Pengaruh iklim yang baik sangat membantu dan membina kehidupan umat manusia untuk hidup lebih aman dan damai. Secara tidak langsung, peranan besar iklim bersifat global akan membantu membentuk ekosistem yang lebih sejahtera dan stabil. Dalam makna yang lebih mudah, faktor iklim yang baik akan menyumbang kepada keselamatan ekosistem yang lebih terjamin. Namun begitu, keadaan dunia yang semakin padat dengan penghuninya telah menekan keadaan untuk lebih mengeluarkan hasil-hasil alam dan sumber tenaga yang lain. Akibat daripada itu, kerasukan manusia memonopoli sumber alam dan tenaga asli menjadikan iklim dunia berubah dari semasa ke semasa.

Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan kita semua dalam surah al-Anbiya’ ayat 31 yang bermaksud :

“Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani”

Berdasarkan ayat tersebut, dapat kita ungkapkan antara hikmah kejadian bentuk muka bumi yang bergunung-ganang dan berbukit-bukau adalah supaya bumi ini tidak ‘bergegar’ dan ‘bergoyang’ sehingga dapat memberikan ketidakstabilan kepada penduduk bumi. Tetapi malangnya, apabila populasi umat manusia bertambah, semakin rakus dan tamak membolot kekayaan sumber alam dan tenaga asli. Akibatnya, dunia kini berdepan dengan krisis perubahan iklim global. Ianya bukan lagi satu rahsia. Terdapat pelbagai kajian dan laporan dikeluarkan oleh pelbagai agensi antarabangsa, melahirkan perasaan bimbang akan perubahan iklim yang tidak stabil ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, perubahan iklim merujuk kepada perubahan signifikan statistik dalam purata keadaan iklim ataupun kepelbagaiannya, untuk jangka masa panjang (biasanya dekad atau lebih). Perubahan iklim juga boleh ditakrif sebagai perubahan iklim yang disebabkan secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti manusia yang mengubah komposisi atmosfera global. 

Perubahan iklim boleh berlaku dengan beberapa sebab. Antaranya seperti proses semulajadi dalaman bumi, pendorong luaran ataupun perubahan antropogenik yang berterusan dalam komposisi atmosfera dan penggunaan tanah.

Fenomena perubahan iklim ini boleh berlaku apabila gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau membabitkan kumpulan gas Karbon Dioksida (CO2), Karbon Monoksida (CO), Kloroflorokarbon (CFC) terperangkap dan menghalang haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Kumpulan gas ini membenarkan bahang matahari menembusinya. Tetapi pada masa sama, kesan daripada gas rumah hijau tersebut akan menghalang bahang matahari untuk dibebaskan semula bahang bumi ke ruang atmosfera. Keadaan ini akan menyebabkan kesan terhadap iklim global dan menyumbang kepada pemanasan global.

Menurut Prof. Dr. Fredolin Tangang, Panel Perubahan Iklim antara Kerajaan (IPCC) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau berkata perubahan iklim berlaku disebabkan pemanasan sistem iklim global dan ia perkara yang nyata. Dapat hasil kajian yang beliau perolehi mendapati suhu global meningkat 0.85 darjah celcius dalam tempoh seabad lalu dan dijangka terus meningkat dengan purata enam darjah celcius dalam tempoh seabad akan datang. Perubahan suhu secara dramatik berpunca daripada penggunaan lebih banyak bahan api fosil seperti minyak, gas dan batu arang, menyebabkan peningkatan kepekatan gas rumah hijau. Ini keadaan dan realiti yang mesti kita dan generasi seterusnya akan hadapi.

Sedar ataupun tidak, kesan perubahan iklim global akan memberikan tekanan kepada persekitaran yang akan turut menjejaskan sistem ekonomi, sosial dan politik. Apabila iklim mengalami perubahan mendadak seperti suhu panas dunia yang meninggi, jumlah taburan hujan meningkat dan peristiwa cuaca ekstrem seperti ribut petir dan angin ribut, semuanya akan mengheret alam dan seisinya ke arah kebinasaan dan kehancuran.

Dalam konteks negara kita sendiri, tragedi banjir besar tahun 2021 telah banyak memberi pengajaran kepada kita. Biar apapun faktor terjadinya musibah ini, bukan lagi masa untuk menuding jari dan saling menyalahi. Kita juga boleh menyaksikan beberapa siri kejadian kepala air dilaporkan berulang kali di negara kita.

Fenomena kepala air di kaki Gunung Jerai bukan angkara pembalakan

Kesan perubahan iklim juga turut menjejaskan bekalan makanan negara. Keadaan iklim yang tidak stabil akan mempengaruhi corak pertanian seperti tanaman padi yang merupakan sumber utama negara. Kadar pengeluaran hasil pertanian bakal terjejas, sekaligus mampu melumpuhkan ekonomi kita. 

Kita sewajarnya tidak memandang enteng akan perubahan iklim yang sedang berlaku ini. Kesannya juga mampu mengubah banyak landskap kehidupan umat manusia secara normal. Oleh yang demikian, kegagalan manusia meneliti dan merancang dengan baik akan mengundang pelbagai bala bencana akibat kecuaian diri kita sendiri.

Allah Azza Wa Jalla telah menjelaskan kepada kita akibat kerosakan dan kebinasaan dunia ini hasil daripada tangan-tangan manusia itu sendiri. Firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud :

“Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, Allah mahu mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

Sudah tentu bala bencana dan musibah yang sering melanda dunia berupa peringatan daripada Allah, Tuhan empunya alam ini kepada manusia sebagai penghuniya, agar tidak semberono membolot segala hasil bumi sehingga mengubah sifat aslinya.

Muhasabah kembali, beberapa punca akibat dari kita sendiri yang telah mengundang perubahan iklim global ini. Antaranya adalah kerana kita sendiri yang telah mengubah fitrah ciptaan Nya demi memenuhi kehendak duniawi. Misalnya, sumber air yang sifatnya bersih lagi suci, telah dicemari dengan bahan-bahan buangan industri yang akhirnya mengubah warna dan rasa air bersih.

Manusia juga seringkali menzalimi struktur muka bumi yang asli ini dengan mengeksploitasi alam tanpa kita berusaha untuk memulihkannya. Sifat zalim manusia terhadap alam ini turut mencederakan sistem habitat penghuninya yang terdiri daripada haiwan dan tumbuhan asli. Selain itu, kita juga seringkali sombong dengan kemajuan teknologi yang ada pada hari ini sehingga tidak memikir lagi akan nasib kestabilan alam semula jadi. Kerasukan diri merobek alam semula jadi demi memenuhi cita-cita dan kehendak kemajuan teknologi dan industri, memparahkan lagi keadaan.

Demikianlah umat manusia, ada yang mahu peduli dan ada juga yang tidak mahu peduli. Bagi sesetengah mereka, isu ini mungkin kecil dan remeh. Bukan tugas mereka untuk memikirkannya. Ianya terletak di pundak bahu pemerintah atau pihak yang berkenaan. Namun percayalah, tanpa kesedaran dari bawah, kita tidak akan dapat melakukan perubahan untuk menangani krisis ini. Biar apa-pun dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, kita mesti bersama dalam usaha memulihkan alam anugerah yang tiada galang-gantinya ini. Sesungguhnya, manusia yang beriman pasti akan merasai tanggungjawab untuk memastikan anugerah alam ini terus dipelihara. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.