Aku amat gembira. Kau bersetuju untuk bertemu aku. Daripada GIF tertera wajah kau sedang ketawa yang kau hantar, aku boleh merasakan yang kau juga teruja seperti aku. Pilihan masa dan tempat sama-sama dipersetujui. Isnin, 6 Jun, 11.30 pagi. Di sebuah kafe yang baru sahaja dibuka kira-kira empat bulan lepas. Sebuah kafe yang menampilkan konsep unik gaya industri sebagai hiasan dalaman, setiap sudut amat sesuai dibuat ruang untuk bergambar. Kita sudah pun melihat ruang dalamannya daripada akaun Instagram kafe itu. Dan mungkin kau juga seperti aku, sudah membayangkan di ruang mana mahu diambil gambar bersama.

Tiba waktunya. Walau enam tahun kita tidak saling menatap wajah, walau pelitup muka membuatkan hanya mata yang kelihatan, kau dan aku tetap saling kenal. Kau kelihatan lebih berisi dan aku kelihatan lebih kurus, itu pandangan pertama masing-masing. Gara-gara terlampau teruja dapat bertemu, segala SOP norma baharu pun kita sudah tidak peduli.

Kita memilih meja paling jauh di hujung sana. Aku fikir kau dan aku masing-masing mahukan suasana lebih tenang dari hiruk-pikuk manusia yang lalu-lalang. Tenang dan senyap, agar tiada tertinggal apa-apa butir bicara masing-masing. Butir bicara yang sudah enam tahun tidak kedengaran.

Makanan dan minuman sudah dipesan. Kau masih seperti dahulu, apa-apa pun minuman yang dipesan pasti tanpa gula. Dan kau juga kata aku masih seperti dahulu, pasti tidak akan memilih nasi. Dalam sepuluh minit, kata pelayan, makanan dan minuman akan tersedia.

Sepuluh minit yang aku mahu isi sepuasnya berbual dengan kau.

Sepuluh minit untuk bercerita tentang kehidupan masing-masing sejak enam tahun lepas.

Oh, betapa aku rindu kau!

Entahlah kau baru bermain silap mata atau apa. Dengan sekelip mata sahaja iPhone 13 berwarna alpine green berada di tangan kau. Dan aku fikir kau baru sahaja mendapatkannya beberapa bulan lepas. Sungguh sofistikated cita rasa kau. Dan begitulah kau yang aku kenal.

Kau kata sebentar, ada sesuatu yang kau mahu lakukan dahulu. Kedua-dua ibu jari kau lincah bergerak menaip entah apa pun aku sendiri tidak tahu. Kau banyak kerja, barangkali. Aku sewajarnya bersyukur. Di celah-celah kesibukan, kau tetap mencari ruang untuk bertemu dengan aku.

Sudah beberapa minit berlalu. Aku masih melihat iPhone 13 berwarna alpine green berada di tangan kau. Sesekali aku melihat ruang dalaman kafe ini yang menampilkan konsep unik gaya industri. Kita masih belum mengambil gambar bersama di mana-mana ruang pun seperti yang aku bayangkan. Aku melihat kau masih asyik membelek entah apa yang terpapar di skrin itu. Dari bayang-bayang pada cermin mata kau, aku kira kau sedang membaca mesej di WhatsApp. Sesekali kau tersenyum.

Bukan kepada aku.

Setelah kau meletakkan iPhone 13 berwarna alpine green itu di atas meja, kita pun mula berbual. Bertanya khabar dan cerita terkini. Soal keluarga dan hal rakan-rakan. Pelbagai cerita yang pasti tidak mampu dihabiskan dalam kurang 10 minit, tidak juga dalam tempoh pertemuan ini. Aku sendiri mencari peluang untuk menyampaikan berita gembira aku. Berita gembira yang aku sangat ingin berkongsi dan inilah juga sebab utama aku mahu bertemu dengan kau pada hari ini.

Aku sudah pun nampak sela yang sesuai untuk aku sampaikan berita gembira aku. Namun, notifikasi dengan nada Note dari iPhone 13 berwarna alpine green milik kau kembali mencuri perhatian, sekali lagi. Kau tersenyum.

Masih bukan kepada aku.

Itulah senyuman yang aku bayangkan apabila kau membaca mesej aku mengajakmu untuk bertemu pada hari ini. Kenapa kau tidak ukirkan senyuman itu pada aku sekarang? Yang berada di hadapan mata kau? Yang kau sendiri teruja untuk bertemu?

Kau meletakkan iPhone 13 berwarna alpine green itu di atas meja, sekali lagi. Kau kata maaf, ada mesej masuk. Kau minta aku mengulangi cerita perihal pengajian aku di universiti. Ketika itu juga makanan dan minuman pun terhidang. Dan kau, masih seperti dahulu, pasti mengambil gambar hidangan yang dipesan dan membuat hantaran di Instagram. Kali terakhir aku lihat akaun Instagram kau, kau punya lebih 800 orang pengikut. Aku pasti 800 orang pengikut kau itu sudah tidak sabar mengetahui apa yang kau sedang lakukan sekarang. Dan yang lebih pasti, salah seorang daripada 800 orang itu sedang memerhatikan sahaja apa yang kau sedang lakukan sekarang.

