Aku merupakan penuntut ijazah sarjana muda di salah sebuah universiti awam. Berbaki lagi setahun aku bakal bergraduasi. Entah pasti atau tidak, tetapi aku yakin yang aku sungguh tidak sabar untuk menamatkan pengajian. 

Bukanlah kerana alasan yang aku ini malas belajar, tidak aktif atau kurang cerdik. Aku tidaklah juga mahu melabelkan diriku sibuk dengan persatuan, aktif dalam apa jua pertandingan, sukan atau apa-apa yang berkaitan dengan aktiviti di kampus. Aku sederhana, sama seperti kalian yang sedang membaca coretanku ini. 

Kelebihan yang ada, aku merafakkan pujian setinggi-tinggi kepada Allah SWT. Keyakinanku cukup tinggi. Ramai yang memuji aku bahawa aku ini pandai berkata-kata, berani dan bermacamlah. Tetapi segalanya berubah setelah hadir satu makhluk yang sentiasa menguasai aku sehingga aku yang dahulunya normal, telah tegar dengan penyakit kronik migrain dan yang paling bahaya sekali aku pernah depresi sehingga hampir hendak membunuh diri. Itulah ia COVID-19.

Aku dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang bahagia di Johor. Aku merupakan kembar sulung dan di bawahku ada tiga orang adik yang masih kecil. Sepanjang aku menuntut di universiti, mataku sering kali bergenang ketika mendengar suara ibu di corong telefon. Aku dapat merasakan betapa ibuku lelah membesarkan adik-adik yang masih kecil yang sangat perlu diberi perhatian. 

Tambah lagi, ibu bekerja sebagai seorang guru. Sampai sahaja di rumah, ibu terus melipat lengan baju dan masuk ke dapur untuk menyediakan santapan adik-adik dan ayah. Belum dikira jika ibu pulang lewat kerana perlu menghadiri mesyuarat, karenah rumah tangga lagi serta adik-adik yang perlu ibu hadap. Hanya Yang Maha Kuasa sahaja yang tahu. 

Jika aku di rumah, sudah semestinya urusan rumah, aku yang lakukan. Aku yakin bahawa tinggal di rumah adalah lebih seronok berbanding belajar di kampus. Menetap bersama kawan-kawan juga ada pasang surutnya. Tambah lagi, aku bukan kaki sosial dan suka berjalan keluar ke sana ke sini. Aku sering lewat pulang ke rumah kerana urusan persatuan atau menghadiri sesi latihan sukan.

Tempoh Kawalan Pergerakan 1.0 bermula dengan sakit kepala yang kerap.

“Ya Allah, stresnya aku! Dia ni memang menyusahkan aku betul! Argh bisinglah! Ina, kau ni pemalas! Jom lari dari rumah naa! Ina, kau sebenarnya dah gila! Haahahahaha!” Aku tergelak sendirian di dalam hati. 

Kemudian, aku termenung, aku berkerut lantas aku memegang kepala dengan erat kerana terlalu sakit sambil terbaring di atas katil.  Kadang-kadang, aku terlelap. Apabila aku tersedar kembali, seolah-olah otak aku yang berkata-kata. Aku tidak merasakan yang aku tidur walaupun jika dilihat waktu, memang aku tidur, 

Pada ketika itu, aku tidak terurus. Di hadapan katilku penuh dengan lambakan buku dan kertas yang aku gunakan sepanjang kuliah dalam talian. Telingaku bising dengan suara adik-adik yang sedang bermain sambil menjerit, sekejap menangis dan sekejap ketawa terbahak-bahak. Aku tidak mandi seharian, rambutku masai, bilikku bersepah dan pintu bilik yang sentiasa tertutup. 

Kadang-kadang, aku mendengar ibu atau ayah menegur adik-adik, tetapi mereka hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja. Ada sedikit kekuatan dalam diri, aku segera bangun mengemas bilik, menyusun atur ruang belajar, membersihkan diri, mendirikan solat dan termenung memikirkan nasib diri. Aku sentiasa mengeluh selesai mengerjakan solat. “Haih, sampai bilalah aku nak hadap semua ni.”

Aku terkenangkan saat-saat pahit ketika kembarku terpaksa pulang ke kampus. Aku sangat cemburu. Jika diikutkan keberanian, aku ingin saja menuntut hak untuk pulang ke kampus. Aku memang tidak boleh belajar di dalam suasana rumah. 

Aku cemburu melihat kembarku mengemas pakaian, membeli barang keperluan dan sebagainya sehinggalah aku terniat mahu mensabotaj dia dengan cara mengeluarkan dan menyorokkan barang-barang peribadinya. Aku beristighfar. Aku tak layak untuk pulang ke kampus lagi. 

