in

Resensi Filem: Howl’s Moving Castle (2005)

Howl’s Moving Castle ialah kombinasi elemen fantasi, roman, dan perang. Cerita ini adalah berasaskan daripada buku Howl’s Moving Castle oleh Diana Wayne Jones (2001). Cerita ini sangat menarik daripada segi plot, karakter, watak dan juga latar belakangnya. Artikel yang ditulis ini untuk membedah berkenaan watak-watak dan isu yang berkaitan filem ini.

Howl dan Sumpahannya Menjadi Manusia Tidak Mempunyai Hati

Howl terkenal sebagai seorang ahli sihir yang menculik perempuan cantik. Di dalam bukunya, Howl dikatakan seorang pematah hati para perempuan (bukan main buaya besar) disebabkan dia terkena sumpahan yang membuatkan dia tidak mempunyai hati. Baginya ini adalah suatu escapism. Ketika raja memanggilnya untuk berkhidmat kepada negara, kerana ketika itu perang di mana-mana, dia menolak dan sentiasa mencari alasan untuk melarikan diri, dan dia sendiri mengaku dia ialah pengecut. Lihatlah kuasa cinta. Apabila dia bertemu dengan Sophie, walaupun kapal terbang penuh dengan bom, dia tidak lagi takut untuk berhadapan. 

“Sorry, I’ve had enough of running away, Sophie. Now I’ve got something I want to protect. It’s you.” – Howl

Untuk menjadi seorang yang berani, kalian perlu  jatuh cinta.

Pada awalnya, Howl hidup dalam keadaan yang tidak gembira, hidup sekadar hidup. Mungkin juga di mengalami depresi. Keadaan ni kita boleh dilihat  ketika babak Howl pulang dalam keadaan yang sangat lelah selepas diserang. Howl marah akan Sophie kerana mengemaskan posyen ajaibnya di kamar mandi dan telah menukarkan warna rambut Howl. 

“Sophie! You, you sabotaged me! Look! Look at what you’ve done to my hair! Look!” – Howl

Rambutnya bertukar warna mungkin hanyalah masalah kecil, boleh sahaja diwarnakan kembali seperti apa yang Sophie katakan. Bukannya masalah besar. Bagi Howl, ini ialah masalah besar. Seseorang yang mempunyai depresi, masalah kecil pun baginya adalah sangat besar. Ini adalah normal untuk pesakit.

“I give up. I see no point in living if I can’t be beautiful.” – Howl

Bentuk asal (true form) Howl ialah seekor gagak hitam (Dark Raven), yang mana kebanyakan manusia akan lari meninggalkan Howl apabila melihatnya dalam keadaan bentuk asal. Adalah penting untuk Howl merasakan dirinya perlu sentiasa dalam keadaan cantik supaya mendapat social validation dan diterima orang. Hidup untuk diterima orang lain adalah sangat penat dan sangat melelahkan. Walaupun Howl ialah Dark Raven, Sophie menerima Howl seadanya diri Howl yang sebenar.

Kemarahan Howl telah menggegarkan rumah dan mahkluk gelap mula merayap masuk. Lalu Howl perlahan-lahan berubah bentuk menjadi lembik dan bertukar hijau.

“He’s calling the spirits of darkness… I saw him do this once before when a girl dumped him!” – Markl, pembantu Howl.

Howl mencapai tahap breaking point, lalu menarik semua aura negatif di sekelilingnya. Walaupun Howl tidak berniat memanggil Spirit of Darkness, tetapi keadaan dirinya yang sedemikian secara automatik memanggilnya. Law of attraction. Remember? Positive thoughts attract positive things and vice versa.

Menjadi manusia yang mempunyai masalah yang berat membuatkan Howl sensitif dengan keadaan orang lain yang juga mempunyai masalah.

“Seems everyone in this family’s got problems.” – Howl

Katanya selepas dia melihat Turnip-Head, orang yang sentiasa mengikuti Sophie. Dan benar, Turnip-Head juga dalam keadaan terkena sumpahan.

Calcifer, Pembakar Hati Howl

Calcifer, syaitan api ( Demon dalam bahasa Inggerisnya) yang comel dan boleh berkata-kata. Calcifer mempunyai perjanjian untuk menjaga dan membakar hati Howl. Bara Calcifer yang telah memberi tenaga kepada istana Howl untuk bergerak. Semakin membara Calcifer, semakin laju istana akan bergerak. 

“They say that the best blaze burns the brightest when circumstances are at their worst.” – Sophie kepada Calcifer.

Kadang-kadang kita memerlukan katalis untuk menambah bara di dalam hati. Ujian Tuhan yang berat mungkin adalah salah satunya.

Ketika babak Witch of the Waste dan anjing Madam Sulliman berada di dalam istana Howl, Howl bertanyakan kepada Calcifer, kerana ia adalah di bawah pemantauan Calcifer. 

