in

LoveLove

Komunisme dan Darurat Malaya

Ideologi komunisme menetas di Tanah Melayu seawal tahun 1920-an iaitu melalui kaum imigran Cina. Imigran Cina telah membawa ideologi ini melalui buku-buku serta risalah berkaitan komunis untuk disebarkan dalam kalangan kaum Cina di Tanah Melayu. Rentetan itu, guru-guru dan murid-murid kaum Cina telah bertindak untuk menubuhkan Liga Belia Komunis pada tahun 1926 di Singapura.

Semua ini merupakan titik awal kemunculan ideologi atau pengaruh komunisme di Tanah Melayu sehinggalah tertubuhnya Parti Komunis Malaya (PKM). PKM tertubuh secara rasmi pada 30 April 1930 di Singapura. Perkembangan rancak dan pesat aliran komunisme di Singapura berkait rapat dengan demografi masyarakat setempat yang majoritinya merupakan kaum Cina. 

Parti Komunis Malaya (PKM) kemudiannya tidak hanya memusatkan perhatian dan kegiatan mereka terhadap kaum Cina sahaja, malah turut berusaha untuk mempengaruhi kaum Melayu terutama daripada kalangan petani. Dalam misi untuk menubuhkan sebuah republik komunis di Tanah Melayu, PKM telah mengangkat dasar ‘ketanahmelayuan’ untuk membentuk pengaruh yang berorientasikan Tanah Melayu berbanding kecinaan yang sudah tidak relevan.

Selepas setahun penubuhannya, PKM telah mengadakan Mesyuarat Kader-Kader seluruh Tanah Melayu (Pan Malayan Cadres Meeting) pada tahun 1931 yang menggariskan beberapa objektif dan misi utama. Antaranya ialah untuk meneruskan perjuangan pembebasan daripada imperialis British, feudal dan aristokrasi dengan gerakan persenjataan serta penubuhan Kerajaan Republik Soviet Malaya. PKM turut berhasil menyemarakkan semangat kebangsaan dan anti-Jepun di Tanah Melayu dengan menggunakan propaganda Perang China-Jepun. Tambahan pula, kemelesetan ekonomi global yang menghambat Tanah Melayu seawal tahun 1930-an turut menjadi senjata propaganda PKM.

Meletusnya Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah merancakkan lagi PKM dalam memperkukuhkan kedudukannya. Pada ketika itu, PKM telah bertindak untuk berganding bahu bersama pihak British dalam menentang Jepun melalui Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA). Menerusi MPAJA, PKM telah menerima suntikan dana, bantuan bekalan senjata dan tenaga kerja hampir 7,000 orang daripada British untuk menentang Jepun di Tanah Melayu. Maka, di sinilah bermulanya babak baru bagi PKM dalam misi untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah negara Komunis dengan beberapa operasi gerila selepas berjaya menghalau pihak Jepun.

peta
Rajah 1: Kedudukan Unit-Unit Komunis di Tanah Melayu

Kesilapan paling besar PKM yang diakui sendiri oleh pimpinan-pimpinannya ialah tidak bertindak segera dalam mengambil alih pemerintahan di Tanah Melayu sebaik sahaja Jepun mengundurkan diri. Hal ini demikian kerana, pada waktu tersebut tentera British belum lagi tiba dan MPAJA merupakan gerakan persenjataan yang paling kuat dan lengkap di Tanah Melayu. Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, PKM telah menjadi sebuah organisasi yang teratur berbanding parti-parti lain di Tanah Melayu. PKM telah melaksanakan pelbagai propaganda untuk mengukuhkan kedudukan mereka seperti dalam kesatuan sekerja dan bidang pendidikan Cina. 

PKM cukup bijak dalam melaksanakan propaganda anti-penjajahan untuk menubuhkan kesepakatan dengan parti atau organisasi aliran kiri bagi menghambat kemaraan British. Strategi Barisan Bersatu yang menampilkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), New Democratic Youth League (NDYL), Hisbul Muslimin dan lain-lain telah berjaya dipengaruhi oleh PKM dalam misi untuk menolak pemerintahan British.

Kesannya, PKM berjaya menggagalkan gagasan Malayan Union pada April 1946. Walau bagaimanapun, PKM sedar strategi ini telah menemui kegagalan sejurus tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.  PKM telah mendalangi beberapa sisi kegiatan pemogokan di Tanah Melayu.

Berdasarkan rekod, terdapat 360 kegiatan pemogokan telah berlaku yang melibatkan 69,217 jumlah pekerja pada tahun 1947. Tindakan sebegini sangat ampuh pada pandangan PKM kerana ianya sedikit-sebanyak akan menjejaskan pembangunan ekonomi Tanah Melayu dan kehidupan harian masyarakat tempatan. Maka, dengan cara ini sudah pasti PKM dapat mengukuhkan lagi kedudukan mereka dengan mempengaruhi masyarakat tempatan yang hilang kepercayaan terhadap British. Keadaan bertambah genting apabila PKM berjaya mempengaruhi Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU) yang seterusnya membantu PKM untuk mengawal kesatuan-kesatuan sekerja di peringkat negeri dan pusat.

