yang telah berlaku

Perasaan sedih terhadap sesuatu musibah, kesusahan dan kehilangan bukanlah sebuah keanehan dalam emosi yang perlu diabaikan sama sekali. Bahkan perasaan sedih termasuk empat emosi utama manusia selain rasa gembira, marah dan ketakutan.

Yang penting ialah apakah tindakan yang diambil, sama ada pasrah dan berdiam diri tanpa melakukan apa-apa atau bersabar dan berjuang meneruskan kehidupan.

Langkah terbaik dalam menghadapi kesedihan masa lalu ialah dengan meneliti perkara yang telah terjadi (sebagai suatu pengajaran) dan menyelesaikan perkara yang sedang terjadi.

Islam melarang keras seseorang itu mengenang masa lalu yang boleh menimbulkan kesedihan dengan mengungkapkan kata “seandainya” atau “kalau” sebagai suatu tanda penyesalan. Jelas ini bukanlah sikap orang yang beriman.

Sungguh merugikan apabila banyak bahagian dalam kehidupan itu dirompak oleh perasaan sedih yang berlarutan.

Hiduplah untuk hari ini

Muhammad al-Ghazali di dalam karyanya Jaddid Hayatak(Perbaharuilah hidupmu) telah menimbulkan suatu persoalan, kenapa kita harus membiarkan fikiran kita dikekang keraguan dan dipermainkan kegelisahan? Sebaliknya hiduplah untuk hari dan saat ini kerana itu lebih baik dan masuk akal.

Justifikasinya, kita perlu bersungguh-sungguh dalam memperbaiki urusan kita hari ini. Kesannya, banyak pekerjaan dapat disempurnakan dengan baik dan terhindar daripada perasaan risau dan sedih yang berterusan.

Laksana kata-kata seorang bijaksana:

“Yesterday is the past, Tomorrow is the future, but today is the gift. Thats why it’s called the present.”

Sesungguhnya nilai kehidupan itu ada dalam setiap detik, minit dan jam dan hari yang kita sedang lalui sekarang ini. Jangan disebabkan masa lalu yang kita sesali atau masa hadapan yang belum pasti, kita mensia-siakan anugerah masa kini yang diberi hanya sekali.

Disediakan oleh,

Muhammad Iqbal bin Ahmad Safari,

Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin dan Multimedia KUIS dan merupakan aktivis Belia Harmoni Putra Mahkota.


Rujukan:

1.Perbaharui Hidupmu (Muhammad al-Ghazali)
2.How to Stop Worrying and Start Living ( Dale Carnegie)
3.Seni Hidup Bahagia ( Abdul Rahman al-Sa’di)
4.When Likes are not Enough (Tim Bono)
5.Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/639509/1929-aduan-keganasan-rumah-tangga-sejak-pkp
6.Berita Harian. https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2020/11/749128/seramai-90470-orang-hilang-pekerjaan-tahun-ini

Alma Vieja (Old School)

Pemahaman Tentang Ayat-Ayat Sifat Allah