in

Kampung People 2: Naratif Baru Kekeluargaan

Jika dahulu, telatah Mona, Razif, Laila dan Imran membuatkan kebanyakan ramai Malaysia tidak kering gusi melihatnya, kini telatah itu kembali menemui penonton dengan naratif dan mesej yang baru. 

Permulaan drama pada kali ini dilihat cukup menarik kerana menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi oleh rata-rata institusi keluarga di negara Malaysia malah di dunia ini, iaitu tentang kestabilan kewangan rumahtangga. Kali ini, isu emosi dan perasaan cuba diketepikan pada awal cerita untuk membolehkan para penonton “dive into the scene” dengan membawakan satu naratif yang lebih membumi. 

Walaupun keluarga Razif (Rashidi Ishak) dan Mona (Elly Mazlein) ini kelihatan ceria dan “hidup” tetapi ada satu peperangan dahsyat yang terjadi dalam hidup mereka iaitu pertempuran antara kemahuan dan keperluan.

Razif sebagai seorang ketua keluarga cuba menanam sifat seorang pemimpin yang bertanggungjawab dalam memastikan semua keperluan keluarganya dipenuhi tetapi dia seakan-akan tidak sedar mengenai satu perkara, iaitu membiarkan dirinya terhimpit dalam impian untuk menjadikan anaknya sebagai seorang akauntan yang bertauliah. Keobsesan mengejar impiannya itu telah memakan diri sendiri kerana kos perbelanjaan pendidikan anaknya dilihat tidak setimpal dengan usaha kerasnya dan kesungguhan anaknya dalam merealisasikan cita-cita. 

Ya, memang seorang ayah dan ibu mahukan yang terbaik buat anak-anak tetapi meletakkan impian kita dalam percaturan hidup anak adalah sesuatu yang sangat membahayakan masa depan mereka. Pemberontakan dalaman atau luaran boleh sahaja berlaku pada bila-bila masa sekiranya tidak dibendung dengan segera. Kerana dalam hal ini kedua-dua pihak memakai dua kaca mata yang berbeza buat melihat dunia.  

Sebaiknya dalam hal ini, perbincangan dua hala antara ibu bapa dan anak perlu diwujudkan supaya kedua-dua pihak bertoleransi dan mencapai kata sepakat dalam usaha mencorak kehidupan seorang insan yang masih jauh hala tujunya. 

Tapi, tidak dapat dinafikan, itu bukanlah 100 peratus salah Razif sahaja. Ketua keluarga itu hanya mahu yang terbaik untuk kelangsungan legasinya. Ditambah pula dengan tekanan jiwa yang sedang dihadapi di tempat kerja, lagilah tekad Razif membara untuk menjadikan anaknya seorang yang lebih baik daripada dirinya. 

Selain itu, isu Mona yang tidak habis-habis dengan gaya ‘datinnya’ masih menjadi “penyeri” dalam drama ini. Walaupun Mona dilihat sudah mula berubah menjadi ibu dan isteri mithali, tetapi dia masih tidak boleh menghentikan tabiat lamanya iaitu menjadi orang lain bagi memuaskan hati orang yang berada di sekelilingnya. 

Dalam isu Mona ini, dia sedar bahawa perbuatan memuaskan hati rakan-rakannya dengan meminggirkan realiti sebenar kehidupan rumahtangganya adalah menyakitkan, tetapi baginya yang lebih menyakitkan hati adalah apabila rakan-rakan memandang hina akan status sosial keluarganya. Maka, terpaksalah dia berlakon seperti seseorang memenuhi kriteria yang setaraf dengan orang yang dianggap rakan-rakannya itu. 

Akhirnya apa yang terjadi? 

Tekanan.

Mona cuba melarikan diri daripada situasi yang telah memakan diri. Cuba berikhtiar tetapi tidak jumpa. 

Mujur, idea Razif dan Laila untuk pulang ke kampung telah memberi nafas lega kepada dirinya, terlepas daripada “azab” lakonan yang telah dia cipta. Walaupun asalnya idea itu dicadangkan untuk menyelamatkan kos perbelanjaan keluarga dan “dosa kecil” Laila, tetapi sekurang-kurangnya idea itulah yang menjadi serampang tiga mata untuk mematikan segala kegusaran yang berada dalam diri setiap anggota keluarga terbabit yang semuanya berakar pada satu soal: memuaskan hati manusia di sekeliling.

Inilah pembuka selera yang unik dipersembahkan dalam drama Melayu pada kali ini. Selain keluar daripada norma kebiasaan sesebuah drama seperti konflik “cintan cintun”, saya melihat ada satu mesej penting yang cuba disampaikan oleh penerbit pada kali ini sekaligus mencerminkan keseluruhan cerita dalam drama pecah perut ini.

Iaitu soal menjadi diri sendiri. Menghargai diri, seada dan semampunya.

Kerana tidak ramai yang berusaha mengenali diri sendiri sedalam mungkin, sedangkan hal itu sangat penting sebelum kita cuba mengenali dan mencintai setiap watak yang hadir dalam cerita kita. 

Dan itulah batu-bata asas yang akan membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan saling meraikan antara satu sama lain. 

Sungguh, satu drama yang kelakar tetapi serius mesejnya. 

Disediakan oleh,

Syuhadah Ainin

(Peminat tegar Nurcahaya Monalisa) 

Leave a Reply

Loading…

Sudah Sebulan Saya Tidak Bercakap dengan Bonda

Seni Berbual Dengan Orang