in ,

Terusir: Sebuah Kritikan Hamka Kepada Masyarakat

Jatuh bangunnya perasaan seorang manusia itu selalu dihubungkan dengan pengalaman hidup yang dilaluinya. Yang pahit ditelan, yang manis dikenang. Kedua-duanya digaul bersama dalam satu adunan memori agar ia tetap diingat hingga ajal menjemput. 

Begitulah sedikit sebanyak gambaran awal mengenai buku ini yang akan saya ulas dengan lebih lanjut. 

“Terusir” pada asalnya merupakan himpunan cerita yang dimuatkan dalam majalah Pedoman Masyarakat yang dipimpin oleh Buya Hamka yang kemudiannya telah dibukukan pada tahun 1940. Pada tahun 2019, Jejak Tarbiah telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan semula buku ini mengikut garis piawai yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. 

 

Karya ini mengisahkan liku-liku yang dihadapi oleh seorang wanita yang digelar “perempuan hina” di mata keluarga mertuanya kerana tiada galur turunan yang elok dan tiada adat yang harus diturutkan. Kerana gelaran inilah, wanita itu iaitu Mariah diusir oleh suaminya sendiri, dibiarkan membawa diri sehelai sepinggang pada nasib yang tak menentu serta meninggalkan anak kesayangan yang masih dalam pelukan kasih sayang seorang ibu. 

Pada pendapat saya, permulaan karya ini agak unik dan mampu menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaannya kerana ia dimulakan oleh sepucuk surat yang diutus dari Mariah kepada suaminya, Azhar. Jelas, HAMKA tidak membina permulaan karya ini dengan sengaja. Penulis menuntut kita untuk membela nasib kaum yang telah tertindas oleh manusia yang sentiasa merancang kejahatan kerana dipengaruhi oleh harta dan keturunan. Biarlah dinyatakan kebenaran walaupun pahit untuk ditelan. 

Kritikan terhadap pemikiran masyarakat pada ketika itu yang amat mementingkan adat dan keturunan jelas ditunjukkan HAMKA pada keseluruhan 10 bab yang terdapat dalam karya ini. HAMKA mengkritik masyarakat yang hanya mementingkan material semata-mata tanpa mempedulikan nilai rohani yang terdapat dalam diri seseorang. Akibatnya, pandangan masyarakat itulah yang menjadi pendorong kepada seseorang untuk terjerumus ke dalam lembah kebinasaan. 

Kerana tidak mendapat tempat di mata masyarakat dalam cara termulia, dibalikkan saja untuk mendapatkan trofi dalam cara terhina iaitu terjebak dalam kancah pelacuran! Itulah yang terpaksa ditempuh oleh Mariah setelah dugaan demi dugaan terus menimpanya. 

HAMKA juga membawa satu mesej kepada pembaca bahawa perlunya seorang lelaki itu menjadi pembela wanita, meluruskan perjalanan seorang wanita dan bukannya merosakkan. Lelaki sebagai ketua keluarga sepatutnya memaut sifat keadilan dalam membuat keputusan dan menyelidik sesuatu perkara sebelum dijatuhkan hukuman. Inilah yang ditunjukkan oleh HAMKA melalui watak Azhar yang bukan sahaja gagal menjadi pembela wanita terhadap isterinya Mariah, bahkan gagal menjadi seorang pejuang yang menegakkan kebenaran. 

Mujur kehadiran anak mereka,Sofyan membawa pembaca untuk tidak terus menghukum peranan lelaki dalam pembangunan keluarga dan masyarakat. Watak Sofyan pula telah menjernihkan pandangan pembaca bahawa masih ada lagi manusia berhati mulia yang berani menegakkan keadilan dan tidak memandang kekurangan dirinya yang tidak beribu sebagai satu musibah besar yang terjadi dalam hidupnya. 

Kita selalu mendengar keretakan rumah tangga akan membawa kehancuran masa depan anak-anak. Namun dalam karya ini, jelas watak Sofyan memberikan satu gambaran baru kepada kita tentang kehidupan seorang anak yang kurang kasih sayang. HAMKA berjaya menyampaikan kepada kita bahawa dengan tidak menyalahkan secara berterusan kepada takdir, kita mampu melahirkan seorang insan yang mulia hatinya, teguh peribadinya seperti Sofyan.

Peranan seorang sahabat yang benar-benar bertindak sebagai “sahabat” juga amat penting dalam mempengaruhi perjalanan hidup seseorang. Melalui watak Haji Abdul Halim, dapatlah saya faham mengenai peri pentingnya memilih sahabat yang berani berkata benar dan tidak bermuka-muka. Watak Haji Abdul Halim ini berperanan sebagai “check and balance” dalam segala keputusan yang telah dilakukan oleh Azhar. Beliau tidak menafikan keputusan yang dibuat oleh Azhar, iaitu mengusir isterinya itu adalah satu perbuatan yang merugikan dan mencampakkan dirinya ke lembah kebinasaan. Beliau juga bertindak sebagai pencadang kepada Azhar untuk mencari semula isterinya yang dibuang itu. Sungguh mulia hati seorang sahabat!

Keseluruhannya, dapatlah saya katakan buku ini bukanlah sekadar mengangkat tema kewanitaan, malah ia lebih mementingkan keutuhan sebuah institusi kekeluargaan. Bagaimana sebuah keluarga yang teguh bermula daripada gabungan lelaki dan wanita yang sama-sama mengharungi badai kehidupan. Yang tidak berterusan mencari kesalahan, sebaliknya mencari titik temu dalam merungkai makna bahagia. 

Walaupun karya ini pada akhirnya tidak menemukan bahagianya kehidupan Mariah dan Azhar, namun ia mendatangkan satu lagi gambaran keluarga yang harmoni hasil daripada dua insan yang saling mencintai setulus hati, iaitu melalui kehidupan anak mereka, Sofyan. 

Tidak keterlaluan untuk saya katakan, karya ini layak dibaca oleh semua pembaca tidak kiralah lelaki dan wanita. Kerana, untuk menjalani sebuah kehidupan yang bahagia pentingnya untuk kita menghargai setiap insan yang pernah singgah dalam perjalanan hidup kita. 

Hayatilah kata penulis dalam karya ini, 

“Sungguh, sahabatku. Barang sesuatu apabila berada dalam tangan, kecacatannyalah yang dilihat. Setelah ia lepas dari tangan, barulah kita akan ingat baiknya.”

 

Bacalah! Teruskan mencari hikmah. 


Syuhadah Ainin, pengulas buku yang aktif berkongsi mengenai buku di media sosial seperti Facebook dan Goodreads.

Leave a Reply

Loading…

Kiamat Hadir Tanpa Salam

Aku Tak Gila!