Dunia hadis biasanya digolongi oleh kaum lelaki. Siapa yang tidak mengenal Abu Hurairah r.a, beliau ialah salah seorang sahabat Nabi s.a w yang paling banyak meriwayatkan hadis baginda. Begitu juga dengan Abdullah ibnu Umar r.a. 

Kitab Sahih Bukhari dan Muslim yang sering kita jadikan rujukan pada hari ini juga merupakan karangan yang berasal daripada kaum lelaki iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim rahimahullah. Tentu juga kita tidak melupakan jasa-jasa imam  besar yang lainnya dalam bidang hadis seperti Sufyan ats Tsauri, imam Muhammad ibnu Idris al Syafi’i, Malik bin Anas, Ahmad bin Hanbal dan yang lainnya. 

Namun begitu, adakah anda mengetahui bahawa kaum perempuan juga memainkan peranan yang besar dalam dunia hadis?

Jika kita pernah membaca catatan-catatan periwayatan hadis oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka, maka pasti kita temui senarai nama para muslimah yang turut meriwayatkan hadis. 

Antaranya ialah Aisyah r.a, ummul mukminin dan merupakan isteri tercinta Rasulullah s.a.w. Aisyah r.a antara wanita Islam yang paling banyak meriwayatkan hadis baginda. Ilmu beliau meliputi ilmu fekah, ilmu perubatan, ilmu faraid dan syair. Anak buah beliau sendiri iaitu ‘Urwah ibn Al Zubair memujinya dengan mengatakan,

“Aku tidak pernah melihat seseorang yang alim terhadap fiqih, perubatan dan syair selain ‘Aisyah.” (Thabaqa ibn Sa’d jilid 7 hal. 39)

Ibnu Syihab al Zuhri pula berkata, “Andai ilmu Aisyah dikumpulkan daripada ilmu seluruh isteri Nabi s.a.w dan ilmu seluruh para wanita, tetap ilmu Aisyah lebih unggul.” (Shifatus Shafwah jilid 2, hal. 24)

Para sahabat r.a jika tidak menemui jawapan dalam permasalahan agama, maka mereka akan bertanya kepada Aisyah r.a. MasyaAllah, ini sekaligus menjadikan Aisyah sebagai guru kepada para sahabat tersebut. 

Selain daripada Aisyah r.a, berikut ini beberapa nama wanita Islam yang tidak kalah hebat keilmuannya.

1) Ummu Salamah (Ummul Mukminin)

Ummu Salamah termasuk sahabat perempuan yang pertama kali berhijrah. Setelah kematian suaminya, Ummu Salamah telah dipilih oleh Allah s.w.t untuk menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w. 

Banyak hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah. Baqi’ ibn Mukhalad dan Abu Muhammad Hazm menghitungnya sebanyak 378 hadis. (Al Ishabah fi Ta’rif al Shahabah jilid 4, hal. 444)

Beliau menyusul jumlah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a iaitu terdapat 13 hadis yang disepakati oleh al Bukhari dan Muslim. Tiga hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari dan tiga belas hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim. (Al Ishabah fi Ta’rif al Shahabah jilid 4, hal. 441)

2) ‘Amrah binti Abdurrahman

‘Amrah binti Abdurrahman ialah salah satu tokoh tabi’ut besar (pengikut sahabat) bersama-sama dengan Hafshah binti Sirin dan Ummu Darda’ al Shugra. 

Amrah merupakan seorang ahli hadis sekaligus ahli fekah yang mendapat pendidikan langsung daripada Aisyah r.a. Ia membesar dalam persekitaran keluarga yang berilmu dan bertakwa. Demikian itu telah menjadikan ia salah seorang perempuan solehah yang terpercaya (tsiqat). 

Dalam musnadnya, imam Ahmad mengatakan bahawa hadis Amrah binti Abdurrahman yang diriwayatkan daripada Aisyah sebanyak sekitar 80 hadis. (Al Musnad jilid 6, hal 69)

Kemudian al-‘Ijli menuturkan, “Amrah binti Abdurrahman ialah seorang wanita Madinah, seorang pengikut sahabat, sekaligus perawi hadis yang tsiqat. Disebutkan pula oleh Ibnu Hakim dalam al Tsiqat. Disebutkan pula oleh Ibnu al Madini bahawa Amrah adalah wanita yang luar biasa.” (A’lam an Nisa’ hal. 273)

Betapa hebatnya Amrah, murid kepada Aisyah r.a. ini. 

3) Zainab binti Abu Salamah

Zainab binti Abu Salamah merupakan anak kepada ummu Salamah, anak tiri Rasulullah s.a.w. Zainab pernah disusukan oleh Asma binti Abu Bakar. Ia pun menjadi anak susuan yang paling disayangi oleh Asma r.a.

Al-‘Ijli menuturkan, “Zainab ialah seorang tabiah asal Madinah, perawi hadis yang tsiqat, sekaligus anak tiri Nabi s.a.w dari isterinya yang bernama Ummu Salamah.” (Al Ma’rifah al Tsiqat, jilid 2 hal. 453)

Ibnu Hajar al Asqalani juga turut memberikan komentar berkenaannya, “Zainab binti Abu Salamah menghafal dan meriwayatkan hadis daripada Nabi s.a.w, daripada isteri-isterinya, dan daripada ibunya. Kemudian daripada Zainab, anaknya meriwayatkan, begitu pula Muhammad ibnu ‘Atha’ ,’Arak ibn Malik dan ‘Urwah ibnu al Zubair.” (Al Ishabah jilid 7 hal. 675)

4) Ummu Darda’ al Shugra

Nama lengkapnya ialah Hujaimah binti Huyay al Washabiah. Dia merupakan isteri kepada Abu Darda’. Dikenali sebagai wanita yang berparas cantik dan menarik. 