Aku tidak sampai hati mahu mengatakan itu kepada ibu dan ayah. Jika aku pulang, siapa yang akan uruskan rumah? Siapa yang akan menguruskan adik bongsu ke sekolah? Aku hanya mengangguk mengatakan “ya” apabila diberi arahan akan menguruskan adik bongsu pergi ke sekolah. Aku tidak boleh tidur atau berlengah selesai solat subuh kerana perlu mengejut adik, memandikan, melayan karenahnya, memberi adik makan ketika pulang sehinggalah ibuku pulang dari tempat kerja. Begitulah rutin harianku.

 Kembarku di kampus, dua orang adikku ke sekolah, ibu dan ayah bekerja dengan penjagaan SOP yang ketat. Aku betul-betul mahu pulang ke Apartment Anggerik di Nilai. 

“Ina, kalau kau balik siapa nak uruskan adik? Mungkin ini hikmah untuk kau berbakti kepada keluarga.” Aku menganggap bahawa malaikat menasihatiku tetapi tangkas benar syaitan memintas. 

“Ina, kau kena balik! Macam mana kau nak belajar dengan tenang dekat rumah ni? Kau ada hak! Sampai bila kau nak jaga hati orang lain, tapi orang lain pijak-pijak kepala kau!” Aku kembali termenung. Kembarku menghulurkan tangan untuk salam. Pagi itu, ayah dan ibu menghantar dia pulang ke kampus.

Maghrib. Lambakan tugasan kuliah menyesakkan dada ditambah due date yang semakin dekat. Aku stres. Fikiranku serabut tidak tahu mahu memulakan tugasan yang mana satu. Masaku begitu suntuk.

 Jika waktu pagi masaku padat dengan kuliah dalam talian, pada waktu tengah hari pula, aku tidak boleh melakukan apa-apa kerja kerana memberi ruang untuk aku mengurus adik yang pulang dari tadika. Sehinggalah adikku telah selesai diberi makan dan dimandikan. Jika dia tidur, aku juga mengambil kesempatan untuk tidur. Aku sangat letih. Mataku cepat mengantuk dan aku yakin itu adalah kesan techno stress

Aku termenung. Aku tidak sempat untuk mandi. Aku sangat runsing kenapa aku tidak sempat untuk mandi. Tetapi aku sempat mengemas rumah, dapur dan mengurus adik. Aku asyik berfikir mengapa nasib aku seperti itu. 

Aku asyik berfikir bila agaknya aku nak menulis. Aku nak sertai beberapa pertandingan penulisan. Tetapi, aku sering bertanya, bila aku nak memulakan penulisan aku. Adakah aku anak yang baik? Adakah aku anak yang rajin? Adakah aku wanita solehah? Aku suka untuk hadir apa-apa majlis ilmu secara dalam talian, tetapi satu pun aku susah nak ikut. Aku suka menangguh. 

Selepas itu, aku bertanya kepada diri aku kembali, “Aku nak buat bila semua itu? Argh! Diam! Tolong diam!” Mungkin yang datang tiba-tiba itu malaikat. Mereka berkata “Ina, tenang naa. Kau buat jadual.” 

Lalu aku tulis apa yang aku  nak buat. Banyak sangat yang aku senaraikan. Kuliah. Urus adik. Menulis untuk diterbitkan. Persatuan. Bahasa Isyarat. Pertandingan Menulis. Membuat video perkongsian ulasan buku. Kerja rumah. Tugasan kuliah. Mengulangkaji dengan menonton video rakaman kuliah. Menghadiri kelas fardu ain dalam talian. Menonton video-video wacana Dewan Bahasa dan Pustaka. “Ya Allah banyaknya! Sempat ke aku nak buat semua ini dalam sehari?”

Ketika itu, ibu dan ayah serta adik-adik sedang makan di ruang tamu. Aku di dalam bilik dalam keadaan yang tidak terurus. Aku termenung. Kepala aku sangat sakit, rambutku banyak yang gugur, kulitku kusam dan perutku berkeroncong minta diisi. Migrainku mula hadir mnecengkam urat otak sehingga aku dapat rasa sakitnya di dalam kepala. 

Syaitan memalingkan wajahku di sebelah kiri. Aku ternampak gunting milik ayah. Bersaiz besar dengan tangkai berwarna merah. Tanganku berpeluh. Menggigil. Aku mencapainya lalu aku menggenggam kuat-kuat. Aku menangis. Tanganku menggenggam kuat lagi. Lalu aku terlepas gunting tersebut dari genggaman. Aku menahan tangis semahunya agar ibu dan ayah tidak kedengaran. Aku memegang kepala kerana urat yang berdenyut. Kepala aku sakit sangat. 

