in ,

Di Bawah Lindungan Ka’bah: Novel VS Filem

Setelah membaca novel Di Bawah Lindungan Ka’bah dan menonton filem adaptasinya, saya menyarankan kepada mereka yang hanya menonton filemnya agar membaca novelnya juga kerana filem dan novelnya mempunyai perbezaan yang agak ketara. Maka, untuk lebih merasai keaslian karya buya hamka, tidak boleh tidak, novel Di Bawah Lindungan Ka’bah itu sendiri perlulah dibaca. 

Melalui novelnya, kebanyakan masa bersama yang diluangkan oleh Hamid dan Zainab adalah ketika mereka masih kanak-kanak, kemudian pergaulan rapat antara mereka terbatas setelah mereka berdua selesai bersekolah kerana mengikut adat.

Pendidikan tertinggi kaum wanita hanyalah setakat peringkat sekolah, kemudian mereka akan meluangkan masa di rumah untuk mempelajari ilmu rumah tangga serta ilmu agama. Berbeza dengan kaum lelaki yang boleh meneruskan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi.

Setelah Zainab meningkat dewasa, adab pergaulannya sangat terjaga, Hamid jarang bertemu dengannya kecuali sekadar bersapa di kawasan rumah Zainab. Hamid juga seorang lelaki yang pemalu, sangat menjaga adab pergaulan dan tingkah lakunya. 

Akan tetapi melalui filem adaptasinya, mereka digambarkan sebagai pasangan dewasa yang sangat akrab untuk menarik perhatian penonton mengenai kemesraan mereka supaya kesedihan di pengakhiran cerita lebih dihayati penonton. Hal ini tidak bersesuaian dengan nilai islamik yang cuba dibawa seperti di dalam novel. 

Selain itu, novel Di Bawah Lindungan Ka’bah menggambarkan watak ibu Zainab iaitu Mak Asiah sebagai seorang yang rendah diri dan baik hati. Mak Asiah meminta pertolongan daripada Hamid untuk memujuk Zainab agar berkahwin dengan sepupu Zainab yang dipersetujui oleh kaum kerabat sepeninggalan suaminya yang lain.

Hal ini berbeza pula di dalam filem, Mak Asiah berusaha menghalang perhubungan Zainab dan Hamid dengan menipu Zainab bahawa Hamid ingin bertemu dengannya sebelum Hamid membawa diri ke Mekah. Melalui filem ini, Mak Asiah seolah-olah membawa watak antagonis.

Di dalam novel, Zainab sendiri yang menolak pinangan sepupunya malah sepupunya menghormati keputusan Zainab serta tiada permusuhan antara mereka. Pada awalnya, tiada siapa yang mengetahui perasaan Hamid terhadap Zainab kecuali ibu Hamid, kemudian barulah sahabat mereka iaitu Rosna dan Saleh mengetahui hubungan mereka setelah Hamid meninggalkan kampung itu. Bahkan, apabila Mak Asiah melihat keadaan Zainab yang kurang sihat, beliau menghormatinya dan tidak lagi berbicara mengenai perkahwinan. 

Tambahan pula, adegan tragis di dalam filem ketika Hamid cuba menyelamatkan Zainab daripada mati lemas yang membawa kepada pengusiran Hamid daripada kampungnya juga merupakan tokok tambah daripada novel.

Sebenarnya, Hamid pergi membawa diri kerana yang pertamanya, bersedih dengan kematian ayah Zainab. Keduanya beliau bersedih ke atas kematian ibunya, serta sebelum ibunya meninggal, pesanan terakhir beliau adalah agar Hamid melupakan perasaannya terhadap Zainab disebabkan perbezaan darjat. Ketiadaan dua insan terpenting ini menyebabkan Hamid berasa beliau seolah-olah tinggal sebatang kara.

Ketiganya, alasan yang paling utama ialah ketika cintanya terhadap Zainab tidak kesampaian apabila Hamid diminta oleh Mak Asiah agar memujuk Zainab berkahwin dengan sepupunya Zainab walaupun pinangan itu ditolak oleh Zainab. Pada waktu ini, Zainab tidak menyedari perasaan sebenarnya terhadap Hamid kerana hubungan rapat mereka dianggap seperti adik beradik kandung.

Hamid membawa diri ke Mekah tanpa pengetahuan orang lain dan hanya mengutuskan sepucuk surat meluahkan perasaan sebenarnya kepada Zainab ketika Hamid berada di Medan. Setelah Hamid meninggalkan kampung mereka, barulah Zainab menyedari perasaannya terhadap Hamid melebihi hubungan abang dan adik. Zainab juga sebenarnya menghadapi konflik dalaman antara mengiyakan perasaannya terhadap Hamid atau teguh berpegang adat dan status sosialnya.

Apabila membaca novel Di Bawah Lindungan Ka’bah, pembaca akan diselaputi perasaan kagum, sedih dan syukur manakala apabila menonton filem adaptasinya, perasaan marah dan kecewa akan turut serta disebabkan beberapa watak antagonis yang hanya wujud di dalam filem tetapi bukan di dalam novel.

Menurut pendapat saya, dapatlah kita fahami bahawa filem Di Bawah Lindungan Ka’bah telah diolah mengikut gaya bebas penerbitnya yang telah menenggelamkan beberapa nilai murni yang cuba dibawa oleh Buya Hamka. Oleh kerana itu, saya lebih gemar membaca novel Di Bawah Lindungan Ka’bah berbanding menonton filem adaptasinya. Semoga bermanfaat!

Disediakan oleh,

Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj

Diselamatkan Oleh Pekerja Ladang Kelapa Sawit

Biarkan Gadis itu dengan Pilihan Hatinya!