Pagi ini mendung dan hujan renyai-renyai di sini. Rancang mahu pergi beriadah tetapi disebabkan cuaca tidak mengizinkan, maka kita sambung membaca buku “Bercakap Dengan Quran” tulisan Syazreen Mohd. Bukunya nipis sahaja dan kandungannya juga bagus tetapi lambat untuk menghabiskan bacaan kerana buku ini sangat mencabar untuk dibaca. 

Mencabar bukan kerana topiknya susah, tetapi penulisannya yang suka menggunakan ayat yang panjang-seperti tidak cukup noktah di dalam dunia ini. Kandungan atau mesej yang ingin disampaikan di dalam buku ini sangat baik tetapi cara penulisan dan struktur ayat yang menjadikan pembacaan perlu ambil masa untuk hadam apa yang penulis mahu sampaikan ditambah lagi dengan saiz huruf yang sangat kecil menyukarkan lagi proses pembacaan.

Saya tertarik untuk membeli buku ini apabila melihat iklan buku terkini daripada penulis yang diterbitkan oleh Ilhambooks yang bertajuk “Syahadah Kedua: Menilai Semula Pemahaman Syahadah Masa Kini”. Blurb yang disediakan oleh Ilhambooks di Facebook  menarik diri saya untuk menyelam idea penulis di dalam buku ini.

Progresif dan Liberal?

Mutakhir ini, saya tertarik dengan penulisan-penulisan mereka yang terbuka pemikirannya yang kebanyakannya saya ikuti di laman Facebook. Mereka yang konservatif dengan mudah akan melabel golongan ini sebagai “liberal” (yang biasanya berkonotasi negatif dan seringkali dikaitkan dengan penyelewengan dalam pemahaman beragama). Hakikatnya, konsep liberal itu tidak sesempit yang mereka andaikan.

Saya faham mengapa mereka memberikan konotasi negatif kepada perkataan liberal.

Maksud liberal menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kpd sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya). Apa yang menjadi pencetus kepada golongan konservatif adalah kaitan liberal dengan perkataan ‘bersifat atau berpandangan bebas’.

Bagi sebahagian orang melihat bahawa berpemikiran liberal itu adalah sama dengan berpandangan bebas yang terbabas. Contohnya, mereka menyamakan liberal iaitu berpandangan bebas dan sama seperti menyokong LGBT. Lucu bukan?

Satu lagi pengertian liberal yang terdapat di dalam Kamus Dewan adalah (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik. Misalnya menentang hak-hak istimewa kaum bangsawan).

Dari segi politik atau ekonomi pula, liberal itu merujuk kepada ekonomi pasaran bebas (bebas maksudnya campur tangan yang minimal oleh kerajaan).

Merujuk kepada liberal dari sudut ekonomi (menurut pengetahuan saya yang terhad tentunya), saya tidak gemar konsep pasaran bebas yang banyak menguntungkan kapitalis. Sistem kapitalis telah banyak mendatangkan ketidakadilan buat para pekerja yang hanya makan gaji. Orang-orang kaya semakin kaya dengan perniagaan mereka tetapi semua itu dicapai dengan memerah keringat golongan pekerja yang diberikan gaji minima sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.

Saya teringat akan sebuah sajak yang dikongsikan oleh seseorang di media sosial yang menggambarkan ketidakadilan ini:

Itu adalah bentuk ekonomi “liberal” yang saya tidak sepenuhnya bersetuju. Saya lebih suka jika kerajaan mengenakan cukai yang tinggi terhadap hartawan (bukan sehingga mereka menjadi miskin).

Jika manusia boleh hidup dengan rasa cukup atau dalam bahasa islamiknya, bersifat qanaah, orang kaya yang bersifat pemurah tentu tidak kisah berkongsi rezeki mereka sama ada dengan kesanggupan membayar cukai yang tinggi atau memberikan nilai gaji yang lebih baik kepada pekerja mereka.

Liberal: Baik atau Tidak Baik?

Jika kita lihat maksud liberal yang satu lagi iaitu demokratik dan menentang hak-hak istimewa kaum bangsawan (atau bangsa tertentu) – ini saya setuju. Manusia itu seharusnya sama sahaja. Tidak ada yang lebih mulia daripada manusia lain, yang perlu diberikan layanan istimewa oleh satu pihak kepada pihak yang lain.

Malahan, semangat ini selari dengan Al-Quran, Surah Al-Hujurat ayat 13. Allah S.W.T berfirman yang maksudnya,

“…sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti“.

