in

Meneladani Pesan-pesan Hamka kepada Pendidik

Masih saya ingat, buku yang saya pesan daripada Jejak Tarbiah yang tiba tepat-tepat sehari sebelum saya menjejakkan kaki ke sekolah bagi latihan praktikum pertama saya. ‘Pesan HAMKA Kepada Pendidik’ karya Muhammad Shah Ahmad Nor terbitan Jejak Tarbiah. Meremang bulu roma bila terpandang perkataan ‘pendidik’ itu. ‘Berat, tanggungjawab’, antara bait-bait kata yang terngiang di minda saya.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Beberapa minggu di sekolah, cepat minda saya merumuskan, “Ah, moden sungguh kanak-kanak kini.” Tiada lagi permainan seperti dulu kala, yang kedengaran nama-nama permainan video popular, lagu-lagu semasa yang saya sendiri pun tercengang mendengarnya. Cita-cita pun sudah moden-moden belaka. “Vlogger, Youtuber, E-sport gamer.” Tua sudah rupanya saya, sudah di generasi yang berbeza.

Buka mindamu, wahai guru

Namun, saya teringat akan satu pesan Buya Hamka dalam bukunya yang berjudul “Peribadi”. Buya pernah berpesan bahawa dalam membentuk minda anak-anak yang kedepan dan terbuka, guru terlebih dahulu perlu membuka minda mereka dan tidak membiarkan diri berada dalam takuk lama.

Peribadi - HAMKA

Makna kata, janganlah guru sekarang mengharapkan perangai dan lagak anak-anak muda masa kini tidak ubahnya seperti guru-guru pada zaman dahulu kerana tidak akan dapat kita nafikan bahawa sesungguhnya peredaran masa akan tetap mengubah suasana dan benda. Terpulang kepada kita untuk membentuk perubahan itu ke arah yang baik atau sebaliknya.

Justeru, satu perkara yang saya cuba aplikasikan adalah dengan menerapkan apa yang anak-anak didik saya suka dengan mata pelajaran yang sedang saya ajar. Masih saya ingat, pernah suatu hari, saya membina ayat Bahasa Inggeris menggunakan permainan video kegemaran mereka iaitu Mobile Legends. Riuh sekelas dibuatnya, masing-masing sibuk mahu bercerita tahap permainan masing-masing. Lalu saya selitkan pengajaran pada hari itu, bahawa setiap nama khas, termasuk nama permainan video kegemaran mereka itu, perlu ditulis menggunakan huruf besar pada abjad pertama. 

Berdamai dengan kenakalan anak didik

Seterusnya, naskhah ‘Pesan HAMKA Kepada Pendidik’ turut mengajak para guru berdamai dengan kenakalan anak didik. Hai, menulis ini sahaja sudah membuatkan kepala saya tergeleng-geleng. Nakalnya anak murid, ya ampun. Namun senakal-nakal mereka, masih ada nilai baik mereka yang saya lihat. Tidak pernah saya keluar kelas tanpa ada tangan yang berebut hendak menghulurkan bantuan. Bagi saya, cubalah kita pandang sisi baik mereka dan sering juga saya titipkan pesan buat anak-anak murid saya, tidak mengapa jika kita tidak begitu pandai, asal rajin berusaha dan cantik rupa akhlak di dada.

Pendidikan Islami itu rahmah, bukan marah-marah

Beberapa minggu di sekolah itu juga menyedarkan saya bahawa tidak semua kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga yang sempurna dan bahagia. Lalu di sekolah, mereka cuba memaknai kasih dan juga rasa berpunya walaupun kadangkala, luahan itu melalui cara yang tidak kena pada pandangan mata kita. Raikanlah jiwa-jiwa tabah ini. Santunilah dengan ketegasan dan pinjamkanlah telinga setakat mana yang termampu. Akan ada cerita sebalik mata-mata bundar, kaki-kaki nakal dan mulut yang diam tidak berkutik dalam bilik darjah itu.

Bak kata penulis ‘Pesan HAMKA Kepada Pendidik’, santunilah murid-murid kerana pendidikan Islami itu rahmah, dan bukan marah-marah. Bukankah selain ilmu baca dan kira, sekolah itu juga ruang buat memanusiakan manusia?

Buat setiap kesukaran, akan hadirnya kemudahan.

Sekarang musim pendemik, kes harian COVID-19 yang masih mencanak naik, sekolah masih belum dibuka dan pembelajaran jarak jauh masih perlu diteruskan. Sungguh, ini merupakan satu cabaran buat semua pihak terutamanya murid, guru dan juga ibu bapa. Berhubungan hanya melalui paparan skrin, pengalaman belajar dan mengajar tidak dapat dirasakan sepenuhnya. Itu belum termasuk masalah data, capaian internet, peranti digital dan sebagainya. 

Pengalaman ini juga mengajar saya untuk keluar daripada zon selesa dan terus berusaha meningkatkan pengetahuan pedagogi digital saya sebagai seorang guru. Aplikasi-aplikasi baru perlu diteroka sepanjang masa agar murid tidak bosan dengan pengajaran satu hala atau satu media semata. Namun, saya yakin, untuk setiap kesukaran, akan hadirnya kemudahan. Mungkin ujian ini hadir bagi mengasah bakat dan potensi diri kita. Bak kata penulis,

“Apabila kita berhadapan dengan suasana yang ‘baru’, biasanya perasaan akan berasa kurang selesa. Hakikatnya, rasa tidak selesa untuk mencuba sesuatu yang baru itulah antara indikator bahawa kita sedang meningkatkan potensi diri kita.”

“Yakinlah bahawa pada ujian yang kita tempuhi, ia adalah sebuah pendidikan daripada Ilahi. Sepertimana tujuan pendidikan adalah untuk membangkitkan potensi anak didik, begitu jugalah tamsilannya akan ujian Ilahi.”

Disediakan oleh,

Umairah Mohd Noor

Seorang guru praktikum.

“Menulislah untuk Sesuatu yang Kamu Perlu”

Memupuk Jiwa Resilien Dari Kaca Mata Qurani dan Psikologi