in

Kami Perempuan Merdeka yang Terhutang Budi

Aku bertapa di dalam bilik kecilku. Bersandarkan kerusi plastik biru muda beralaskan kusyen lembut. Jari-jemariku menari-nari di atas papan kekunci komputer riba jenama Acer. 

Mahu ambil buku? Buku-buku aku tersusun rapi dalam rak kayu di belakangku. Tinggal hulurkan tangan sahaja tanpa perlu bangun apabila terlalu malas. Jika sesekali aku terasa bahang iklim khatulistiwa sehingga butir peluh mengalir, aku hanya petik butang alat pendingin hawa. Kemudian, udara sejuk pun mulai hembus ke segenap ruang belajarku. 

Ah, memang senang sekali belajar dan bekerja dari rumah tanpa perlu bersiap mahupun bergerak ke mana-mana. Segala buku, kitab, artikel jurnal, laman web, video atau gambar ada di hujung jari. Hanya dengan ketikan jari di papan kekunci dan sedikit ilmu carian maklumat, bahan-bahan pengajian kita tersedia. Dengan syarat, jaringan Internet kuat. Hatta guru-guru pun turut boleh dihadirkan di depan muka kita, meski hanya di skrin komputer. Namun, suaranya tetap jelas dan penerangannya dapat difahami, meskipun guru itu mungkin di negeri lain, negara lain mahupun benua lain!

Pada hari ini, seorang perempuan boleh bebas belajar ke peringkat tertinggi, dalam bidang apa pun! Kemewahan ini terlalu mesra dengan perempuan hari ini seperti udara yang terasa ‘biasa-biasa’ kerana begitu mudah didapati. Namun, jika nikmat pendidikan ini ditarik, jiwa perempuan akan sesak seperti mana sesaknya paru-paru tanpa oksigen. 

Dalam aku bersenang-senang di sini menuntut ilmu, ingatanku melayang kepada sekeping foto hitam putih yang terpampang di layar memoriku. 

Ada tiga orang wanita muda daripada Singapura dirakam dalam foto yang diterbitkan oleh majalah Qalam pada bulan Januari 1951. Mereka dibawa oleh ayahanda mereka, seorang ulama Singapura ke Mesir dengan niat untuk memberikan peluang kepada anak-anak perempuannya belajar ilmu agama di Universiti al-Azhar.

Hasrat mereka itu telah menggemparkan komuniti al-Azhar kerana belum ada peruntukan untuk pelajar perempuan belajar di Universiti al-Azhar pada zaman itu. Berita tentang tiga perempuan muda ini begitu menarik perhatian sehingga dirakamkan dalam majalah al-Musauwar, Mesir pada tahun 1953. 

Bayangkan perit-jerih dan kritikan yang diterima ketika menjadi titik pemula untuk suatu perubahan? 

Daripada tiada langsung peruntukan untuk pelajar perempuan, kepada lambakan gadis-gadis daripada kepulauan Asia Tenggara yang dapat belajar di Universiti al-Azhar hari ini. 

Kemudahan pendidikan yang dinikmati perempuan hari ini begitu jauh berbeza dengan apa yang dilalui nenek moyang kita. Mereka menggadaikan nasib dengan mengembara jauh dari Singapura ke Mesir, meskipun tiada lagi kepastian akan diterima belajar di sana atau tidak. 

Setiap kali aku teringatkan kisah tiga wanita muda ini, hatiku akan berdetak dalam kesyukuran. Pada hari ini, seorang perempuan melanjutkan pelajaran ke universiti di dalam mahupun luar negara ialah sesuatu yang normal, malah amat digalakkan dalam masyarakat hari ini. Begitu jauh perubahan nilai yang diletakkan kepada pendidikan wanita daripada zaman 1950-an kepada tahun 2021 kini. 

Sering kali bila aku hanya senafas daripada putus asa daripada kembara ilmu, roda memoriku berputar kembali kepada foto tiga wanita itu. 

“Perjalanan pendidikan wanita sudah dimulakan lama oleh nenek moyang. Aku tidak akan menyia-iakan peluang seluas langit yang ada hari ini. Sengsaranya hanya seketika, nikmat ilmu akan subur selamanya.”

Oh ya, di sebalik tiga wanita tadi, ada sosok bapa berwibawa yang menggalakkan pendidikan untuk anak-anak perempuannya. Terima kasih kerana menjadi pembuka jalan, wahai Syeikh Singapura yang dihormati. 

Terima kasih kepada Tuhan kerana memerdekakan kami, gadis-gadis daripada belenggu kejahilan yang dibenci.

Disediakan oleh,

Auni Baharin

Rujukan: Kiahi, Muallim, Tok Guru Syeikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi (1998) oleh Puan Ni’mah Haji Ismail (Tesis)

MENANGANI GEJALA EXCELLENCE WITHOUT SOUL — Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil

Asas Kemerdekaan Jiwa Manusia