in ,

Tanam Minat Membaca dalam Diri Anak-anak Sejak Kecil

Iqra’, bacalah. 

Itulah wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui malaikat Jibril. Kenapa membaca? Kerana dengan membaca, kita akan memperoleh pelbagai macam ilmu. Apabila sudah memiliki ilmu, barulah kita ada panduan untuk beramal.

Mutakhir ini, ramai orang menjadikan aktiviti membaca sebagai hobi kegemaran mereka. Tak kira usia muda mahupun tua. Golongan yang bergelar ibu bapa pun tidak ketinggalan dalam menyemarakkan lagi dunia pembacaan ini.

Sehubungan dengan itu, kita pasti mempunyai impian agar anak-anaknya kelak menjadi generasi yang suka membaca walau dimanapun berada. Sudah tentu ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk peribadi anaknya agar sikap suka membaca bersarang dalam diri anak.

Mengenalkan buku kepada anak boleh dilakukan seawal usia mereka satu bulan dan seterusnya. Bayi suka mendengar suara orang tuanya, maka ibu atau ayah bacakanlah buku untuk anak anda yang comel itu. Pilih buku yang menarik perhatian anak. Corak yang berwarna-warni dan pelbagai jenis bentuk. Softbook amat digalakkan untuk anak yang sedang berada di fasa gemar menggigit dan memasukkan sesuatu barang ke dalam mulutnya. Pastikan buku tersebut tidak mengandungi bahan kimia ya.

Kanak-kanak mudah meniru apa yang dilihatnya. Oleh itu, ibu bapa jangan cuma pandai memberikan arahan kepada anak untuk membaca buku sedangkan anda sendiri tidak mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari. Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi, bukan? Kalau anda seorang yang rajin membaca, begitulah anak anda kelak.

Disamping itu, seiring dengan tumbesaran anak, mereka sudah faham apa kehendak mereka. Ajak mereka pergi ke kedai buku dan biar ia memilih sendiri buku apa yang disukainya. Anda pun jangan lupa membeli satu buku untuk diri sendiri. Kemudian, cari tempat yang tenang untuk anda dan anak berehat sejenak sambil membaca buku dan menghirup minuman kegemaran.

8 Awesome Independent Bookstores to Visit With Kids | ParentMap

Perpustakaan? Tidak semestinya. Di tepi pantai atau tasik, di kedai kopi yang ada sedikit privasi dan seumpamanya. Tentu anak lebih seronok dan menikmati kegiatan membaca tersebut. 

Sekiranya anak mula terbit rasa bosan membaca, ibu atau ayah segera lah membantu dengan bertanya kepada anak tentang isi-isi apa sahaja yang menarik dalam buku yang pernah dibacanya. Untuk menggalakkan lagi minat membacanya, berilah reward kepada anak. Tidak perlu mewah, cukuplah sekadar yang boleh membuat si anak gembira dan rasa dihargai. Cadangkan kepada si anak buku kanak-kanak best seller atau buku baru yang keluar di pasaran. Pasti dia teruja!

Natijahnya, kegiatan membaca sebenarnya lebih mengeratkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak. Menanamkan sifat minat membaca ke dalam diri anak bukan hanya tanggungjawab seorang ibu namun ayah pun mestilah bekerjasama dalam mewujudkannya. Bak kata peribahasa ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Barulah terlahirnya generasi membaca yang bijaksana dan kritis.

DIsediakan oleh,

Shafiyyah Mei

Menyahut Seruan Allah di Usia Muda

Mengangkat Pemikiran Kritis Levis Strauss dalam Strukturalisme dan Teori Sosiologi