in

Filem Innocent Moves: Kisah ‘Budak’ Pemain Catur Yang Handal

Pada awalnya filem ini bertajuk Searching for Bobby Fischer (1993) yang berkisar tentang Josh Waitzkin yang berumur tujuh tahun dan mempunyai kelebihan serta kepandaian dalam permainan catur. Filem ini juga secara tidak langsung bercerita tentang perjalanan hidup seorang pemain catur Amerika yang terkenal iaitu Bobby Fischer.

Terdapat banyak nilai murni dan pengajaran yang boleh diambil daripada filem inggeris ini. Pertama, sikap dan watak ibu Josh yang tegas, rasional, empati dan berfikiran jauh menunjukkan karakter peribadi perempuan yang hebat.

Perwatakan Bonnie yang empati dapat dilihat apabila Josh mengatakan bahawa dia ingin mengajak Vinnie untuk tidur di rumahnya kerana ingin membantu Vinnie tidak mempunyai tempat tinggal. Walaupun Vinnie bukanlah orang dewasa yang menunjukkan teladan baik buat kanak-kanak, ibunya tetap berkata kepada Josh

“kamu sangat baik hati dan itulah (hati yang baik) perkara yang paling penting untuk ada.”

Ketika Josh berlawan catur dengan ayahnya buat pertama kali, Bonnie turut mengerti dilema Josh yang tidak ingin mengalahkan ayahnya sendiri dan di suatu situasi yang lain, Bonnie turut faham apabila Josh sengaja memberikan kemenangan kepada pihak lawan di sebuah peringkat pertandingan setelah acap kali merangkul pingat juara. Ibu Josh menunjukkan sikap yang rasional dan berfikiran jauh apabila melibatkan keputusan yang berkaitan dengan anaknya, Josh dan ini bertentangan dengan stereotaip yang biasa didengari bahawa perempuan hanya bertindak atas dasar emosi walaupun sebenarnya emosi boleh berperanan dengan sebaiknya dalam diri seseorang.

Pada peringkat klimaks penceritaan, Bonnie bersikap tegas apabila dia menyatakan bahawa dia akan membawa Josh pergi sekiranya suaminya bakal ‘merosakkan’ hidup Josh suatu hari nanti.

Seterusnya, terdapat mesej penting yang boleh dipelajari daripada karakter ayah Josh, Fred Waitzkin dalam filem ini. Apabila mengetahui bahawa anaknya mempunyai bakat yang besar dalam permainan catur, Fred berusaha untuk mendapatkan khidmat seorang guru terbaik untuk mengasah dan mengembangkan lagi bakat Josh walaupun pembiayaannya tinggi dan mahal. Fred menunjukkan sikap seorang bapa yang bertanggungjawab dan mendukung potensi anaknya.

Selain itu, ketika Fred dan Bonnie hadir ke karnival sekolah, Fred bermatian mempertahankan bakat dan minat Josh di hadapan gurunya apabila gurunya mengatakan bahawa prestasi Josh telah menurun sejak bergiat aktif dalam dunia catur. Ayah Josh berkata kepada gurunya bahawa,

“Apa yang Josh telah capai pada saat ini adalah bermakna dan lebih baik daripada apa yang telah saya buat selama ini.”

Bagi saya, ayah Josh merupakan figura “a proud father with a proud son” kerana beliau sangat mendukung kejayaan anaknya tetapi masih bersikap rendah diri dan tidak bermusuh atau bersifat dengki terhadap orang lain.

Suatu momen yang membuatkan saya tersentuh adalah apabila Fred mampu memperbetulkan kesilapannya setelah dinasihati oleh Bonnie, Fred menyedari bahawa dia telah mula membawa Josh ‘pergi’ daripada makna sebuah kejayaan yang sebenar. Sikap mengaku salah walaupun berada di posisi yang tinggi adalah sesuatu yang sukar untuk disaksikan tetapi peribadi ini dapat dilihat di dalam diri Fred, ayah Josh.

