Anda punya banyak buku di rumah yang masih belum dibaca, tetapi masih mahu membeli? Sehingga lambakan buku yang belum dibaca terlalu banyak di rak buku? Samalah dengan saya! Namun, sampai bila kita mahu menjadi ‘tsundoku’, yang berterusan mengumpul buku tanpa membacanya?

Nah, di sini mahu saya kongsikan beberapa langkah yang saya lakukan untuk mengatasi masalah ini. Pertama sekali, susun semua buku-buku yang belum dibaca pada sebuah rak khusus. Jadikan rak tersebut hanya untuk meletakkan buku-buku yang belum dibaca, tidak termasuk buku yang telah dibaca. 

Hal yang demikian dapat membantu kita untuk sentiasa sedar dan cakna dengan buku-buku yang masih belum kita usaikan pembacaannya. Justeru, ketika kita ingin membeli buku baru (yang hanya akan menambah lambakan buku yang belum dibaca), hati kita akan berdetik, “Oh, banyak lagi buku yang aku belum baca.” Perkara ini akan menahan keghairahan kita untuk membeli secara impulsif.

Seterusnya, terhadkan pembelian dalam suatu tempoh tertentu. Misalnya, membeli hanya sebuah buku pada setiap bulan. Tidak dinafikan sebagai seorang pembaca tegar, rasa gian untuk sentiasa membeli buku. Oleh itu, saya tidak memutuskan aliran pembelian buku secara terus. Namun, saya melimitkan pembelian kepada sebuah buku pada setiap bulan sebagaimana contoh yang saya berikan di atas. Hal ini lebih baik berbanding membeli terlalu banyak buku dalam satu tempoh masa yang singkat kemudian langsung tidak membacanya.

Selain itu, boleh juga jika mahu meletakkan syarat kepada diri sendiri seperti membeli buku hanya setelah khatam sejumlah bacaan buku. Tamsilannya, kita boleh mensyaratkan diri untuk membeli sebuah buku hanya setelah tamat membaca lima buah buku. Hal ini juga membantu kita untuk pulun membaca buku-buku yang belum dibaca.

Terakhir sekali, berdoalah ke hadrat Allah. Selain memerah fikiran dan berusaha, jangan lupa untuk berdoa kepada-Nya. Bukankah Dia sebaik-baik pemberi? Kepada-Nya jualah kita meminta segala perkara baik besar mahupun kecil. Mohonlah supaya Allah membantu kita untuk mengekang nafsu berbelanja buku di samping menghabiskan buku yang belum selesai dibaca.

Akhir kalam, terpulang kepada diri kita masing-masing jika mahu menjadi ‘tsundoku’ tegar atau sebaliknya, membaca buku-buku yang telah kita beli. Banyak lagi cara kreatif dan mustajab untuk anda lakukan untuk menahan diri daripada membeli buku, jika masih banyak yang belum dibaca. Jangan berputus asa! Insya-Allah, semoga kita berjaya menamatkan bacaan timbunan buku yang ada. 

Disediakan oleh,

Norsyahirah Shahrir

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.