in

Memori Berkongsi Membaca Buku Bersama Rakan Sekerja

Keinginan saya membaca buku pada mulanya disebabkan minat untuk mengetahui, belajar sesuatu dan kerana ingin mengukuhkan dan menambah ilmu pengetahuan berkaitan agama dan juga ilmu berkaitan keadaan semasa. Kerana untuk mengetahui sesuatu perlu pandai membaca, dan sememangnya manusia dituntut untuk belajar dan semua proses belajar perlu kepada membaca dan memahami sesuatu perkara atau subjek, bukankah manusia memang memerlukan ilmu saban waktu?

Mengimbau kembali kenangan ketika mula-mula berjinak membeli buku, ketika itu saya bekerja di sebuah kedai makanan yang agak besar dan luas, dengan gaji yang cukup untuk menampung hidup orang bujang yang jauh dari kampung halaman. Selepas waktu bekerja saya rajin singgah ke kedai buku berhampiran melepas letih dan  hanya ingin menghidu bau buku baru. Rasa lega, dan puas walaupun hanya sekadar mencium bau. 

Seingat saya, buku-buku yang mula saya beli adalah novel alaf 20 yang pada masa itu agak rancak penjualannya, mana kan tidak setiap bulan ada saja judul-judul terbaru yang terbit dan hangat di pasaran, walaupun kedai buku yang kerap saya kunjungi pemiliknya berbangsa cina, tetapi di dalam kedai tersebut terdapat pelbagai bahan bacaan, termasuk buku-buku agama, motivasi dan setiap bulan ada sahaja novel Melayu terbaru yang disusun di rak-rak berhampiran kaunter. Maklumlah novel alaf 20 adalah yang terlaris sekali dijual pada waktu itu. 

Kekangan masa kerja yang sangat padat, membuatkan saya jarang dapat menghabiskan waktu yang lama dengan membaca buku, tetapi buku-buku yang saya beli selalu saya bawa ke tempat kerja. Dengan harapan, ada masa tersisa untuk membaca walaupun sekejap, ketika waktu rehat atau ketika pulang kerja sambil menunggu bas di stesen bas.

Teringat sebuah novel yang saya beli bertajuk Salsabila. Mengisahkan seorang wanita bernama salsabila, bagaimana perjalanan hidup seorang gadis yang teguh menjaga agama dan kehormatan dirinya apabila keluar dari kampung halaman, dan berjumpa dengan keluarga sebelah ibunya yang bukan muslim. Novel yang menjadi rebutan rakan-rakan sekerja, dan menjadi asbab rakan-rakan tertarik untuk membaca. Sehingga ke hari ini, saya tidak tahu di mana keberadaan buku itu, kerana terlalu kerap berpindah tangan. Semoga ada manfaat kepada siapapun yang membaca.

Satu keseronokan membaca, ketika rakan-rakan sekerja berkongsi membaca satu buku secara bergilir-gilir, dengan menetapkan peraturan setiap seorang boleh membaca ketika waktu rehat sahaja. Dan buku akan dipulangkan semula, dan disambung bacaan pula oleh orang yang akan rehat seterusnya dan akan mula membaca dibahagian yang bacaannya terhenti. Dengan kaedah itu timbulah agenda kejar mengejar kerana ingin mengetahui kisah selanjutnya agar boleh merasa megah bercerita babak yang rakan lain belum ketahui. Penanda buku siap ditanda nama lagi, bimbang tercicir atau tertukar, ada pula yang lebih suka menulis di telapak tangan sebagai tanda bacaan, Bermacam ragam gelagat rakan sekerja waktu itu. 

Dengan berbekalkan 20 minit waktu rehat itu sahaja masa yang diperuntukkan untuk membaca, dan buku juga tidak dibenarkan dibawa pulang kerana bimbang hilang atau ada yang menghabiskan bacaan sekaligus. Pelik juga peraturan rakan-rakan pada waktu itu. Tetapi itu adalah kenangan indah yang menjadi memori zaman muda dulu. 

Rakan-rakan saya nampak begitu ghairah dengan bacaan mereka, lebih-lebih lagi ketika mereka bercerita mengenai setiap babak yang sudah selesai dibaca. Reaksi wajah penuh perasaan dalam penyampaian cerita, seronoknya suasana membaca pada ketika itu yang terasa kemeriahannya.

Kerana tidak semua orang mampu membeli buku, dengan keadaan ekonomi keluarga yang tidak stabil atau harus membeli keperluan yang lebih utama, Allah jadikan sifat saling berkongsi sebagai penghubung antara saya dan rakan-rakan dengan buku. Kurangnya masa saya membaca buku menyebabkan saya lebih suka mendengar cerita dari rakan-rakan sambil memandang wajah mereka yang penuh dengan penghayatan ketika bercerita.

Walaupun hampir setiap bulan saya bekalkan bahan bacaan kepada rakan-rakan sekerja. Tetapi kadangkala ada juga mereka meminta untuk berkongsi  membeli sebuah buku yang telah disepakati, dan ketika ada sesiapa yang ingin memiliki buku tersebut untuk dibawa pulang dan menjadi koleksi persendirian haruslah membayar baki bayaran kepada rakan-rakan kongsi tadi. 

Tiba-tiba teringat kedai buku pakcik berbangsa Cina yang sudah lama tidak dikunjungi. Mungkin sudah lebih dari 10 tahun.

Nukilan: Aishah Nerina

Kenapa Penting Mengucapkan Kalimah Insya-Allah?

Sebenarnya Islam Tidak Pernah Menyekat Penganutnya Berhibur