in

Kesederhaan Pada Hujan Bulan Juni

Menikmati Hujan Bulan Juni karya Sapardi Djoko Damono ternyata tidak mudah tetapi pasti puas selepas berjaya menamatkan bacaannya. Barangkali, kesukaran untuk menikmatinya kerana bahasa yang digunakan agak sukar difahami bagi pembaca biasa dan baharu. 

Hal ini mungkin sedikit berbeza dengan penulisan Hamka, Andrea Hirata, Tere Liye dan sebagainya yang mana lebih popular di Malaysia.

Tetapi menyedari kedudukan Sapardi sebagai salah satu nama besar dalam dunia persuratan Indonesia masa kini, maka setiap karyanya perlu dibaca dan dihayati walau betapa sukar pun untuk difahami. Begitulah yang perlu difahami tatkala membaca karya-karya oleh pujangga besar.

Sapardi Djoko Damono

Saya mengenali Sapardi melalui dua puisi popularnya iaitu ‘Aku Ingin’ dan ‘Hujan Bulan Juni’. Selain puisi, Hujan Bulan Juni juga terbit dalam pelbagai versi pengkaryaan seperti novel, lagu dan filem. 

Berbeza dengan novelnya, puisi Sapardi lebih mudah difahami dan begitu menangkap perhatian serta ingatan kepada bait-baitnya yang sederhana tetapi memenuhi kepuasan sanubari pembaca.

Kesukaran memahami novel Hujan Bulan Juni pula bukan hanya pada bahasa Indonesia yang digunakan tetapi juga pada jalan ceritanya yang ada kalanya membuatkan pembaca terkhayal seketika sebelum tersedar entah di mana jalan ceritanya bersambung. 

Berbanding watak utama bernama Sarwono, saya hanya ingat pada nama watak ‘Pingkan’ sahaja kerana terdapat novel sekuel yang bertajuk ‘Pingkan Melipat Waktu’. Penutup kepada trilogi Hujan Bulan Juni berjudul ‘Yang Fana Adalah Waktu’.

Secara mudah dan jujur, Hujan Bulan Juni hanyalah sebuah karya yang ringkas (secara literal memang ringkas dengan ketebalan 100 lebih muka surat) dan jalan ceritanya juga tidaklah begitu banyak konflik yang menyesakkan dada tatkala membacanya. Tiada juga linangan air mata yang akan dijemput ketika membaca konflik percintaan antara watak utama.

Dalam novel ini, Sarwono dan Pingkan merupakan pasangan kekasih yang memiliki latar kerjaya mereka dalam dunia akademi. Apa yang mencipta konflik dalam kisah mereka adalah perbezaan latar budaya dan bangsa masing-masing sehingga menjadi punca yang menyukarkan percintaan mereka disimpul di atas jinjang pelamin. Terlalu biasa bukan?

Tetapi secara peribadi, saya menikmati karya ini secara puas kerana kesederhaan yang ditawarkan Sapardi kepada pembaca. Jika pembaca mengharapkan sebuah kisah percintaan yang luar biasa dan boleh membuatkan air mata bergenang, maka perlu diingatkan supaya usah meletakkan harapan demikian. 

Namun begitu, jika yang dicari hanyalah sebuah kisah cinta yang sederhana, karya ini mungkin antara pilihan yang baik. Karya ini sememangnya sederhana dalam pelbagai segi dan sudut. Bermula dengan sederhana pada pembentukan watak, jalan cerita, konflik dan suasana. 

Tetapi pada kesederhanaan inilah yang mencipta pengalaman membaca yang indah. Pembaca akan menikmati keindahan pada latar suasana seperti rintik-rintik hujan, keresahan pada penantian yang dipisahkan jarak dan waktu, kerinduan yang sentiasa bergelora, kerunsingan pada ketidakpastian hubungan yang dibina dan sebagainya memang dilakar dengan cantik dan indah oleh Sapardi dalam karya ini.

Jangan lupa, kekuatan Sapardi pada mengungkap bait-bait puisi juga memberi nilai tambah kepada karya ini kerana pada perenggan-perenggan tertentu, pembaca mungkin bertemu kata-kata yang begitu indah untuk disalin semula dan dikongsikan di rangkaian media sosial. Satu ungkapan indah (dan sudah tentu sederhana) apabila Pingkan menyebut “Jakarta itu cinta yang tak hapus oleh hujan tak lekang oleh panas”. 

Lebih menarik lagi (bagi peribadi saya) kerana novel ini dibaca pada Jun lalu dan ketika rintik-rintik hujan. Jadi, jika saya tidak menikmati novel ini sepenuhnya kerana isi kandungannya, setidak-tidaknya pengalaman membaca novel ini dalam suasana dingin dari rintik-rintik hujan di tepi tingkap ketika bulan Jun adalah momen menarik yang akan terus segar diulangi. 

 

Disediakan oleh,

Mohd Arif Juhani

Bukit Antarabangsa, Ampang

Leave a Reply

Loading…

Bahaya Hadith Palsu

4 Bulan Di Amerika: Introspeksi Diri