Oleh itu, perkataan liberal ini bukanlah secara simplistik boleh digunakan untuk melabelkan sesuatu yang negatif. Ketika saya menulis artikel ini, saya membuat carian tentang maksud liberal dan menemukan saya satu contoh penggunaan perkataan ‘liberal’ yang malas (ignorant):

“Liberalisme adalah satu bentuk fahaman sekularisme, iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas daripada ketentuan agama.”

“Berdasarkan kepada fakta dan kefahaman mereka, jelas kumpulan liberal ini hanya sebahagian kumpulan fahaman sekularisme yang dibangunkan di atas sikap berpaling daripada syariat Allah yang sebenar, kufur kepada ajaran dan petunjuk Allah dan rasulnya serta menghalang manusia lain mengikut syariat Allah yang sebenar.”

Penulis artikel tersebut turut menyebut bahawa jika seseorang itu berfikiran liberal maka orang tersebut hanya mengikut logik akal dan membelakangkan Al-Quran dan hadith.

Saya tidak pasti seratus peratus, tetapi saya boleh agak dari mana datangnya pemahaman seperti itu. Mereka sebenarnya risau umat ini tersesat (ya, ini suatu kepedulian yang bagus).

Mereka melihat melalui pengalaman mereka, golongan yang ‘terbuka’ ini sepertinya tersasar. Sebagai contoh, antara watak-watak ‘liberal’ yang seringkali disebut ialah orang-orang seperti Kassim Ahmad, Siti Kassim, Sisters In Islam, dan lain-lain. Kebanyakan daripada kita menolak golongan seperti mereka ini tanpa pernah memahami sudut pandang mereka dan asal-usulnya.

Hakikatnya, budaya melarang umat ini daripada berfikir adalah tidak sihat. Bagi saya, semua orang perlu diberi peluang untuk mendengar apa jua pandangan (tanpa melakukan pe-label-an negatif pada pandangan yang tidak sama dengan kita).

Kita perlu memberi peluang kepada semua orang untuk memilih dan setelah mereka membuat pilihan, kita perlu menghormati pilihan tersebut (tanpa melabelkan orang itu sesat dan jahat).

Jika kita merasakan pandangan kita adalah benar, maka kita perlu berusaha memberi penjelasan, berbalas hujah dan mewujudkan dialog antara satu sama lain (baca: pertukaran pendapat dan soal jawab mengenai sesuatu). Sama ada mereka mahu menerima atau tidak pandangan kita, terpulang kepada mereka sendiri. Kerana setiap pilihan individu itu, apa jua kesan dan akibatnya, mereka sendiri yang bertanggungjawab ke atasnya di dunia dan akhirat.

Kadang-kadang, mereka yang ‘memaksakan’ pandangan mereka ke atas orang lain, menyangka diri mereka melakukan “kerja agama” atau bahasa islamiknya, “amar ma’ruf nahi munkar“. Namun mereka lupa, kerja kita hanya menyampaikan, bukan memaksa. Lagi-lagi memaksa dengan menyalahgunakan kuasa yang mereka ada – itu haram, ini haram!

Keterbukaan: Asas Beragama Dengan Sihat

Jauh juga melencong penulisan ini, asalnya saya hanya mahu berkongsi kenapa mutakhir ini saya cenderung kepada penulisan mereka yang berfikiran terbuka. Apabila bercakap tentang berfikiran terbuka, tidak dapat lari daripada perkataan ‘liberal’.

Sebenarnya, saya ingin sampaikan di dalam penulisan artikel ini bahawa masyarakat kita perlu menghentikan budaya label-melabel. Semenjak dari sekolah menengah lagi, saya sudah mendengar orang dewasa mengatakan, “Jangan baca buku si polan, pemikirannya berbahaya kepada akidah“.

Namun, mereka yang mengatakan sedemikian tidak pernah mengajak audiens mereka untuk membaca atau meneliti apatah lagi membincangkan secara terperinci perkara yang betul atau salah pada individu atau penulisan yang mereka labelkan ‘salah’ dan ‘sesat’ itu.

Akibatnya, saya membesar dengan “pesanan” tersebut, menerima pandangan orang-orang yang saya tsiqah sahaja (yang pernah menyertai usrah, tentu boleh faham maksud saya ini). Saya kurang terdedah kepada kepelbagaian pendapat. Bersetuju atau tidak bersetuju dengan sesuatu tanpa benar-benar memahami ‘kenapa’ di sebaliknya. Taklid buta kata orang.

