Bilakah membaca itu menjadi penting?

Iaitu antaranya tatkala hati dan minda mula berfikir, mencari makna dan arah tindakan. Di situlah bermulanya ia mencari input-input baharu, dan antara yang boleh mereka lakukan adalah dengan mencari sumber inspirasi untuk berubah; dan salah satunya adalah dengan membaca.


Bermula mencari makna, arah dan tujuan. Mengembalikan semula semangat dengan aspirasi yang lebih segar dan benar. Bagaimana akal mencari dan menggali permata yang berharga supaya setiap hari-hari yang dilalui lebih bermakna dan tidak tertipu dengan kepalsuan, yang akhirnya merugikan diri. Tidak lain tidak bukan dengan mencarinya di dalam dunia spiritual atau yang berbentuk kerohanian.


Hanya di situlah yang akan menyihatkan akal dan sanubari. Hati atau jiwa akan rasa terpenuhi dengan hal-hal yang akan membuatnya bahagia dengan sempurna, sekalipun ujian dan dugaan duniawi melanda. Hal-hal material jarang dapat memenuhi kehendak jiwa. Ada yang mampu meraih apa yang dihajati—berupa kebendaan—namun masih terasa akan kekosongan jiwa yang tidak dapat lagi ia penuhi.

Mengapa hal ini berlaku? Kerana dia tidak menyantuni rohnya. Kerana dia masih kurang kenal akan rohnya sendiri; yang hanya akan sihat dan terpenuhi dengan makanan-makanannya sendiri. Iaitu bersifat kerohanian. Iaitu dengan mengenal siapakah penciptanya, dan tujuan ia diciptakan. Andai jiwa mengetahui hakikat ketuhanan, maka akan sempurna terisi dengan pengabdian kepada Rabb-nya. Dan itulah yang disenangi oleh jiwa dan roh.


Allah SWT yang menciptakan sekalian roh insan, maka tidak hairanlah roh sangat akrab dan selesa hanya dengan penciptanya yang sebenar. Kembalikan roh kepada Allah SWT, iaitu dengan mengabdikan diri melalui ibadat-ibadat yang di dasari dengan ilmu yang benar dan sahih, yang datangnya dari al-Quran dan hadith; serta sunnah Baginda Nabi Junjungan Besar Muhammad SAW.


Di situlah jiwa atau roh akan menemui damai dan kebahagiaannya. Tidak pada hal-hal duniawi, bukan pada hal-hal materi. Bawalah roh akrab dengan Allah SWT. Pasti jiwa akan tenteram, dan di situlah erti sebenar dan tujuan kehidupan. Iaitu perjalanan menuju Tuhan Yang Esa.


Carilah ilmu berkaitan wahyu, semampunya. Semampu diri. Kerana menuntut ilmu itu adalah wajib bagi orang Islam, lagi beriman. Carilah jalan dengan meraih ilmu, dan ditambah dari sedikit demi sedikit. Jadikan ini misi dan revolusi sepanjang perjalanan hidup. Dan yang paling mudah untuk dilakukan adalah dengan berjinak-jinak dengan al-Quran.


Membaca dengan cermat dan teliti. Mencintainya. Ya, mencintai al-Quran ibarat mencintai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup yang telah lama hilang dalam pencarian. Kerana al-Quran ibarat teman setia yang sangat baik tutur bicaranya—mesej serta hikmah yang ingin disampaikan. Nasihatnya, dan perkongsian mutiara yang sangat mententeramkan hati. Bersahabat akrab dengan al-Quran akan meraih banyak keberuntungan, di dunia dan akhirat. Bacalah ia dengan berperingkat-peringkat. Daripada melancarkan dan memfasihkan sebutan-sebutan huruf dan makhraj. Baca sehingga khatam untuk kali pertama. Kemudan, mengulanginya lagi, untuk khatam lagi dan lagi, sehingga ke akhir hayat.


Untuk kali yang berikutnya, baca dengan teliti dan cuba untuk memahami makna dan tafsiran ayat-ayat di dalam al-Quran. Satu per satu. Difahami akan asbab al-nuzulnya. Ini kerana, setiap wahyu yang diturunkan itu berperingkat-peringkat dan mengikut keadaan tertentu semasa hayat Baginda Nabi Muhammad SAW.


Cintailah akan setiap ayat demi ayat yang ada di dalam al-Quran itu. Sehingga menjadi sebati dan sentiasa diingati di dalam minda. Jadilah Muslim yang mencintai bait-bait al-Quran dengan memahami tafsiran dan maknanya dengan benar dan adil. Jadilah ia Muslim yang logofil terhadap al-Quran. Setiap ayat-ayat itu nanti akan mengalir di dalam tubuh, seolah-olah menjadi darah dan daging sendiri. Digenggam erat dan ‘digigit dengan gigi geraham’ akan ayat-ayat al-Quran yang menjadi panduan hidup dan jati diri.


Seterusnya menjadi refleksi dan ingatan sentiasa di dalam minda. Sekaligus menjadi panduan di dalam kehidupan seharian. Setiap detik akan teringat-ingat ayat-ayat suci Qalam Ilahi. Diambil makna atau ibrahnya, difikirkan akan hikmah dan rahsianya seperti yang telah dibahas oleh mufassir atau ahli-ahli tafsir al-Quran. Di situlah jiwa akan mendapat pedoman yang benar dan boleh dipraktikkan sesuai dengan keadaan semasa zaman. Dengan ilmu-ilmu al-Quran, roh atau jiwa akan menemui ketenteraman dan mengerti bahawa ilmu Allah SWT itu sangat luas. Selautan tinta tidak mampu menghabisi hujah ilmu-Nya, sekalipun ditambah dengan jumlah lautan yang sama!


Segala khazanah keduniaan itu, jika dibandingkan dengan seluruh khazanah kehidupan akhirat adalah ibarat setitik air yang menitis jatuh dari sebatang jarum ke seluruh lautan. Maka adakah berbaloi untuk berhempas-pulas dan bermati-matian mengejar keduniaan semata-mata? Apatah lagi larut dan terleka dengan keasyikan fatamorgana di dalamnya?

Oleh kerana itulah keseimbangan amal sangat dititikberatkan di dalam praktikaliti Islami. Melalui jalan wasatiyyah meraih kebaikan dunia dan akhirat; serta mengerti bahawa kehidupan yang baik di akhirat adalah segala-galanya. Dan untuk meraih kejayaan hidup akhirat itu pula perlu mengikut panduan dari wahyu Allah SWT. Tidak sekadar memiliki akhlak dan perwatakan yang baik malah mempunyai niat yang betul, iaitu semata-mata untuk meraih rahmat dan ganjaran kebaikan dari Allah SWT, bukan kerana untuk meraih keuntungan peribadi dan yang bersifat duniawi.


Segalanya ini dapat dimulai dengan kesedaran mencari ilmu dan meraihnya dengan membaca dan mempraktikkannya. Ia memenuhi minda dan jiwa lalu membentuk peribadi dan tingkah laku. Sesuai dengan sifat ilmu-Nya Yang Maha Luas.

Penulis: Faiz al Ahmadi


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.