Menjelang bulan Jun 1948, keadaan sudah menjadi semakin tegang rentetan tindakan PKM yang semakin agresif. Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent menjelaskan bahawa terdapat sekurangnya 13 kes serius yang dilakukan oleh PKM seperti 10 kes pembunuhan termasuk tiga serangan ke atas estet getah.

Kes ini tercetus hasil agitasi anasir ekstremis yang mencabar kekuasaan British sehingga menjejaskan penyatuan dan perundingan. Tiga hari selepas Sir Edward Gent mengumumkan kejadian-kejadian tersebut, tiga orang peladang Inggeris pula yang dibunuh di Perak. Oleh sebab itu, Pengisytiharan Darurat telah dibuat bermula 16 Jun 1948. 

‘Perang yang tidak diisytihar’ atau sering disebut sebagai peristiwa darurat merupakan salah satu sejarah rencam negara ini. Ancaman komunis sememangnya menjadi bencana yang panjang dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah Tanah Melayu. Penguatkuasaan darurat di seluruh Tanah Melayu adalah menerusi undang undang BMA (Essential Regulation Proclamation) sebelum dimansuhkan berikutan pengenalan Rang Undang-Undang Peraturan Darurat (Emergency Regulation Bill) yang diluluskan pada 5 Julai 1948.

Pengisytiharan darurat ini secara tidak langsung telah memberikan kekuatan yang luas kepada British untuk melaksanakan hukuman yang berat terhadap pengganas komunis atau PKM. Antara hukuman yang dijalankan ialah hukuman mati terhadap mereka yang didapati memiliki dan membawa senjata api. Pihak British juga telah bertindak untuk mengharamkan PKM pada 23 Julai 1948.

Sir Edward Gent selaku Pesuruhjaya Tinggi British yang bertindak mengisytiharkan darurat telah terbunuh dalam kemalangan udara ketika menuju ke London dan kemudiannya digantikan oleh Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1948. Walau bagaimanapun, Sir Henry Gurney juga telah terbunuh dalam serangan hendap yang dilakukan oleh pihak komunis pada 6 Oktober 1951. Jawatan ini kemudiannya diambil alih oleh Sir Gerald Templer pada Januari 1953 yang telah menyumbang banyak keberhasilan dalam menentang komunis atau PKM. Strategi perang psikologi yang dilancarkan oleh beliau telah menyebabkan ramai anggota PKM menyerah diri secara sukarela.

Pihak British telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menyekat kemaraan komunis pada era darurat seperti penubuhan Home Guard di bawah Lt. Gen. Sir Harold Rawdon Briggs. Secara amnya, pasukan Home Guard ini bertanggungjawab untuk menjaga keamanan setempat iaitu kawasan yang sering menjadi sasaran pihak komunis seperti kawasan perkampungan, perladangan dan sebagainya.

Bilangan pasukan Home Guard pada tahun 1948 dianggarkan mencapai 40,000 orang dan ditubuhkan berasaskan penyertaan secara sukarela. Kejayaan pasukan Home Guard terbukti di Temerloh apabila kegiatan pihak komunis pada tahun 1952 telah berkurangan rentetan keberhasilan strategi pengawalan makanan, penempatan semula dan kegiatan keselamatan secara mendalam di daerah tersebut.

Rajah 2: Pasukan ‘Home Guard’ Tanah Melayu

Pada tahun 1952, pasukan keselamatan kerajaan telah menewaskan 1,097 anggota PKM. Manakala sebanyak 263 pasukan keselamatan kerajaan telah terkorban di samping 401 yang lain mengalami kecederaan. Tambahan pula, terdapat kematian dalam kalangan masyarakat awam iaitu sebanyak 343 orang dan 163 pula telah mengalami kecederaan. Seramai 131 masyarakat awam juga dilaporkan telah hilang.

Di samping itu, operasi besar-besaran yang dilakukan di bawah pimpinan Sir Gerald Telmpler pada tahun 1953 hingga tahun 1954 untuk menghapuskan komunis membuktikan kejayaan besar dengan pengisytiharan Kawasan Putih. Pada tahun 1953, Kawasan Putih telah diisytiharkan di Pantai Melaka yang memiliki populasi penduduk seramai 160,000 orang atau seluas 220 batu persegi. Kawasan-kawasan lain seperti di Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Terengganu juga turut diisytiharkan sebagai Kawasan Putih menjelang tahun berikutnya.

