in

Resensi buku: Bertumbuh

Bertumbuh ialah salah sebuah buku yang saya baca. Ianya dipinjam daripada seorang sahabat. Buku ini sejenis buku motivasi santai ditulis oleh gabungan penulis dari Indonesia. Antara penulis buku ini ialah Satria Maulana, Kurniawan Gunadi, Iqbal Hariadi, Mutia Prawitasari dan Novie Octaviane Mufti. 

Saya ingin berkongsi serba sedikit berkenaan kandungan atau ilmu yang ada dalam buku tersebut. Kata penulis, kita tidak perlu berubah menjadi orang yang lain. Sebab, lama-kelamaan kita akan jadi seperti kita yang dulu juga. Iaitu yang hina, malas, sombong, syok sendiri, angkuh dan lain lain. 

Perkara yang kita perlu buat ialah bertumbuh. Dalam konteks, menjadikan masalah dan pengalaman dalam hidup kita untuk fokus pada matlamat. Bertumbuh dari segi jiwa menjadi besar, tidak mudah mengalah, matang, berani, dan banyak lagi nilai positif yang lain. Bertumbuh itu besar, besar amal, besar ikhtiar, besar tawakal dan syukur pada Allah. Kita tidak pernah terlambat untuk melakukan semua itu .

Terdapat lima ciri-ciri bertumbuh yang ditulis dalam buku ini. Saya ulas dengan sedikit pengalaman yang ada dan juga sedikit pembacaan daripada buku ini. Seseorang yang bertumbuh segar seperti pokok menghijau dan subur ialah mereka yang suka bangun pagi, fokus dengan matlamat hidupnya, tidak dengki dengan kejayaan orang lain, sentiasa menambah iman dan taqwa pada Allah dan orang yang banyak bersedekah. Kita hurai satu persatu supaya lebih jelas. 

Pertama, bangun pagi. Bangkit  dengan satu matlamat, satu fokus yang nak dicapai pada hari tersebut. Kalau hari cuti, jangan pula sambung tidur. Jika boleh, elakkan. Gunakan waktu itu untuk buat apa-apa sahaja yang bermanfaat. Allah swt membuka seluas-luasnya pintu rezeki buat mereka yang berpagi-pagian. Sifat Allah swt itu Ya Ghani (Maha Kaya), Ya Mughni (Maha Pemberi Kekayaan), Ya Fattah (Maha Membukakan) dan Ya Razzak (Maha Pemberi Rezeki). Allah swt menurunkan rahmatNya pada waktu pagi, tidak mungkin kita yang inginkan kejayaan dalam hidup di dunia malah di akhirat akan bermalas-malasan di tempat tidur. Dapat juga dihayati daripada amalan para nabi dan sahabat yang sentiasa bangun sebelum waktu Subuh untuk mendapat keberkatan pada waktu tersebut. Mereka yang bijak akan berebut-rebut untuk terus bangkit daripada tidur untuk melakukan ibadah sehinggalah waktu Subuh.

Perkara ini ada juga disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW. Baginda berdoa: 

“Ya ALLAH, berkatilah umatku pada pagi mereka.” (Riwayat at-Tirmizi)

Kedua, fokus pada tujuan hidup. Bukan pada ‘apa’ atau ‘mana’ jalannya .Tetapi, ‘bagaimana’ nak capai matlamat tersebut. Setiap orang ada impian dalam hidupnya. Begitu juga dengan saya. Ada orang memiliki impian mahu rumah besar, kereta mewah dan ada duit yang banyak. Impian kita mungkin tidak sama. Impian saya ingin memiliki kereta Myvi, tetapi mungkin orang lain bercita-cita memiliki kereta Honda atau Audi. Namun, ada satu tujuan hidup yang hakiki dan juga patut ada dalam senarai impian kita semua. Allah swt telah menetapkan matlamat yang sangat jelas untuk kita hidup supaya tidak tersasar daripada tujuan sebenar. ‘’Tidak Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar beribadah kepada Ku (Az-Zariyat: 56). Nah! Inilah tujuan hidup yang sebenar. Oleh itu, tatkala fokus kita lari daripada landasan, pulanglah semula pada asas penciptaan kita. Semua impian yang dibincangkan di atas, hanya kekal di dunia sahaja. Persoalannya, bagaimana nak capai matlamat ini? Kita harus punya niat yang ikhlas iaitu buat sesuatu kerana Allah swt. Tujuan penciptaan kita adalah untuk beribadah padaNya. Jadi, niatlah bekerja sebagai ibadah. Begitu juga dengan amalan lain seperti menguruskan rumah tangga., membuang sampah, mendidik anak dan banyak lagi. Semua itu adalah ibadah yang menjadi bekalan untuk hari esok. 

