Dewasa kini, kemunculan para penceramah agama di kaca televisyen dan di media sosial bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Mana tidaknya, kemunculan para penceramah agama ini adalah secara ‘tiba-tiba’. Lain lah jika para penceramah agama ini dikenali melalui rancangan program realiti TV, misalnya Dai’e Milenia, Pencetus Ummah dan Imam Muda.

Tidak dinafikan, kemunculan para penceramah agama ini adalah suatu anugerah yang tidak ternilai bagi masyarakat yang dahaga akan ilmu pengetahuan, lebih-lebih lagi perkara yang berkait rapat dengan selok belok agama.

Namun, persoalannya, adakah setiap apa yang dibicarakan oleh para penceramah tersebut adalah seratus peratus benar dan tidak boleh diragui? Dan benarkah para penceramah tersebut bersikap jujur di dalam setiap penyampaiannya atau sebaliknya?

Kebelakangan ini, terlalu banyak pendedahan yang telah dilakukan oleh ahli agamawan berkenaan dengan lambakan kisah dan riwayat palsu yang masyhur dan berlegar dalam kalangan masyarakat kita. Kadang kala kisah dan riwayat yang sahih dicampur adukkan dengan perkara karut dan perkara yang tiada asal lagi palsu. 

Namun, Allah SWT yang menjaga agama yang mulia ini daripada sebarang inovasi (Bid’ah), kekarutan dan kepalsuan. Humaid Bin Abdur Rahman RA yang mendengar khutbah yang disampaikan oleh oleh Muawiyyah Bin Abi Sufyan bahawa Rasulullah SAW bersabda : 

ولَنْ تَزالَ هذِه الأُمَّةُ قائِمَةً علَى أمْرِ اللَّهِ، لا يَضُرُّهُمْ مَن خالَفَهُمْ، حتَّى يَأْتِيَ أمْرُ اللَّهِ

Maksudnya : “Sebahagian daripada umat ini akan tetap berpegang teguh pada agama Allah, tidak ada yang dapat mempengaruhinya sehingga hari kiamat kelak” [HR Bukhari, No.71]

Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan pendapat Imam al-Bukhari berkenaan dengan mereka yang dimaksudkan di dalam hadith di atas. Imam al-Bukhari menyatakan bahawa,

“Jika bukan ulama’ hadith, maka aku tidak tahu siapa lagi selain mereka“(Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Bii Syarh Sahih al-Bukhari).

Abu Hurairah RA juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengutus umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan).” [HR Abu Dawud, No.3740. Disahihkan oleh Syeikh Al-Albani]

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengulas berkenaan dengan hadis ini :

“Daripada hadith ini, kita memahami bahawa Allah SWT akan mengutuskan kepada umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan membantu masyarakat agar mereka tidak tersesat dan terpesong daripada agama ini dan dalam masa yang sama akan menjaga kesucian agama ini daripada unsur-unsur yang boleh mencemarkan ketulenan agama ini. Oleh itu, setiap orang muslim yang mengaku beriman perlu mempercayai hadith ini.” [Irsyad al-Hadith Siri Ke-16: Hadith Tentang Mujaddid (Reformis) Agama]

Penulis berpendapat bahawa orang yang berpegang teguh kepada ajaran agama Allah SWT yang tulen dan bersih daripada segala penyimpangan dan rekaan ini adalah dalam kalangan mereka yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW dengan mengikuti petunjuk al-Quran dan as-Sunnah, membenci bidaah-bidaah yang sesat lagi menyesatkan serta membenci penambahan atau pengurangan yang dilakukan oleh golongan yang mempunyai kepentingan diri sendiri dan jemaahnya serta perkara-perkara yang menyempitkan akal fikiran manusia.

Namun, tidak dinafikan bahawa golongan tajdid (pembaharuan) ini dipelopori oleh golongan ulama hadis. Hal ini demikian kerana mereka sahaja yang dapat meneliti dan menyemak semula sanad-sanad yang terdapat di dalam kisah dan riwayat, sama ada ia dapat diterima atau ditolak di dalam pengamalan dan penyebaran kepada masyarakat. 