Permainan catur bukanlah sebuah permainan yang mudah untuk dikuasai secara handal kerana ia melibatkan strategi dan latihan mental secara berterusan. Guru-guru catur Josh iaitu Bruce (yang dibayar oleh ayahnya) dan Vinnie (secara tidak langsung) mengajarkan strategi dan kaedah yang berbeza dalam perlawanan catur namun dapat diaplikasikan dalam kehidupan dunia sebenar.

Bruce adalah guru kebiasaan yang boleh kita jumpa di sekolah apabila hanya mementingkan latihan, pembelajaran, dan kerja keras dalam menguasai permainan catur. Namun, ajaran dan pengalaman Bruce yang lama dalam dunia catur sangat membantu Josh untuk memaknai dan memahami permainan tersebut.

Berbeza dengan Vinnie, beliau yang merupakan pemain biasa di Washington Park dan mengajar Josh supaya tidak bermain catur dan membuat strategi hanya dengan berpandukan buku sahaja. Vinnie mengatakan bahawa dalam permainan catur, lawan adalah orang yang penting dan kita perlu mengetahui cara lawan kita bermain untuk menguasai permainan tersebut.

Pada pendapat saya, kedua-dua kaedah pengajaran ini sangat penting kerana seseorang tidak akan mahir dan berilmu tanpa kerja keras melalui latihan dan pembacaan. Namun yang demikian, belajar dengan menghadap buku sahaja tidak mencukupi kerana akhirnya keberadaan orang sekeliling dan juga pengalaman dalam kehidupan yang akan membantu kita dalam membentuk peribadi yang mampan.

Akhir sekali, Josh tetap seorang kanak-kanak walaupun mempunyai kemahiran dan kepandaian yang tinggi dalam dunia permainan catur. Perkara ini dapat dilihat apabila Josh sangat menginginkan pengiktirafan dan sijil daripada gurunya yang akan memperakui bahawa dia seorang pemain catur yang hebat. Sikap Josh ini menunjukkan bahawa dia memerlukan penghargaan, pujian dan perhatian daripada orang yang dihormatinya agar dia mengetahui nilai dirinya sendiri di mata orang lain.

Apabila Josh sentiasa menjadi juara dan mengungguli setiap permainan catur yang dilaksanakan di semua peringkat, dia mula berasa takut akan gagal apabila melihat kemunculan Jonathan yang juga hebat dan handal. Josh membuat tindakan yang berani apabila sewaktu memasuki pertandingan yang sama dengan Jonathan, dia telah memberi kemenangan kepada pihak lawan dengan sengaja dan sekaligus menguji kasih sayang ayahnya.

Namun, tindakan Josh yang menggagalkan dirinya sendiri membuktikan bahawa gagal sekali tidak bermakna apa-apa. Josh kemudiannya bertekad dan berazam untuk menjadi juara dan berhadapan dengan pesaingnya iaitu Jonathan.

Selain itu, watak Bobby Fischer juga seringkali menghilangkan dirinya untuk tempoh masa yang lama sebelum berhadapan dengan pesaing-pesaing hebat. Perkara ini membuatkan saya berfikir bahawa setiap orang perlu mempunyai waktu untuk diri mereka sendiri bagi bermuhasabah kembali, sebelum bertempur semula dalam medan masing-masing. 

Filem ini menekankan elemen kekeluargaan, persahabatan, nilai diri dan juga moral-moral murni yang lain. Terdapat banyak lagi adegan-adegan dan elemen-elemen bermanfaat yang boleh diperoleh daripada filem ini.

Pada hemat saya, filem Innocent Moves yang telah menggantikan tajuk asalnya memberi makna umum bahawa untuk memperoleh sesebuah kejayaan, jangan sampai nilai-nilai baik dalam diri tergadai. 

Disediakan oleh,

Aimi Shatirah


Hantar karya anda di emel [email protected]

Meneladani Maryam dalam Menjaga Kesucian Diri

Al Furai’ah: Wanita Madinah yang Hartawan dan Dermawan