“The Witch of the Waste and Madame Sulliman’s dog at my table? What possessed you to let them in my house.” – Howl

“I didn’t let them in here! Sophie crash landed her plane into my face!” – Calcifer

Sebagai penjaga kepada hati Howl, sebab itulah agaknya Howl membiarkan Calcifer mempunyai kuasa veto membenarkan atau tidak membenarkan seseorang masuk ke rumah Howl. Untuk masuk ke pintu hati seseorang perlu mempunyai keizinan daripada  tuan rumah. begitu maksudnya. Walaupun Witch of the Waste adalah bekas kekasih Howl, dan seorang ahli sihir yang jahat. Anjing tersebut ialah milik Madam Sulliman, bekas gurunya yang dilawan, Calcifer (baca: hati Howl) yang membenarkan mereka masuk adalah semata-mata kerana mereka bersama Sophie. Lagi, kuasa cinta katakan.

Pernah atau tidak kita merasakan bahawa hati terasa berat  dengan segala kisah silam, perangai manusia yang dikenali dan emosi berat yang menyesakkan dada? Ini bahagian yang paling disukai saya  di dalam Howl’s Moving Castle. Sebuah alegori keadaan hati yang membawa bagasi emosi (emotional baggage). Ketika babak Sophie cuba meleraikan sumpahan Howl dengan memasukkan Calcifer ke dalam Howl;

“I feel terrible, like there’s a weight on my chest.” – Howl

“A heart’s a heavy burden.” – Sophie

Kita juga boleh lihat transformasi istana Howl yang pada mulanya adalah buruk, kotor, dipenuhi dengan barang sampah yang tidak berguna, junkies, tidak dibersihkan, luar dan dalam begitu keadaannya. Keadaan mula berubah bermula ketika Sophie membersihkan bahagian dalamnya, kemudian ketika Sophie mengeluarkan Calcifer dari istana, dan istana yang begitu besar dan berat runtuh semuanya. Bara Calcifer yang hampir mati, dihidupkan semula, dan istana Howl sudah menjadi rumah yang lebih kecil. Klimaks, adalah apabila Sophie menyimbah air kepada Calcifer ketika itu rumah yang mereka duduki berubah kepada sebuah platform yang paling ringkas. Api Calcifer akhirnya berubah menjadi api yang berwarna biru. Api biru jauh lebih panas daripada api yang berwarna merah dan oren.

Transformasi istana Howl dan warna api Calcifer ini adalah simbolik kepada keadaan hati Howl yang pada mulanya dipenuhi dengan emotional baggage, semakin lama semakin hilang jika belajar untuk melepaskan? Masih ingat Howl berdendam dengan The Witch of Waste dengan membenarkan dia masuk ke rumah Howl? Itu adalah salah satu contoh. Kawan, jika kita menyimpan dendam dan amarah, begitulah beratnya diri kita menyeret berbakul-bakul emotional baggage.

Memaafkan bukan untuk kebaikan orang yang kita marah itu, tetapi untuk diri kita sendiri. Supaya perkara yang lepas tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengawal kita. 

Sedangkan dalam keadaan paling ringkas pun, hati sudah terasa berat, bayangkan jika hati Howl dimasukkan ketika Calcifer masih menanggung istana besar Howl. Tidak tertanggung berat agaknya.

Sophie dan Sumpahannya Menjadi Seorang Perempuan Tua

Sophie The Hatter ialah protagonis di dalam cerita ini. Pada awal cerita, kita mengjangkakan bahawa Sophie seorang yang kurang keyakinan diri, ketika babak adiknya bertanya, dari manakah dia datang secara tiba-tiba muncul di balkoni? Tidak takutkah jika diculik dengan si ahli sihir Howl penculik para gadis? Lalu Sophie menjawab, tidak apa, saya tidak cantik. Walaupun hakikatnya Sophie cantik.

Sehinggalah Sophie disumpah menjadi perempuan tua berumur 90 tahun oleh Witch of the Waste disebabkan perasaan cemburu terhadap Sophie. Howl cuba mendekati Sophie. Sedangkan dirinya (Witch of the Waste), Howl pernah menolak dan meninggalkan Witch of the Waste selepas Howl mengetahui umur dan fizikal sebenar Witch of the Waste adalah sudah terlampau tua. 

Sophie keluar dari rumah dan keluar mengembara mencari cara untuk meleraikan sumpahannya sehinggalah dia bertemu dengan istana bergerak Howl. Tiada siapa pun yang mengenali Howl secara dekat dan pernah memasuki istana Howl kecuali Sophie. 

“What a dump. When I think of castles, it’s not what I picture.” – Sophie 

Agaknya, dalam pemikiran kebanyakan orang apabila disebut ahli sihir yang mempunyai kuasa dan istana, apa yang dibayangkan mereka hanyalah istana yang besar, kemas, gah lagi cantik. Jauh bezanya bayangan itu dengan keadaan sebenar istana Howl;walaupun besar tetapi serabut, kotor, dan segala perkataan negatif yang boleh di bayangkan. Yang cantik menawan hanyalah penampilan Howl ketika di hadapan orang. 

