in

“Menulislah untuk Sesuatu yang Kamu Perlu”

“Kita menjangkakan dunia akan membuatkan kita bahagia. Kita terlupa bahawa dunia ada banyak ‘soalan’ berkenaan bahagia yang perlu kita jawab. Antara ‘soalan’ itu adalah, apakah tujuan kamu tadi akan membolehkan kamu bahagia?”

Kali terakhir saya membaca buku fiksi adalah karya Andrea Hirata, Sang Pemimpi pada bulan Februari yang lalu. Jumlah buku fiksi yang saya baca tidaklah banyak mana dan ini kali pertama saya membaca tulisan Tuan Bahruddin Bekri. Saat membaca tulisan ini, saya merasakan bahawa Tuan Bahruddin Bekri adalah seperti Andrea Hirata versi Malaysia. Membaca salah satu tajuk buku terbitan JIWA ini membuatkan saya tertanya-tanya apa isi sebenar dan jalan penceritaannya.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Buku ‘Penulis yang Disayangi Tuhan’ sangat sarat dan kaya dengan makna. Saya boleh katakan bahawa setiap watak dan dialog penceritaan yang dihidangkan dalam buku ini terkandung banyak hikmah dan nilai-nilai yang penting dalam kehidupan. 

Antara watak-watak yang menarik adalah lelaki yang tidak berpelajaran tinggi tetapi bijak berkata-kata seperti Suparno, ketua kumpulan yang pandai berfalsafah dan mempunyai idea-idea gila iaitu Ahmad Rani, perempuan pemalu yang tahu membawa diri seperti Adinda Aisyah dan orang tua yang suka mengkritik dengan tenang iaitu Pak Damono.  

Buku ini mengisahkan tentang Usamah, seorang penulis yang kehilangan semangat dan berputus asa dalam menghasilkan penulisan kerana mendapat kritikan daripada Joe Penapi sehingga hidupnya sebagai penulis menjadi tidak lagi bererti. Usamah kemudiannya bertemu dengan Johari Salim, seorang penulis yang berpengalaman namun telah bersara dari dunia penulisan. Pertemuan yang dipaksakan oleh Usamah atas nasihat temannya Kamri telah membawa dirinya kepada sebuah perjalanan yang menuntut proses panjang.

Bagi mendapatkan semula erti kejayaannya sebagai seorang penulis, Usamah dikehendaki berjumpa dengan empat orang individu dan juga Dato’ Zulkifli yang akan memberikan sebuah pekerjaan kepada beliau. Sepanjang perjumpaan dengan empat orang individu itu, hanya satu soalan sahaja yang boleh dikemukakan oleh Usamah kepada mereka iaitu,

“Mengapa anda membuat apa yang anda lakukan sekarang?” 

Setelah soalan ini diulang setiap kali pertemuannya dengan individu yang mempunyai jalan penceritaan yang berbeza namun mempunyai konklusi yang hampir serupa, barulah saya mengerti bahawa soalan ‘kenapa’ adalah antara soalan asas untuk merungkaikan segalanya dalam setiap pekerjaan yang kita laksanakan. 

“Menulislah untuk sesuatu yang kamu perlu.”

“Apa kamu tidak perlukan Allah?”

Usamah digambarkan watak yang sangat berpegang pada agama. Malah, terdapat latar penceritaan yang menunjukkan Usamah orang yang tidak meninggalkan solat dan zikirnya kepada Tuhan. Namun yang demikian, saya tertanya kenapa Usamah seperti tidak mampu untuk bangkit daripada kegagalan dan kejatuhan yang rencam kalau dia orang yang utuh pegangannya terhadap Tuhan? 

Saya kira kita semua pernah melalui fasa dan peristiwa yang berkemungkinan membuatkan kita hilang panduan dan cahaya kehidupan. Usamah mungkin seorang hamba yang patuh, tetapi sebagai penulis dia terlupa untuk memasukkan elemen ketuhanan sepanjang pekerjaannya dalam bidang penulisan. 

Penulis buku ini menggambarkan bahawa Usamah memandang kerjayanya hanya untuk mengangkat prinsip yang dipegang dan menjadi sumber pendapatan kewangan bagi dirinya dan keluarga. Buktinya, Usamah seperti orang yang hilang arah apabila buku-bukunya dikatakan tidak laku dan syarikat penerbitannya muflis. Johari Salim turut mengatakan bahawa Usamah memperkuatkan penulisannya hanya mengikut kata hati dan mengagungkan cara penulisan Barat tanpa menjadikan Islam sebagai panduan asas.

“Usamah, rasa sedih, kecewa dan marah kepada kritikan itu perkara biasa kerana itu fitrah manusia. Malah, semua rasa itu perlu ada dalam diri manusia, sebelum dia mampu meletakkan diri dalam situasi sabar.”

Suatu nilai penting dan dominan dalam penceritaan buku ini yang dapat saya garap adalah berkaitan dengan nilai sabar. Sabar sebagai seorang penulis. Sabar dalam mendapatkan jawapan dan sabar dalam menjalani proses pencarian. Manusia seringkali terburu-buru untuk sampai kepada tujuan walhal kadangkala proses yang dilalui mereka terkandung banyak hikmah dan jawapan. 

Saya kira selain syukur, sabar adalah elemen signifikan dalam keperibadian seorang insan kerana dengan sikap sabarlah kita akan sentiasa percaya dan yakin bahawa Tuhan punya rencana yang terbaik untuk mengatur perjalanan hidup kita yang panjang.

Di peringkat awal, Usamah sebenarnya tewas dalam memaknai sikap sabar lalu membiarkan dirinya terbelenggu dalam kegelapan yang dalam sebelum mampu merangkul kembali erti kejayaan yang hakiki dengan bantuan pengkritiknya sendiri iaitu Joe Penapi.

Akhir sekali, suatu kelainan penting yang terdapat di dalam buku ini adalah apabila Tuan Bahruddin Bekri berkongsi ilmu-ilmu penulisan novel dan cerpen. Salah satu tugasan Usamah yang diberikan oleh Johari Salim adalah untuk mengajar anak perempuan Dato’ Zulkifli untuk menjadi seorang penulis iaitu Dinie Nurul Iman yang menghidap penyakit anafilaksis. 

Saya merasakan bahawa seseorang yang ingin belajar tentang teori dan praktikal untuk menulis novel atau cerpen perlu membaca buku ini kerana di dalamnya telah disajikan dengan garis panduan dan contoh-contoh yang lengkap dalam mendalami bidang penulisan. 

Selain itu, saya merasakan bahawa Tuan Bahruddin Bekri bukanlah calang-calang orangnya apabila turut berkongsi ilmu penulisan yang beliau miliki sendiri dan seterusnya dimuatkan di dalam buku ini.

Buku cerita yang bagus sentiasa akan memberikan kedamaian dan kekuatan melalui jalan penceritaannya yang menarik dan tidak terbayang oleh fikiran. Cerita ini turut menghiburkan dan mencipta sesuatu kelainan apabila watak 8 orang yang turut menginap di kawasan perumahan Usamah dikembangkan dengan baik dan bermakna. 

Saya bukanlah seorang penulis, tetapi membaca buku ini membuatkan saya teringat wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W dan semua manusia iaitu ‘bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan’. Setelah membaca buku ini, saya berharap agar diri ini juga dilorongkan untuk menjadi pembaca yang disayangi Tuhan.

Disediakan oleh,

Aimi Shatirah

Pendakwah Muslimah Mesti Dedahkan Diri?

Meneladani Pesan-pesan Hamka kepada Pendidik