Era darurat sememangnya telah meninggalkan kesan yang buruk terutama terhadap aspek ekonomi dan kemasyarakatan di Tanah Melayu. Pertama, berkaitan dengan operasi penempatan semula yang telah menghimpunkan hampir 650,000 setinggan kepada hampir 550 buah kampung baharu. Tambahan pula, perbelanjaan yang sangat banyak terpaksa dikeluarkan untuk menghapuskan komunis sehingga dianggarkan $7 juta pada tahun 1950 sahaja.

Pengeluaran getah dan timah juga telah terjejas kerana banyak ladang kecil dan estet terpaksa ditinggalkan kerana bimbang dengan ancaman komunis. Setelah PKM melemah, dan tidak lagi mampu memberikan ancaman yang besar terhadap Malaya, akhirnya pada 19 April 1960, D.Y.M.M Yang di-Pertuan Agong telah bertitah untuk mengakhiri darurat di seluruh negara yang berkuatkuasa pada 31 Julai 1960. Maka, berakhirlah darurat yang berpanjangan selama 12 tahun 45 hari sekaligus menamatkan pemberontakan pertama PKM.

Rajah 3: Tunku Abdul Rahman menandatangani Surat Pengisytiharan Penamatan Darurat di Kuala Lumpur.

Darurat yang berlangsung selama 12 tahun telah menjadi tamparan yang hebat kepada operasi PKM di Tanah Melayu. Perjuangan menerusi Barisan Bersenjata pada gelombang pemberontakan pertama terbukti telah menemui kegagalan dan PKM telah bangkit semula untuk menumbangkan kerajaan, sesuai dengan hasrat penubuhan Republik Komunis melalui pemberontakan bersenjata kedua.

Maka, PKM telah memulakan kempen keganasan kedua mereka bermula 17 Jun 1968 di Tanah Melayu dan turut melintasi sempadan sempadan Selatan Thailand untuk melancarkan serangan terhadap pasukan polis di Kroh, Perak. Pasukan keselamatan negara iaitu Pasukan Polis Hutan dan Angkatan Tentera telah meningkatkan persiapan terutamanya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand yang menjadi tumpuan serangan gerila komunis.

Walau bagaimanapun, Pemberontakan kedua yang dilancarkan semula oleh PKM pada tahun 1968 telah gagal. PKM telah mengalami perpecahan yang sungguh tragis sehingga wujudnya dua buah parti komunis di Semenanjung iaitu PKM-KR dan PKM-ML. Keadaan ini telah melemahkan kekuatan dan perpaduan dalam PKM sebagai parti asal.

PKM telah bersetuju untuk meletakkan senjata menerusi Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand. Berdasarkan perjanjian tersebut, PKM telah bersetuju untuk menamatkan segala pemberontakan dan membubarkan pasukan bersenjatanya. Kerajaan Malaysia dan Thailand pula berjanji akan memberikan layanan yang adil terhadap anggota-anggota PKM. PKM telah diwakili oleh Chin Peng, Abdullah CD dan Rashid Maidin manakala Malaysia pula diwakili oleh Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman serta lain-lain pihak untuk menandatangani perjanjian damai.

Disediakan oleh,

Ilham Yusuf

Penulis merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengambil sejarah sebagai bidang (minor).

Rujukan:

  1. Ho, Hui Ling. Kebangkitan Parti Komunis Malaya (PKM), 1968-1989: “Penelitian Terhadap Kegiatan Komunis di Semenanjung Malaysia” Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, 42(1) 2015.
  2. Ho, Hui Ling. “Strategi Pergerakan Komunis dan Parti Komunis Malaya (PKM), 1920-1989” SARJANA, 27(2), 2012.
  3. Mohd. Reduan Haji Asli. Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia (Edisi Kedua, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 2017.
  4. Mohamad Yasid, Amer Fawwaz, Abdul Rahman dan Azrul Azlan. The Roles of Police Special Branch in Eliminating The Communist Insurgency 1948-1960: An Analysis. Sejarah: Journal of The Department Of History, 27(2), 2019
  5. Tiew, Wai Sin. Sejarah Zaman Darurat 1948-1960: Kajian Bibliografi Beranotasi. Purba : Jurnal Persatuan Muzium Malaysia, vol. 23, 2004.Zulhilmi Paidi & Rohani Hj Ab Ghani. “Darurat di Tanah Melayu: Peristiwa dan Pengajaran Untuk Generasi Masakini Dalam Konteks Ketahanan Nasional” Proceedings Seminar on Nasional Resilience (SNAR 2010), 13-15 July 2010, Bayview Hotel Langkawi. Institute of Tun Dr. Mahathir Mohamad’s Thoughts, Universiti Utara Malaysia , Sintok , pp. 13-33

3 Cara Rasulullah Menghadapi Ketakutan dan Kebimbangan

10 Tahun di Dataran Syam