Kadang-kadang apa yang kita lihat pada seseorang itu hanyalah luaran semata-mata tanpa menyelami perasaan dan hidup seseorang itu, kita tidak akan pernah kenal seseorang dengan sebenar-benarnya.

Berbalik kepada sumpahan Sophie tadi, di akhir cerita ini sumpahannya tidak terlerai disebabkan keadaan rambutnya tetap berwarna kelabu. Boleh diperhatikan sepanjang cerita, keadaan fizikal Sophie berubah-ubah mengikut keadaan situasi dan emosi Sophie. 

Love makes you feel young.

Ketika Sophie tidak lagi  fokus kepada dirinya, dan mula berikir  mengenai  orang lain, dan juga ketika Sophie semakin mencintai Howl, perlahan-lahan fizikal Sophie bertambah muda. Sekaligus, keyakinan dirinya bertambah, ini dapat dilihat apabila Sophie yakin dan mengetahui untuk  membuat keputusan. Bukan mudah untuk mempunyai keyakinan dalam diri seseorang, sokongan moral dari sekeliling itu sangat penting.

Walaupun rambut Sophie kekal beruban, tetapi tetap dipuji Howl. Cinta membuatkan kita dilihat indah belaka. 

“Wow, Sophie, your hair looks just like starlight. It’s beautiful.” – Howl

Witch of the Waste

You can never use magic to win somebody’s heart. Witch of the Waste menggunakan sihir untuk menampakkan dirinya cantik di mata Howl, tetapi gagal.

Biarlah seseorang itu mencintai kita akan diri kita yang sebenar

Walaupun dia tahu Howl tidak mempunyai hati,  dia tetap suka akan Howl.  Sophie, dia pandai berdamai dan buat perjanjian dengan Calcifer, hati Howl dahulu. 

“You who swallowed a falling star, oh heartless man, your heart shall soon belong to me.”- Witch of the Waste

Perkara yang menarik tentang Witch of the Waste ini ialah, pada mulanya dia ialah watak antagonis. Selepas semua kuasanya dihilangkan oleh Madam Sulliman, dia berubah menjadi watak protaganis.. Howl tidak lagi melarikan diri daripada dia.

Semua orang layak menerima kemaafan dan mendapat peluang kedua 

Madam Sulliman penasihat diraja

Madam Sulliman ialah ahli sihir diraja yang melindungi institut diraja daripada serangan musuh. Filem-filem Hayao Miyazaki banyak menunjukkan bahawa perang membawa kesan yang sangat buruk dan tidak membawa  apa-apa faedah.

Ketika babak Howl menyamar menjadi raja dan berhadapan dengan Madam Sulliman, raja yang sebenar masuk dan telah memberitahu Madam Sulliman mengenai bom yang telah dilepaskannya. Ekspresi mukanya yang gembira, sedangkan bom yang dilepaskan itu akan teruk menjejaskan orang awam.  Babak ini men jelaskan bahawa kebanyakan orang atasan kurang  terjejas malah boleh melindungi diri dan kediaman sendiri daripada kesan perang. Yang terjejas teruk hanyalah orang awam dan rakyat marhaen. Hal ini menyebabkan Howl enggan untuk bersama-sama Madam Sulliman menyertai angkatan perang.

“That boy is extremely dangerous, his powers are far too great for someone without a heart.” – Madam Sulliman

Untuk seseorang yang mempunyai kuasa tetapi tidak mempunyai hati bahayanya adalah ketika dia perlu membuat keputusan menggunakan kuasanya. Jika tidak mempunyai belas ihsan terhadap orang lain yakni hati, kekejaman dan kezaliman mudah sekali berlaku seperti apa yang Howl buat sebelumnya.

Beza sifat manusiawi dan haiwan ialah mempunyai belas kasihan dan empati membuatkan kita untuk membuat keputusan yang lebih rasional

“One thing you can always count on is that hearts change.” – Putera raja tidak bernama (Turnip-Head)

Hati manusia sentiasa berubah-ubah. Apabila keadaan hati yang baik, maka baiklah seluruh badannya dan kediamannya.

Istana Howl juga berubah menjadi lebih kemas dan cantik pada akhirnya.

Resensi filem ini sekadar perkongsian dan setiap filem yang ditonton pasti membawa maksud-maksud tersirat. Daripada kita yang mahu ambil atau meninggalkannya.


Annemishi, seorang pemikir tepi jalan yang perasan dirinya seorang idealis, kadangkala optimis, kadangkala pesimis.

Leave a Reply

Loading…

Kenapa HAMKA Menterjemahkan Novel Perempuan Pelacur – Margaretta Gauthier?

Cerpen: Hadiah Untuk Abah