Sehinggalah satu tahap, saya mendapati sebahagian pandangan yang dipaksakan ke atas saya untuk menerimanya adalah bertentangan dengan nilai kemanusiaan.

Perasaan “eh, kenapa rasa macam tidak betul saja apa yang mereka buat ni?” timbul apabila melihat mereka yang berjuang atas nama agama melakukan perkara yang tidak selari dengan nilai agama. Lebih parah, dalil agama dipetik seperti memetik daun di tepi jalan, diambil sahaja sesuka hati mengikut kepentingan semasa pihak tertentu.

Pentingnya kita didedahkan dengan pelbagai pemikiran, cara berfikir dan menyelam pandangan yang pelbagai. Setiap pandangan itu ada hujahnya dan ada penjelasannya. Jika ia berkenaan dengan tafsiran agama, ada dalilnya sama ada Al-Quran mahupun as-sunnah.

Sebagai makhluk ciptaan Allah yang dikurniakan akal, kita bertanggungjawab untuk memahami setiap pandangan itu dan berdisiplin untuk menerima pandangan yang disertakan dengan dalil yang sahih (bukan main percaya sahaja semua hadith yang dikongsikan).

Kita perlu melalui proses berfikir, bertanya, berbincang, dan merefleksi sebelum menerima atau tidak sesuatu pandangan itu. Bukan menutup minda kita dan percaya sahaja apa orang kata.

Di akhirnya, kita yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T. di atas setiap pilihan kita. Jangan ulangi kesilapan saya sebelum ini yang malas dan mudah berhujah, “Dia lagi tahu tentang agama, kita tidak tahu, jadi ikut sahaja kerana sudah tentu dia betul.”

Sedangkan ulama zaman-berzaman pun ada perbezaan pendapat, sehingga wujudnya pelbagai aliran pemikiran. Jangankan kata yang jauh berbeza seperti sunni dan syiah, dalam kalangan ahli sunnah wal jamaah (ASWJ) juga ada pandangan yang berbeza. Mereka itu ulama, yang menghafal al-Quran dan beribu hadith!

Bagaimana kita dengan mudah percaya dan menerima pandangan satu pihak atau golongan sahaja secara membuta-tuli tanpa melalui proses berfikir yang sepatutnya?

Sedangkan ulama’ terdahulu telah memberi contoh kepada kita bahawa berfikir menggunakan akal itu perlu diharmonikan dengan pembacaan Al-Quran dan hadith.

Buku ‘Bercakap Dengan Quran’

Baik, kembali kepada asal penulisan ini tadi iaitu tentang buku ‘Bercakap Dengan Quran’.

Walaupun saya belum habis membacanya, terdapat beberapa mesej penting yang terkandung dalam buku tersebut iaitu kepentingan membaca dan mengkaji daripada sumber pelbagai dan kepentingan berfikir kerana dengan akal yang sihat, barulah kita boleh beragama dengan sihat.

Kita perlu menerima hakikat bahawa interpretasi terhadap teks itu perlu melihat kepada konteks. Interpretasi golongan terdahulu adalah terhasil daripada pengalaman mereka pada ketika itu.

Ia bukan sesuatu yang tidak boleh dibahaskan semula. Ia adalah pemikiran ulama, bukan firman Allah S.W.T. ataupun sunnah Rasulullah S.A.W. yang tidak boleh diubah.

Kita memerlukan golongan agamawan yang berdisiplin dalam merujuk hanya kepada dalil yang sahih namun cerdas pemikirannya serta rajin berfikir untuk memberikan solusi (atau hukum) yang menjawab permasalahan pada hari ini.

Di akhirnya, solusi agama itu seharusnya membebaskan manusia daripada penindasan dan kezaliman. Ia perlu menerbitkan rasa kasih-sayang yang membawa kepada perdamaian.

Penutup

Rasa janggal jika kita mengatakan bahawa kita memperjuangkan agama dan menggunakan dalil agama, namun ia tidak menjadikan manusia merasa betapa rahmahnya Tuhan itu.

Langkah pertama ke arah menyebarkan rahmah itu adalah dengan menjadi ‘liberal’. Berfikiran liberal itu tidak salah, malah ia adalah kunci untuk membuka fikiran kita dalam memahami perintah Allah S.W.T. dan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. agar tujuan agama (maqasid syariah) itu dicapai di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Jika anda masih berpegang dengan tafsiran ‘liberal’ yang negatif, tulisan saya ini mungkin tidak mampu memberi apa-apa makna buat anda.

“Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!”

Disediakan oleh,

Syafiqah Sulaiman

15 Mei 2021

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.