in

Mimpi Orang-Orang Biasa

Novel Orang-orang Biasa merupakan karya ke-10 Andrea Hirata. Penulis yang telah berjaya memenangi beberapa anugerah sastera peringkat antarabangsa. Saya tidak pernah sekali pun membaca karya beliau tetapi hanya dengan melihat kulit buku yang tertulis “Orang-orang Biasa”, berjaya menarik minat saya untuk membaca buku ini. Saya menganggap diri saya sebahagian daripada tajuk tersebut, orang biasa. 

Secara ringkas, buku ini menceritakan tentang 10 orang biasa yang berkawan sejak dari kecil tetapi nasib kurang menyebelahi mereka. 10 watak tersebut diwakili oleh Debut Awaludin, Tohirin, Honorun, Dinah, Rusip, Nihe, Salud, Handai, Sobri dan Junilah. Mereka dibuli, dilabel sebagai bodoh dan lembap dalam pelajaran serta ada sebahagiannya yang terpaksa berundur dari sekolah lantaran kemiskinan. 

Kehidupan mereka tetap sama apabila meningkat dewasa dan berumah tangga. Ada yang yang menjadi kuli di pelabuhan, ada yang menjaja permainan kanak-kanak di jalanan dalam keadaan sering dikejar penguatkuasa dan ada juga pembawa lori tangki septik. Selain itu, ada yang menganggap dirinya pakar motivasi walaupun tidak pernah menerima sebarang undangan ceramah motivasi. 

Cerita ini bermula apabila Aini, anak salah seorang daripada 10 kawan tersebut iaitu Dinah telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Fakulti Perubatan. Kehidupan mereka sangat miskin dan kelihatan mustahil untuk Aini melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut. Dinah hanya seorang penjaja permainan kanak-kanak yang terpaksa mencari rezeki saat suaminya terlantar sakit. Walaupun sedar keadaan menunjukkan impian Aini untuk menjadi doktor sangat tipis, Dinah dan Aini tetap tidak berputus asa.

Apabila Dinah bertemu rakannya bagi mengadu nasib, mereka telah bersepakat untuk merompak bank sebagai cara mendapatkan wang. Dinah telah berusaha membuat pinjaman di bank tetapi malang kesemuanya ditolak. Dalam keadaan tidak tahu sedikit pun cara untuk merompak, mereka tetap semangat bagi memastikan impian Aini tercapai. 

Mereka berjuang demi satu harapan iaitu anak pintar layak mendapat pendidikan yang sewajarnya walaupun dihimpit kemiskinan. Mereka melaungkan ketidakadilan sistem pendidikan yang mengutamakan orang-orang kaya untuk jurusan tertentu. Biasiswa juga perlu direbut untuk mendapatkannya. Mereka tidak mahu anak-anak generasi mereka tercicir pelajaran seperti mereka dahulu. 

Mereka adalah orang yang digelar bodoh dan dungu, tidak mempunyai pelajaran yang tinggi serta tidak ada secebis pengalaman melakukan kejahatan merompak. Berjayakah mereka dalam misi rompakan bank tersebut? 

Novel ini mempunyai kekuatan di mana penulis mengangkat isu pendidikan dan kehidupan masyarakat yang miskin melalui elemen jenayah. Selain mengheret pembaca merasai keperitan, kegagalan dan kesusahan orang biasa menjalani kehidupan, penulis juga berjaya mencetuskan elemen yang mendebarkan ketika jenayah itu dilancarkan. Membaca buku ini seolah-olah sedang menonton filem aksi komedi. Kritikan terhadap pemimpin yang lebih mengutamakan hal-hal politik dan periuk belanga mereka turut diselitkan dalam cerita ini. 

Walaupun edisi ini ialah terjemahan kepada Bahasa Melayu, seni penulisan Indonesia masih tercatat dalam novel. Penggunaan beberapa perkataan Bahasa Indonesia menyerikan penceritaan daripada awal hingga akhir. Penulis juga menyentuh tentang seni budaya Melayu melalui pantun dan seni topeng monyet seperti yang tertera pada kulit buku ini. Setiap yang tertulis bukanlah selingan semata-mata tetapi sesuatu yang perlu dihayati dan diteliti dengan baik. 

Antara pengajaran yang saya dapat terokai dalam novel ini:

1) Impian milik semua orang

Siapa pun kita di dunia ini, kaya atau miskin, kita layak mempunyai impian dan terus bermimpi. Tiada bayaran untuk kita bermimpi tetapi ada bayaran untuk merealisasikan mimpi tersebut. Yang membezakan adalah tindakan seseorang dalam mencapai apa yang diinginkan. 

2) Hidup perlukan kesungguhan

Walaupun kita pernah gagal atau jauh ketinggalan daripada orang lain tetapi tidak bermakna kita tidak boleh meraih kejayaan. Kesungguhan perlu bermula daripada diri kita sendiri dan kesungguhan itulah yang akan membawa kita lebih maju dalam kehidupan. Seperti yang tertulis dalam buku ini, “sukses atau gagal itu urusan nanti! Yang penting semangat!”

3) Kemiskinan: Pendorong atau pemusnah?

Hidup ini adalah pilihan. Jika kita ditakdirkan berada dalam kepompong kemiskinan, kita perlulah mencari jalan keluar yang boleh mengubah kehidupan menjadi lebih baik. Kemiskinan mampu menjadi pendorong yang sangat kuat untuk berjaya dan juga mampu menjadi pemusnah kepada mimpi-mimpi yang ada dalam minda. Kita adalah penentu kehidupan kita. 

4) Disebalik kekurangan, pasti ada kelebihan

Setiap daripada manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan dalam diri masing-masing. Tuhan Maha Adil dan telah menciptakan kita dengan sempurna. Walaupun watak dalam novel ini digambarkan orang yang mempunyai pelbagai kelemahan dan kekurangan hakikatnya mempunyai kelebihan yang tidak terjangka di akal fikiran. Orang-orang yang kelihatan biasa itu hakikatnya mempunyai kekuatan luar biasa. 

5) Hak pendidikan untuk semua

Golongan miskin yang dianaktirikan dalam dunia pendidikan tidak wajar menjadi tradisi. Pemimpin perlu mencari solusi bagi merealisasikan pendidikan untuk semua. Semua golongan berhak mendapat pendidikan.  Walaupun penulis menggambarkan keadaan di Indonesia, tetapi situasi di Malaysia juga perlu diberi perhatian.

Kesimpulan daripada novel Orang-orang Biasa, setiap manusia layak bermimpi dan setiap insan ialah manusia luar biasa. Saya amat menyarankan buku ini dibaca oleh pelajar, pendidik mahupun pemimpin negara. Isu yang dibawa bukan isu biasa. Isu yang perlu diteliti bagi menyempurnakan kehidupan manusia. Selain memberi kesan kepada rasa syukur kepada diri atas peluang mengecapi pendidikan yang sempurna, novel ini menyuntik semangat saya untuk membantu golongan yang memerlukan bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran. Wahai manusia, teruslah bermimpi dan bergerak ke arahnya!

 


Nur Salsyahirah Rosli, pelajar jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

 

Leave a Reply

Loading…

Andalusia: Saksi Bisu Terhadap Titisan Air Mata

Puisi Anak Negeri