Ibnu ‘Asakir berkomentar tentang dirinya, “Ummu Darda’ ialah seorang wanita zuhud, ahli fekah, dan mendengar hadis daripada Abu Darda’, Abu Hurairah dan Aisyah r.a. Banyak perawi yang meriwayatkan hadis darinya, terutama para pembesar tabiin. Diantaranya adalah Jubair ibn Nufair, Abu Qilabah, Abdullah ibnu Zaid al Jarmi, Utsman ibnu Hayyan, Raja ibnu Haiwah dan Ismail ibn Ubaidillah ibnu al Muhajir.” (Tarikh Dimasyq, Tarajim an Nisa’ hal. 418)

5) Hafshah binti Sirin

Hafshah binti Sirin berasal dari Bashrah dan menetap di Madinah. Ayahnya bernama Sirin yang dahulunya seorang bomoh namun selepas memeluk Islam, ia meninggalkan semua perkara syirik tersebut. 

Setelah beranjak dewasa, Hafshah meriwayatkan hadis daripada Ummu ‘Athiyah al Anshariah, daripada Anas bin Malik, daripada Ummu al Hasan, dan sejumlah sahabat lainnya. Ada tujuh hadis yang disepakati oleh al Bukhari dan Muslim. Sedangkan hadis yang diriwayatkan masing-masing ada satu. Kemudian hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya ada sembilan. (Musnad Ahmad jilid 1, hal.407. al Khulashah hal. 490)

Dalam Hadis, Hafshah juga meriwayatkan daripada saudaranya iaitu Yahya ibnu Ma’in dan Anas bin Malik. Ada pula yang mengatakan bahawa beliau meriwayatkan daripada Sulaiman ibnu Amir dan al Dhabi. Kemudian murid-murid yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah Muhammad ibnu Sirin, Qatadah, Ashim al Ahwal, Ayub, Khalid, Al Hizda dan Ibnu ‘Aun. (A’lam an Nisa’ hal. 274)

Hafshah juga merupakan tokoh tabiah iaitu generasi setelah sahabat. Dia sejajar dengan Amrah binti Abdurrahman dan Ummu Darda’ al Shugra. 

6) Mu’adzah al Adawiah.

Mu’adzah al Adawiah ialah seorang wanita ahli ibadah dan isteri kepada Sayyid Silah ibn Asyim. Beliau meriwayatkan hadis daripada Ali ibnu Abi Thalib, Hisyam ibnu Amir, dan yang paling banyak daripada Aisyah r.a. (Siyar A’lam an Nubala jilid 5 hal. 508)

Diantara hadis yang diriwayatkannya daripada Aisyah adalah hadis berkenaan bejana, solat Duha, bersuci dan bermalamnya Nabi s.a.w di rumah isteri-isterinya. (al Khulashah hal. 456)

Dalam kesempatan lain, al Zahabi menuturkan, “Hadis Mu’adzah dapat dipertanggungjawabkan kesahihannya. Bahkan Yahya ibnu Ma’in men-tsiqat-kannya.” (Siyar A’lam an Nubala jilid 4, hal. 505)

7) Fathimah al Sijistaniah

Nama sebenarnya ialah Fathimah binti Abu Bakar Abdullah ibnu Abu Dawud al Sijistani. Beliau merupakan cucu kepada Abu Dawud al Sijistani, penulis kitab Sunan Abu Dawud. Fathimah meriwayatkan hadis daripada ayahnya. Manakala orang yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah Abu al Qasim Abdul Wahid ibnu Jauz al Hurrah, Muhammad ibnu Ja’far dan yang lainnya. (Tarikh al Baghdad jilid 14, hal. 442)

Dalam sebuah riwayatnya, Fathimah al Sijistaniah mengatakan, “Ayahku telah meriwayatkan kepadaku, daripada datukku, daripada Muslim ibnu Ibrahim, hingga sampai kepada Abdullah ibnu Mas’ud yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, kiamat tidak akan terjadi kecuali di tengah-tengah orang-orang yang jahat.” (Tarikh Baghdad jilid 14 hal. 442)

Hadis ini sama maknanya dengan hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari dan Ahmad dalam musnadnya yang berbunyi, “Diantara orang-orang yang jahat adalah orang yang akan menyaksikan terjadinya hari kiamat dan mereka dalam keadaan hidup “

Inilah diantara sedikit sebanyak nama para perempuan periwayat hadis yang termaktub dalam kitab-kitab ulama terkemuka dahulu. Sebenarnya ada beberapa nama lagi yang tidak saya tuliskan di sini namun nama-nama di atas cukuplah sebagai bukti bahawa perempuan juga mempunyai jasa yang besar dalam bidang ilmu hadis. Malahan mereka menjadi guru kepada para ahli ilmu di kalangan lelaki pada zamannya.

Bagaimana dengan kita Muslimah pada hari ini? Ayuh jadikan diri kita sebagai perempuan-perempuan yang kelak dikenang keilmuannya, meninggalkan berjuta manfaat kepada umat.

Disediakan oleh,

Shafiyyah Mei


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.