Jika kita menelusuri kisah-kisah para ulama hadis silam, kita akan mendapati bahawa ulama hadislah yang paling banyak berhadapan dengan agamawan-agamawan yang suka membawakan kisah dan riwayat yang palsu dan mempunyai unsur-unsur kekarutan pada zaman tersebut.

Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin di dalam bukunya ‘Mengemudi Bahtera Perubahan Minda’ menyatakan dibawah tajuk ‘Tukang Cerita’ bahawa :

“Para ulama hadis sejak dahulu lagi mengingatkan umat Islam tentang bahayanya golongan qussas dan wua’dz. Golongan ini adalah antara yang paling berperanan mewujudkan hadis palsu dan menyebarkannya. Bahkan melalui mereka tersebarnya israiliyyat, petua-petua khurafat dan cerita-cerita karut yang disandarkan kepada tokoh itu dan ini. Secara ringkasnya, kita terjemahkan wu’adz dan qussas sebagai para penceramah dan tukang cerita.” [Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, m/s 37]

Di dalam buku Ulama Hadis: Makhluk Asing Dari Bumi karya Dr. Kamilin Jamilin, terdapat kisah berkenaan dengan ulama hadis dengan para penglipur lara. Antaranya kisah Imam As-Suyuti (w.911 H) dengan seorang tukang cerita atau penglipur lara di zamannya.

Allah SWT berfirman :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya : “Dan tidaklah kami mengutus kamu melainkan seabagi rahmat bagi sekalian alam”.[Surah al-Anbiyaa : 107]

Maka si tukang cerita tersebut pun membawakan hadis kononnya Allah SWT telah menciptakan berpuluh-puluh Jibril untuk menjawab soalan yang ditanya olehNya, ‘Adakah kamu pernah merasai nikmat tersebut?’. Jika puluhan Jibril yang diciptakan tidak dapat menjawab soalan tersebut, maka mereka pun dicairkan oleh Allah SWT. Sehingga tiba giliran malaikat Jibril AS, maka Allah SWT tidak mencairkannya kerana ia dapat menjawab pertanyaan Allah SWT.

Imam As-Suyuti rahimahullah ditanya berkenaan dengan hadis tersebut. Maka, Imam As-Suyuti menjawab :

“Hadis ini tidak ada asal, ia batil, tidak halal meriwayatkannya. Si tukang cerita tersebut pula wajib memperbetulkan hadis-hadis yang diriwayatkannya di dalam majlis ilmunya dan bertanya kepada ilmuwan-ilmuwan hadis berkenaan dengan apa yang dinilai mempunyai asalnya daripada Nabi SAW, harus untuk dia riwayatkan.

Setelah sampainya pandangan Imam As-Suyuti kepada si tukang cerita tersebut, membuak-buak lah kemarahannya sehingga dia dengan nada yang riak menyatakan :

“Orang seperti aku perlu memperbetulkan hadis-hadisku kepada para syeikh?Akulah manusia yang paling alim tentang hadis di atas muka bumi ini“.  [Ulama Hadis : Makhluk Asing Dari Bumi, m/s 67-69]

Di Malaysia, penulis menyedari kehadiran penceramah-penceramah yang suka membawakan kisah dan riwayat yang palsu dan karut marut kepada masyarakat awam.

Pembawaan para penceramah ini dengan jenaka, nyanyian, gurauan yang melampau telah memukau orang awam yang suka akan hiburan dan santai. Sehinggakan terdapat orang awam yang datang ke sebuah majlis ilmu bukan inginkan ‘ilmu’ tetapi inginkan ‘hiburan dan jenaka’ yang dibawa oleh para penceramah tersebut. Apabila telah selesainya majlis yang didakwa ‘Majlis Ilmu’ tersebut, orang yang hadir kebanyakkannya hanya ingat akan jenaka dan nyanyian yang dibawa oleh si tukang penceramah tersebut.