Ketiga, usah dengki dengan pertumbuhan orang lain. Untuk bertumbuh menjadi manusia luar biasa yang bukan lagi lemah, putus asa dan tidak bersemangat, kita perlu buang sifat dengki dalam diri. Kehidupan kita tidak sama dengan orang lain. Ada orang pertumbuhannya amat laju. Bagi sesetengah orang lain pula, pertumbuhannya sangat lambat. Jika mahu diukur dengan material atau kebendaan, pasti kita tidak senang hati melihat kejayaan orang lain. Kawan kita, baru sahaja berumur 25 tahun sudah ada pekerjaan tetap, berkerjaya dalam bidangnya dan memiliki kereta mewah. Sedangkan kita masih lagi terkial-kial mencari peluang pekerjaan dan hanya menunggang motosikal lama tinggalan arwah abah. Jika inilah kayu pengukurnya, kita akan ketinggalan . Wahai sahabat sekalian, tidak mungkin kita akan berjaya jika hanya iri hati dengan kejayaan orang tetapi tidak berusaha untuk memajukan diri. Bersaing secara sihat itu bagus. Dengan melihat kejayaan orang, ianya menjadi pembakar semangat untuk kita mendapat kejayaan lebih besar daripada itu.Usah dengki dengan pencapaian orang. Bersihkan hati kita daripada semua sifat mazmumah yang menyebabkan kita sendiri yang berada dalam kerugian. Dalam surah Al-Hijr ayat 47, Allah swt berfirman yang membawa maksud, ahli syurga itu tidak ada sedikit pun perasaan hasad dengki antara satu sama lain.Ringkasnya, calon penghuni syurga itu mestilah bebas daripada perasaan hasad dengki yang boleh merosakkan hati.  

Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.(Al-Hijr:47)

Wahai sahabatku yang baik, jangan pernah sesekali samakan hidup kita dengan orang lain. Kita tidak akan bersyukur dengan apa yang ada. Asyik sibuk tengok orang. Mana boleh nak sama. Nama pun sudah lain. Allah swt bagi sesuai dengan keperluan kita. Syukurlah. 

Keempat, tambah iman dan taqwa pada Allah swt. Orang yang bertumbuh ialah mereka yang sentiasa perbaiki diri. Perbaiki akhlak. Tingkatkan amalan kebajikan. Selain itu, tingkatkan rasa takut padaNya. Iman seorang hamba yang bernama manusia ini ada pasang surutnya. Hari ini imannya setinggi puncak Everest. Namun, esok pula imannya telah menurun seperti menuruni anak bukit. Oleh itu, kita perlu sentiasa muhasabah diri. Kita manusia lemah dan tidak sempurna. Jika melakukan kesalahan, segera memohon ampun daripadaNya. Usah biarkan kita lalai lalu hanyut dengan keenakan dunia ini. Ingatlah Allah swt ketika susah dan juga senang. Suatu amalan baik tidak semestinya dilakukan terlalu banyak dalam sehari. Tetapi, laksanakanlah secara istiqamah iaitu berterusan walaupun sedikit. Contohnya, kita pasti akan membaca satu muka surat Al-Quran setiap hari. Lama-kelamaan, jika kita sudah terbiasa dan menjadi rutin, kita akan berasa tidak lengkap jika tidak membaca Al-Quran pada hari tersebut. Daripada satu muka surat akan bertambah dua atau tiga muka surat sehari. Begitulah manisnya rasa dalam meningkatkan iman pada Allah swt. 

 

 

Akhir sekali, banyakkan sedekah . Sedar bahawa apa yang dimiliki pada hari ini adalah Allah punya. Kongsi. Beri setakat mampu. Allah swt berjanji bahawa tidak akan miskin orang yang suka bersedekah atau menginfaqkan hartanya di jalan Allah swt. Harta yang kita ada sekarang akan habis jika dibelanjakan atau digunakan. Tetapi harta yang disedekahkan itu sajalah yang kekal sebagai bekalan di hari akhirat. Kita beri duit RM 10 pada orang lain, tetapi hakikatnya kita memberi pada diri kita sendiri Sepuluh ringgit itulah saham kebaikan untuk kita kelak. 

‘’Tidak berkurang harta dengan kita melakukan sedekah. (HR Muslim)’’

Inilah antara ciri-ciri orang yang bertumbuh. Mereka bukannya besar dari segi saiz badan atau banyaknya harta dan kekayaan. Tetapi mereka mempunyai besarnya jiwa, sabar, tabah dan kuat menghadapi ujian Allah swt. Paling penting besar iman dan taqwa pada Allah swt di mana jalannya adalah untuk menuju syurga yang hakiki. 

Coretan ini sekadar nota buat diri supaya tidak hilang atau lupa diri. Lain kali, boleh rujuk sini jika tersasar arah. Semoga kita tidak lelah berada di jalan ini. Jatuh, bangun sendiri. Jatuh lagi? Bangun lagi. Be strong!!

 

Pengulas,

Anis Semail
Guru,
Kajang.

Leave a Reply

Loading…

Penyerahan Kota Thaif Penjentik Umat Islam

Siri Rahsia Basmallah: ‘Hamzah Wasal’ hilang dalam Bismillah ?