in

Semudah Salin dan Tampal

Agus mati akal. Dahinya merenik manik peluh. Kedua belah tapak tangan yang terasa lembap dikesat menggunakan napkin kertas. Tala mata berkalih-kalih antara pintu, telefon pintar dan gelasnya yang kosong. Lantas, dia melambai kepada pramusaji dan mencapai telefon pintar. Seketika itu juga sosok rakan sebiliknya menapak ke dalam kafe itu. Perkhabaran baik atau tidak yang dibawa oleh Bidin itu yang membuat Agus tidak senang duduk sedari melangut di situ.

“Dia setuju?” tanya Agus tanpa menunggu Bidin memesan apa-apa. Bidin menggeleng tidak menghiraukan pramusaji yang menghampiri bersama gelas kedua teh O ais limau untuk Agus.

“Dia tak mahu kalau upahnya sama. Dia nak kita tambah. Salah kita juga beri dia tempoh singkat untuk siapkan.”

“Berapa?” 

Bidin teragak-agak menjawab. “Seratus seorang.”

“Pergh! Banyak tu! Mana aku nak cari duit dalam masa terdekat ni?” Agus meraup wajah dan peluh di dahi sudah meleleh ke pipi.

“Aku kena minta kakak akulah.” Bidin memberitahunya walau tidak disoal. Agus termenung sejenak sebelum mematikan persoalan yang berlegar dalam kepala Bidin.

“Beritahu dia yang kita setuju.”

***

Jeritan halus yang memecah keheningan mengejutkan Cecilia daripada lenanya. Buku dan kertas nota yang bertaburan di atas katil jatuh berselerak ke lantai. Belum sempat duduk, Dalila sudah menerkamnya.

“Cepat Cel! Baca mesej grup WhatsApp kelas Dr. Imran.” Cecelia menyambut huluran telefon pintarnya daripada tangan Dalila. Jeda. Decit keluhan dari bibir mungilnya diikuti hempasan telefonnya ke tilam.

“Aku bertegas mengingatkan jangan buat, dia buat juga. Degil! Satu kumpulan dapat musibah!”

Dalila mengetap gigi. “Mujur Dr. Imran bagi kumpulan kita peluang kedua. Tapi, markah kumpulan tetap ditolak.”

“Iyalah. Kita bernasib baik tugasan itu tidak ditolak seratus peratus. Lebih buruk, digagalkan daripada subjek ini.”

Dalila memerhati Cecilia yang kembali menatal skrin telefonnya. “Kau hubungi diakah?” 

Hanya satu cebikan menjawab soalan Dalila.

Agus reda sahaja menadah telinga daripada Cecilia menerusi panggilan telefon beberapa minit yang lalu. Matanya mencerlung tajam pada Bidin yang mulai cuak.

“Apa ni Bidin? Kau beritahu orang itu buat kerja profesional, dah lama ambil upah dan tak pernah ada isu. Sekarang ni kumpulan aku kantoi plagiat. Tapi, kumpulan kau lepas pula. Dahlah bayar mahal!” 

Bidin tunduk merenung lantai. “Aku pun bingung. Teruk Cecilia marah kau?”

“Teruklah! Aku kena e-mel dia semua bahan aku. Dia yang akan betulkan bahagian aku sebab dia tak nak ambil risiko lagi.”

Bidin berkerut. “Kalau Cecilia mahu selesaikan semuanya, kenapa kau susah hati?”

Agus bersandar pada sisi almari memeluk erat bantal kusamnya. “Reputasi aku sudah tercalar Bidin. Terlepas peluang aku pikat Dalila.”

Agus tidak sempat mengelak dengan balingan bantal yang dicampak oleh Bidin. Hatinya bertambah sakit mendengar hamburan ketawa si rakan komplot. Selang beberapa blok, perbualan Cecilia dan Dalila terganggu apabila mereka terdengar riuh rendah datang dari luar bilik mereka. 

“Kalau kau tak nak beli buku aku, tak perlulah nak burukkan aku dan pengaruh orang jangan baca buku aku! Dahlah memfitnah!” 

“Itu bukan memfitnah! Memang kenyataan kau seorang peniru!”

Kelantangan suara dua perempuan bercampur-baur dengan hingar-bingar siswi-siswi yang cuba meleraikan pergaduhan mereka menyapa telinga Cecilia dan Dalila yang menghampiri kerumunan di koridor.

“Fiqa dengan Suri bergaduh lagikah? Pasal apa pula kali ini?” Cecilia terdengar Dalila bertanya kepada seorang gadis yang dikenal wajahnya tapi tidak pula dia mengingati namanya. Jika bukan rakan sekampus, jarang Cecilia yang suka menyendiri mahu ambil pusing hal jiran tetangga di sekitar kediaman para siswi di situ.

Gadis itu menjawab, “Ciapan Fiqa memburukkan Suri sedang hangat tular di Twitter. Ramai netizen kongsi di Facebook. Katanya, Suri bukan penulis sebenar kerana buku-bukunya hanya sekadar memuntahkan semula isi-isi buku yang dibacanya. Hanya copy-paste tapi diolah jadi ayat sendiri. Suri pun naik anginlah! Dituduh pula Fiqa dengki kepadanya kerana dia hanya seorang novelis picisan yang baru menerbitkan satu novel. Setakat menulis di Wattpad dan bangga ada pengikut yang ramai tak perlulah diburukkan buku-bukunya. Kata Suri, dia ada bukti Fiqa meniru cerita-cerita novelis popular.”