Hal ini sebenarnya pernah berlaku pada zaman Ibnu Jauzi rahimahullah (w. 597 H). Ibnu Jauzi rahimahullah menyatakan di dalam kitabnya Talbis Iblis (Perangkap Iblis) :

“Orang-orang bodoh yang sering menghadirinya (Majlis Tukang Cerita), sehingga orang-orang berakal menjauhi dan tidak hadir di dalam majlis tersebut. Orang-orang awam dan para wanita pun mengagumi tukang cerita hingga lalai dari menuntut ilmu. Mereka mendatangi majlis yang mengandungi kisah-kisah dan perkara-perkara yang disenangi oleh orang-orang bodoh. Dan akhirnya, terjadilah bermacam-macam bidaah dalam bidang ini.” [Talbis Iblis: Perangkap Iblis, m/s 195]

Mutakhir ini, kita dikejutkan dengan tersebarnya potongan rakaman-rakaman video yang disampaikan oleh beberapa orang penceramah yang tidak asing lagi di negara ini. Misalnya, apabila datangnya bulan Rabiulawal, maka akan diadakan majlis-majlis ceramah bersempena dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Para penglipur lara ini akan membawakan kisah dan riwayat yang tidak sahih berkenaan dengan Nabi Muhammad SAW.

Contohnya, kononnya pada malam kelahiran Nabi Muhammad SAW telah runtuh 14 tiang istana Kisra, terpadamnya api yang disembah oleh orang Majusi serta musnahnya gereja-gereja yang ada di sekitar Tasik Sawa. Kisah ini dimuatkan di dalam kitab sirah yang terkenal dan menjadi rujukan nombor satu di dunia, iaitu Ar-Raheeq Al-Makhtum, karya Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakpuri (w. 1427 H). Namun, selepas menyatakan kisah-kisah tersebut, beliau menyatakan :

“Riwayat ini tidak mengandungi isnad yang thabit. Sejarah berikut tidak disaksikan secara umum bersama dengan pencerahan yang kuat” [Sirah Nabi Muhammad SAW (Raheeq Makhtum) : Perjalanan Hidup Luar Biasa, m/s 78]

Bukan itu sahaja, pelbagai kisah yang tidak diterima akal disebabkan tiada sebarang kajian dan penyelidikan yang dibuat oleh pakar-pakar sejarah yang boleh dijadikan hujah untuk membenarkannya.

Misalnya, Nabi Adam a.s turun di gunung Jerai, Kedah, Saidina Uthman radiyaallahu’anhu datang ke Kedah, Bani Tamim tentera Imam Mahdi dalam kalangan orang-orang Melayu dan banyak lagi. Kesemua kisah-kisah yang seperti ini bukan bertujuan untuk membenarkan mukjizat kenabian Nabi Muhammad SAW, melainkan hanya sekadar mempromosi jati diri bangsa dan negeri kelahiran tercinta sahaja. 

Para penglipur lara juga membawakan kisah-kisah dongeng dan kisah-kisah keramat yang menakjubkan sehingga memukau orang yang mendengarnya. Misalnya kisah kisah wali yang mampu hidup tanpa jantung, tok guru yang boleh menghidupkan orang mati, tok wali yang berkebolehan untuk minum darah Rasulullah SAW di dalam majlis maulidnya, wali yang diberi kelebihan untuk mesej secara terus dengan virus corona dan sebagainya.

Kisah-kisah yang karut ini tidak membawakan kebaikan walau sedikit pun kepada orang awam. Bahkan lebih buruk lagi, ia sebenarnya memandulkan pemikiran dan membodohkan akal umat Islam itu sendiri daripada berfikir secara logik yang benar.

Ini merupakan penyakit yang paling serius di dalam umat ini. Mustahil agama membawa sesuatu perkara yang bodoh kepada penganutnya! Kitab suci sentiasa mengulang ayat أَفَلَا تَعْقِلُونَ (apakah kamu tidak memahaminya?), أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ (apakah kamu tidak memikirkannya?) dan banyak lagi perintah yang menyuruh kita supaya berfikir.