Aku sudah mula menjamah fetucini masak lemak cili api yang aku pesan. Dan kau, masih mengedit gambar yang diambil tadi. Aku tidak menghiraukan permintaan kau untuk aku mengulangi cerita perihal pengajian aku di universiti. Kau sendiri tidak mengulangi permintaan itu. Mungkin kau sendiri sudah lupa apa yang kau sendiri ucapkan tadi.

Kau meletakkan iPhone 13 berwarna alpine green itu di atas meja, untuk sekian kalinya. Dan kau pun mula menjamah nasi daging Yemen yang kau pesan. Kau bertanya sedapkah fetucini masak lemak cili api yang aku pesan, kau mahu sedikit untuk rasa. Aku beri. Belum sempat kau menilai sedap atau tidak, notifikasi dengan nada Note dari iPhone 13 berwarna alpine green milik kau kembali mencuri perhatian, untuk kali yang entah ke berapa.

Kau kata yang Rahmah, Laili, dan Raihan sudah pun Like gambar yang dibuat hantaran tadi. Mereka tidak puas hati kita berdua keluar makan tanpa mengajak mereka bersama. Sengaja aku tidak mengajak rakan-rakan yang lain. Aku selalu sahaja bertemu mereka. Tetapi, pertemuan dengan kau ini sudah aku damba enam tahun lamanya. Pertemuan bukan sekadar untuk makan bersama, tetapi untuk melepaskan rindu. Selama ini aku terkurung dalam kerinduan yang hanya dapat dibebaskan dengan pertemuan. Entah kenapa, rindu itu tetap kekal di situ, langsung tidak pergi dengan pertemuan ini.

Adakah perlu untuk memberitahu 800 orang pengikut kau di Instagram yang kau bertemu dengan aku hari ini?

Adakah lebih mustahak untuk membaca semua mesej yang kau terima di WhatsApp sekarang juga?

Adakah lebih menarik untuk menghantar gambar makanan di Instagram berbanding untuk benar-benar menikmatinya ketika ini?

Adakah lebih menggembirakan menatap skrin bercahaya itu berbanding menatap wajahku?

Barangkali aku juga perlu bermain silap mata setelah habis menjamah fettucini masak lemak cili api yang aku pesan. Dengan sekelip mata sahaja iPhone 6 berwarna rose gold berada di tangan aku. Aku nyahaktif tetapan Airplane Mode. Ada beberapa notifikasi masuk, termasuklah gambar yang kau tag di Instagram. Tidak perlu pun untuk aku mengetahui yang kau sedang makan dengan aku di sebuah kafe yang baru sahaja dibuka kira-kira empat bulan lepas. Apa guna aku mengetahui itu semua jika aku sendiri sedang berada di sini, di hadapan kau sekarang ini. Barangkali aku sendiri sudah bosan dengan pertemuan ini.

Rupa-rupanya aku bersendirian sahaja di kafe ini. Sama juga seperti mereka di meja yang lain yang turut bersendirian. Mungkin kau sahaja yang sedang ditemani oleh 800 orang pengikut di Instagram. Kafe ini sunyi daripada perbualan. Hanya lagu-lagu Bruno Mars yang dimainkan dari iPhone X milik tuan punya kafe memecah kesunyian. Sesekali melodi lagunya kena dengan keadaan.

At night when the stars

Light up my room

I sit by myself

Talking to the moon

Trying to get to you

In hopes you’re on the other side

Talking to me too

Or am I a fool

Who sits alone

Talking to the moon

Pada akhir pertemuan, kau kata yang kau masih belum puas lagi bertemu. Kau amat berharap kita dapat bertemu lagi dalam masa terdekat. Aku sudah katakan tadi yang aku bakal terbang ke negara Uncle Sam dalam tempoh dua minggu lagi untuk melanjutkan pengajianku di sana. Ah, kau memang tidak memberikan perhatian!

Nota kaki:

Phubbee ialah istilah yang terhasil daripada perkataan phubbing (gabungan perkataan phone dan snubbing). Phubbing merujuk kepada perbuatan tidak menghiraukan individu lain disebabkan penggunaan gajet. Dalam istilah Bahasa Melayu disebut sebagai lekafon.

Phubber merujuk kepada individu yang menggunakan gajet, biasanya telefon pintar, semasa kehadiran individu lain dan, oleh sebab demikian, tidak berlakulah perbualan sesama mereka. Individu yang tidak dihiraukan oleh si phubber pula dirujuk sebagai phubbee.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.