“Plagiat!” Hanya satu perkataan berdecit daripada Cecilia yang mendorongnya angkat kaki kembali ke bilik, diekori Dalila.

“Aku faham perasaan kau sekarang, Cel. Isu plagiat kian berleluasa di mana-mana.”

Cecilia mengeluh berat. “Aku sensitif acap kali terdengar cerita orang yang ambil jalan pintas mengaut keuntungan atas hasil penat lelah orang lain semudah salin-tampal. Masih kau ingat peristiwa yang telah menimpa abang aku?”

Dalila mengangguk. Mana mungkin dia lupa isu tular itu sehingga timbul di ruangan gosip akhbar tabloid. Seorang pengarah muda yang sedang meningkat naik dituduh mengadaptasi tanpa izin sebuah novel genre cinta milik seorang penuntut pengajian tinggi. Walhal kebenarannya, penuntut itu yang bukan novelis tulen telah meminta kebenaran kepada pengarah Richard untuk menukar bentuk saluran, daripada filem kepada novel popular. 

Richard, abang Cecilia bukan sahaja pengarah tetapi idea asal filem itu diusahakan dengan rakan baiknya. Mujurlah Richard telah menyimpan rekod bertarikh sebagai bahan bukti merangkumi e-mel antara novelis palsu dengannya dan kronologi draf manuskrip filem bersama tim produksi. 

“Plagiat adalah isu serius. Sedangkan adab berkongsi di media sosial, hantaran pelayar media sosial lain ke garis masa kita pun, ada butang kongsi. Atau sekurang-kurangnya dikreditkan kepada penulis asal. Ini sehingga tergamak menjana sumber pendapatan seperti kes Richard itu. Selepas dinasihatkan oleh penggiat seni yang senior, barulah abangku mahu ambil tindakan undang-undang. 

Ramai yang terpengaruh dengan fitnah budak plagiat itu sampai terjejas reputasi abangku. Si plagiat bukan calang-calang orang pula. Dia seorang influencer yang mempunyai ribuan pengikut. Itulah dia yakin boleh terlepas selepas memfitnah dan menjual hasil plagiat.” Berjela-jela omelan Cecilia menyentakkan Dalila daripada lamunannya.

“Kes novelis popular yang beberapa perenggan novelnya disalin-tampal ke Wattpad itu pun masih tergantung. Aku cuma tertanya-tanya satu perkara.” Dalila menguis-nguis bucu tilam. “Apa perasaan orang yang menciplak karya orang lain dan mengaku itu karya asal mereka? Mereka jahil akan kewujudan akta yang melindungi hak cipta dan intelek?”

Pertanyaan Dalila berlalu tanpa jawapan, sekadar menerima satu jungkitan bahu daripada sahabatnya yang tampak muram.

***

Kopi yang diteguk terasa lebih pahit daripada lazim di tekak Agus. Sebelum menyarung sepatu getah bercorak putih hitam, Agus mengerling pada katil Bidin. ‘Bekas katil Bidin, sebetulnya,’ cetus Agus dalam hati mengingatkan diri. Katil itu sudah beberapa minggu tidak ditiduri. 

Ketika menghayunkan langkah yang longlai menuju ke dewan peperiksaan, Agus teringat akan pelawaan Bidin untuk menggunakan khidmat penulis upahan. Sekali lagi Bidin mahu menggunakan servis penulis upahan yang pernah menjerumuskan Agus pada masalah. Alasan Bidin, penulis upahan itu perlu memberi diskaun bagi menebus kejadian kantoi yang lalu. 

Namun, bak kata pepatah ‘Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.’ Hingga detik itu, Agus masih tertanya-tanya bagaimana Bidin didapati bersalah dan digantung pengajian sementara kes plagiatnya disiasat. Agus bersyukur masih berpeluang untuk kembali ke pangkal jalan usai mendengar bisikan nalurinya. Dia memutuskan untuk tidak turut serta walau dia sangat terdesak ketika itu. 

Bukannya dia tidak mahu menyempurnakan tugasan subjek pengajian tetapi kekangan masanya yang saban diisi dengan bekerja sambilan. Dia hanya mahu meringankan beban yang ditanggung ibunya.

Wajah ibu menerpa di benak Agus. Agus nekad untuk tidak mensia-siakan penat jerih ibunya yang bertungkus lumus mencari rezeki. Harapan ibunya akan dijaga tanpa bercampur unsur syubhah apatah lagi hal yang ternyata tidak halal.

*** TAMAT ***

Nukilan,

Hani Jamal

Seorang penulis buku, penulis upahan dan penterjemah seperti karya Formula Bersalin Tenang (Jun 2016), Syoknya Bersalin Tenang (November 2016), Kera Lupa Password (Antologi Anekdot – Februari 2018. Penyelaras: Zabidi Mohamed), Setulus Janji (Antologi Cerpen – September 2018. Penyelaras: Umie Nadzimah), Apa Lagi Yang Membahagiakan (Antologi Karya Bertema–Jun 2020. Penyelaras: Mohammed Nasser) dan Takut (Antologi Cerpen – September 2020. Penyelaras: Muhammad Fatrim).

Pengarang boleh dihubungi di media sosial:

Blog: https://ekspresihanz.blogspot.com/ dan Twitter: Hani Jamal (@hanzjam)

Kenangan Kopi Buatan Ibu

Pengakhiran Hidup Sabariah dan Pulai adalah Mesej Untuk Masyarakat