Kata Ibnu Jauzi lagi :

“Para tukang cerita itu hanya dicela kerana kebanyakan dari mereka itu suka bercerita secara panjang lebar tanpa mengajarkan ilmu yang bermanfaat. Di samping itu, majoriti mereka mencampuradukkan cerita yang mereka jelaskan. Kadang-kadang tukang cerita itu berpegang kepada cerita yang kebanyakan mustahil.” [Talbis Iblis: Perangkap Iblis, m/s 194]

Sudah menjadi kebiasaan, para penglipur lara ini mempunyai jumlah pengikut yang ramai dek kerana pembawaan kisah dan riwayatnya itu berjaya menarik minat orang awam yang jahil. Tidak mustahil, sekiranya terdapat beberapa tokoh agamawan di negara ini yang tampil untuk memperbetulkan fakta yang sebenar dan membongkar segala pendustaan yang disebarkan oleh para penglipur lara secara terbuka, pasti mereka ini akan dikecam teruk oleh para pengikut taaasub si penglipur lara tersebut.

Bertitik tolak daripada isu, maka timbul perpecahan dalam kalangan umat Islam. Mereka saling kafir-mengkafirkan sesama muslim, meletakkan pelbagai gelaran dengan tujuan menghina.

Bukan itu sahaja, ada yang menubuhkan kumpulan yang bersifat asabiah dan menggelar kumpulan mereka adalah kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) yang sebenar. Sesiapa yang berani melawan kata-kata guru mereka, maka ia dianggap sebagai perbuatan biadap dan kurang ajar terhadap wali Tuhan. Sesiapa yang menyelisih dengan pandangan kumpulan mereka, maka mereka diragui akidah dan pegangangnya sehingga dinyatakan bahawa mereka telah terkeluar dari akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA). Ini lah realiti yang berlaku pada hari ini. Bukan di negara lain, fokusnya di negara kita! 

Para penglipur lara menjadikan majlis ceramah sebagai pentas hiburan, tempat menempah nama dan populariti serta medan untuk mengaut keuntungan (wang). Tidak hairanlah jika para penglipur lara ini sanggup mengorbankan ilmu dan fakta yang sebenarnya. Hal ini demikian kerana ilmu dan fakta yang sahih itu tidak menyeronokkan orang awam yang mendengar dan tidak menarik minat pendengar yang hadir ke majlis ceramah mereka.

Kata Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib di dalam kitabnya Usul al-Hadith ‘Ulumuhu Wa Mustalahuh terbitan Dar al-Fikr :

“Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya mementingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka, mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan harapan. Dalam kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperoleh habuan dan faedah daripada pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi SAW dan tidak pula menganggap itu sabagai dosa dan pembohongan. Apa yang pelinya (mendukacitakan) mereka memperoleh pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Hal ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian.” [Usul al-Hadith ‘Ulumuhu Wa Mustalahuh, m/s 424]

Kesimpulannya, masyarakat awam khusunya harus cakna berkenaan dengan isu ini. Orang awam haruslah bijak di dalam mengambil ilmu di samping harus lah diketahui daripada siapa mereka mengambil ilmu tersebut. Ia harus menjadi suatu kebimbangan yang serius kerana ia berkaitan dengan maruah agama ini.

Jika para penglipur lara ini diberi tempat dan tauliah serta dibiarkan berterusan dalam menyampaikan kisah dan riwayat palsu, kisah dongeng dan khayalan, serta perkara-perkara yang bercanggah dengan logik akal yang sihat, maka agama yang benar ini akan diragui kebenarannya oleh orang bukan Islam. Perkara-perkara seperti ini  akan membuatkan orang bukan Islam memandang rendah terhadap agama ini.

Oleh itu, penulis menasihati kepada para pembaca agar menyelidiki sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum menerimanya. Walaupun yang menyampaikan sesuatu perkara tersebut adalah golongan yang disebut sebagai ustaz, atau tok guru atau wali sekalipun! Mereka tetap bukan rasul yang diutus dan setiap perkataannya bukan lah wahyu daripada Tuhan. Wallahu’alam.  

Disediakan oleh,

Muhammad Hamzani Al-Kanowiti,

Lulusan Cemerlang (Mumtaz) Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Diploma Dakwah Islamiyyah 2018/2021.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.