Aku termenung lagi. “Ina, tak makan?” Ibu memanggil. “Ya bu, Ina nak mandi dulu.” Aku menjawab seperti biasa.”

“Ina, saya tengok keputusan awak sem lepas keputusan teruk tau, awak ok? Saya dah pesan banyak kali dah, subjek saya awak kena score betul-betul.” Pensyarah menelefonku adalah kerana hal persatuan pada asalnya. Panjang lebar kami berbual tentang isu pelajar. Isu pelajar yang tidak hadir ke kelas, tidak memberi respon ketika dihubungi dan sebagainya. 

Sewaktu itulah aku berfikir, aku ini membantu menyelesaikan masalah pelajar, tetapi diri sendiri juga sedang bergelumang dengan masalah pelajaran. Aku merangkap setiausaha dalam persatuan pengajian. Oleh sebab itulah tidak hairan jika aku sering mendapat panggilan secara mengejut atau dirancang untuk hal-hal persatuan. Ketika sesi perbicangan tersebutlah, pensyarah banyak menasihatiku rentetan dari kes pelajar yang timbul. 

COVID-19 menyebabkan pelajar tertekan apabila berada di rumah. Kita tidak tahu mungkin yang tidak hadir ke kuliah adalah kerana bergelumang dengan masalah keluarga atau seorang anak yang terpaksa bekerja bagi menyara keluarga atau masalah capaian internet yang teruk dan sebagainya. 

Pensyarah banyak sangat menasihatiku agar sentiasa kuat, membantu rakan, reda sehingga mataku bergenang. Aku mengambil kesempatan untuk terus jujur dengan pensyarah berkenaan keberadaanku. Aku nangis. Menahan suara sedalamnya agar tidak begitu esak sambil mataku meliar memandang adik bongsu yang sedang bermain keseorangan. 

Segala beban dan luahan yang aku pendam selama ini terburai secara mendadak. Pensyarah begitu terkejut kerana beliau sendiri tidak menyangka hal aku sedemikian. Sejak hari itulah pensyarah sentiasa mengambil berat terhadapku. Jika berurusan dengan beliau, pasti di akhir kalam beliau menitipkan sekali nasihat dan kekuatan agar aku kuat menempuh alam pembelajaran di rumah. 

“Yang penting awak kena reda. Kalau awak reda, In-shaa Allah, Allah bantu awak waktu periksa nanti.” 

Selesai. Aku tutup telefon. Makin kuat esakanku lantas aku menghantar mesej kepada sahabat baikku untuk menceritakan segala apa yang berlaku. 

4 Ogos 2021. 17, 105 kes.

Muncul varian delta. Aku mengeluh kecil. Tetapi bukanlah kerana menyoal takdir. Aku cuma meluahkan sesuatu yang aku pasti hanya Yang Maha Esa sahaja yang tahu. Politik, Freemason, angkara Yahudi dan bermacam-macam cerita yang aku dengar bagaimana berpuncanya COVID-19 yang aku sendiri kurang tahu apa puncanya. 

“Ah! Allah Maha Hebat menguasai segalaNya.” Aku tidaklah sembuh segalanya. Tetapi proses pemulihan ini adalah hasil air tangan sahabatku. Ya. Dia banyak merangsang pemikiranku agar sentiasa berfikiran positif. 

Jika badai melambai, katanya “bangkitlah kerana Allah.” Sahabat yang aku rahsiakan identitinya itu sangat menekankan kekuatan ibadah. Jika aku lelah, jangan mengalah! Jadikan kejatuhan itu kekuatan. Sehingga aku rasa bersalah kerana asyik merujuk kepadanya sedangkan aku maklum, dia mempunyai 1001 permasalahan yang perlu fikir. 

Aku sering menangis tanda syukur kerana hadir dia, hubunganku dengan Pencipta semakin erat. Aku semakin kuat walaupun kadang-kadang ombak istiqamah itu pasang surut. Jika hadir waktu solat, dia mengingatkanku. Jika kami disesakkan dengan tugasan kuliah melambak, dia sering mengingatkan agar mementingkan pemakanan. 

Benarlah, Allah SWT mendengar rintihan hambanya. Aku menjumpai sahabatku itu pun di masjid lalu aku berdoa agar aku dapat mendekati dia. Dia ibarat malaikat. Semoga Allah SWT merahmatinya. Semoga aku dapat bertemu dengan sahabat dunia akhiratku satu hari nanti.

Disediakan oleh,

Aqilah Syazwina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.