Home Artikel Resensi Buku Isu Pendidikan Dalam Orang-Orang Biasa

Isu Pendidikan Dalam Orang-Orang Biasa

Sedari dulu, Andrea Hirata seringkali tampil dengan kisah-kisah perjuangan pendidikan yang mengharukan. Seperti Sang Pemimpi, Laskar Pelangi, Endensor dan Maryamah Karpov, Orang-Orang Biasa turut menyentuh isu yang sama.

 

Melalui novel ini, gambaran yang diberikan oleh Andrea tentang situasi yang menimpa kebanyakan golongan biasa cukup jelas.

  1. Mereka ini datang sekolah tanpa hala tuju yang jelas. Sering kali keciciran dan dianggap sebagai mereka yang bermasalah. Dikategorikan sebagai murid kelas belakang. Seringkali menerima tekanan dari guru dan rakan-rakan. Malahan dapat menghabiskan sekolah pun dikira sebagai satu keberuntungan.
  2. Golongan ini meneruskan pelajaran dalam keadaan yang sukar. Ibubapa yang sibuk bekerja mencari nafkah sehingga kadang-kadang memaksa mereka turut serta membantu. Mereka memikul beban tanggung jawab yang tidak sepadan dengan usia. Sudahnya tanggungjawab terhadap pelajaran terpaksa diabaikan. Keadaan yang serba kekurangan serta persekitaran yang tidak kondusif merumitkan lagi keadaan.
  3. Mereka yang berjaya meraih keputusan yang cemerlang pula belum tentu terjamin masa depan. Jurusan-jurusan yang gah hanya didominasikan oleh mereka yang ‘ada-ada’. Diwarisi dari generasi ke generasi. Biasiswa yang sepatutnya menjadi milik mereka turut jadi rebutan. Yang selayaknya bagi mereka hanya kursus-kursus kemahiran picisan. 
  4. Ibubapa tiada daya untuk membantu. Baik dari segi ekonomi mahu pun dalam  pelajaran. Sudahnya anak-anak terpaksa mewarisi jejak mereka. Melakukan sahaja apa yang ada demi kelangsungan hidup. 

Hasil daripada kemelut pendidikan ini lahirlah 10 sekawan yang terdiri daripada Debut Awaludin, Salud, Nihe, Junilah, Sobri, Tohirin, Handai, Honorun, Rusip dan Dinah.

Mereka melalui keadaan hidup yang serba sukar, terpaksa berusaha keras untuk mencari nafkah dan sentiasa bernasib malang. Walaupun dianggap dungu, mereka mempunyai semangat setia kawan yang tinggi dan cukup peka akan kesusahan yang dihadapi oleh sahabat mereka Dinah.

Klimaks cerita ini bermula apabila anak Dinah, Aini berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Namun lantaran kemiskinan, Dinah tidak mampu untuk membiayai pendidikan Aini. Atas niat ingin membantu Dinah, sahabat-sahabat Dinah merancang untuk merompak bank.

Kisah kriminal ini diceritakan dengan cara yang cukup menghiburkan. Membaca novel ini seolah-olah menonton filem aksi komedi dengan adegan-adegan suspen yang tidak diduga sama sekali. Tepat sekali kata penulis, senario filem Hollywood juga belum tentu dapat memikirkan rancangan seperti mereka. Walaupun sarat dengan unsur humor, namun terselit mesej tersirat yang cukup memeritkan. Patah-patah perkataan yang dilontarkan juga memaksa kita untuk mengakui kebenarannya. 

“Kita bukan merompak, Dinah! Kita ini melawan ketidakadilan! Tengoklah banyak-banyak anak pintar miskin yang tidak dipedulikan oleh kerajaan! Tengoklah jurusan-jurusan tertentu yang hanya dapat dimasuki oleh orang-orang kaya! Tengoklah langkanya anak-anak orang miskin jadi doktor! Mendaftar fakulti itu sahaja mereka tidak berani! Padahal, kecerdasan mereka telah diuji! Ilmu hendaklah tunduk pada kecerdasan, bukan kepada kekayaan!”

Selain 10 sekawan, watak Inspektor Abdul Rojali dalam novel ini juga cukup mengesan. Beliau digambarkan sebagai seorang yang komited dan berintegriti dengan kerjayanya sekaligus seorang bapa yang bertanggungjawab dan penyayang. 

Inspektor Abdul Rojali dan Dinah mewakili golongan ibubapa yang berusaha keras berjuang demi memenuhi impian dan cita-cita anak-anak mereka. Mereka prihatin dan peka akan peri pentingnya pendidikan namun keterbatasan kemampuan mereka menjadi penghalang.

Di sini jelas sekali, pendidikan bukan sahaja tanggung jawab ibubapa malah tanggung jawab semua. It takes a village to raise a child. Pihak sekolah, masyarakat dan pemimpin harus sama-sama memainkan peranan dalam mendokong impian dan cita-cita anak-anak ini supaya tidak terbengkalai.

Ungkapan yang dilontar Nihe “Kalau anak tidak sekolah, masa depan jadi musibah” adalah sangat tepat. Pendidikan bukan sahaja jalan keluar bagi mereka dari kepompong kemiskinan malah seharusnya menjadi penyelesaian kepada masalah-masalah yang melanda masyarakat.

 

Pengulas,

Nurmashitah Mohd. Aminudin
Guru,
Kuantan Pahang

Related Post

Leave a Reply

Copy link
Powered by Social Snap
%d bloggers like this: