Tular baru-baru ini kenyataan oleh manusia terkaya di dunia, Elon Musk yang mendakwa bahawa semua spesies di muka bumi akan pupus dan manusia perlu berhijrah ke planet lain untuk menjalani kehidupan di sana. 

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu melahirkan nada optimis untuk mendaratkan manusia di planet Marikh melalui projek SpaceX selewat-lewatnya 10 tahun akan datang.

Namun, timbul persoalan, adakah manusia sebagai khalifah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi dapat hidup di planet lain atau di luar bumi dan menjalankan peranan dan fungsinya di sana? Istilah hidup di sini bermaksud menjalani kehidupan seperti tinggal dalam waktu yang lama, makan-minum, beraktiviti, hidup berkeluarga dan beranak-pinak. 

Persoalan ini bukanlah suatu yang sengaja atau baharu ditimbulkan melihatkan kepada misi penerokaan planet Marikh yang telah dimulakan oleh para pengkaji sejak tahun 1960-an dan seringkali mendapat perhatian dunia. 

Sejak awal misi ke Marikh dilancarkan, para pengkaji percaya bahawa planet keempat dari matahari itu mempunyai potensi untuk dihuni manusia dan kajian secara serius perlu dilakukan sebagai persediaan sekiranya bumi sudah tidak lagi relevan untuk dihuni suatu hari nanti. 

Persoalannya, adakah manusia boleh hidup di planet lain telah mendapat perhatian para pemikir termasuklah para ulama yang cuba melontarkan pendapatnya berdasarkan keterangan serta tafsiran terhadap ayat-ayat al-Quran.

Sebahagian daripada mereka mengemukakan pendapat bahawa manusia tidak akan dapat hidup dengan stabil selain di bumi seperti di planet Marikh, Venus dan selainnya. Mereka menyandarkan kepada beberapa ayat al-Quran sebagai dalil. 

Yang pertama, ayat al-Quran yang menegaskan bahawa bumi adalah tempat manusia hidup dengan baik sampai hari Kiamat. Sebagaimana firman Allah, “Dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan.” (Surah al-Baqarah: 36)

Apabila ditinjau keterangan di dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir, maksud ayat tersebut ialah bumi merupakan tempat tinggal dan dibatasi tempohnya sehingga waktu yang ditentukan. Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata, lafaz “mustaqarrun” bermaksud tempat tinggal di muka bumi dan di bawahnya (kubur).

Yang kedua, ayat al-Quran yang menegaskan bahawa di bumi manusia akan hidup, mati dan seterusnya dari bumi manusia akan dibangkitkan. Sebagaimana firman Allah, “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.” (Surah al-A’raf: 25)

Konteks yang hampir serupa juga diungkapkan di ayat yang lain, “Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain.” (Surah Taha: 55)

Melalui ayat-ayat yang dikemukakan, Allah mengkhabarkan bahawa Dia menjadikan bumi sebagai tempat tinggal bagi anak cucu keturunan Adam ‘alaihissalam. Di bumi mereka hidup dan di bumilah mereka mati dan dikuburkan. Dan dari bumi itulah mereka dibangkitkan pada hari Kiamat, di mana Allah mengumpulkan orang-orang terdahulu hingga orang-orang yang terakhir dan memberikan balasan sesuai dengan amal perbuatan mereka. 

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin di dalam kitabnya berjudul as-Silsilah adz-Dzahabiyah min Tafsir menjelaskan, “Tidak mungkin hidup selain di bumi bagi keturunan Adam berdasarkan firman Allah (surah al-Baqarah, ayat 36 dan al-A’raf ayat 25). Berdasarkan kedua ayat tersebut, kita mengetahui bahawa usaha orang kafir untuk hidup selain di bumi baik di sebahagian planet atau gugusan bintang adalah usaha yang sia-sia kerana tidak ada tempat yang stabil untuk kehidupan kecuali di bumi.” 

Syeikh Soleh al-Munajjid di dalam blognya pula mengungkapkan pendapatnya dengan berkata, 

“Kehidupan itu di bumi dan tidak ada pada planet lainnya. Manusia tidak mungkin hidup selain di planet bumi iaitu hidup stabil, beranak-pinak dan hidup bergantian setiap generasi. Hal ini tidak mungkin. Memungkinkan bagi manusia menjejakkan kaki ke planet lainnya tetapi untuk hidup secara stabil, hal ini tidak mungkin.”

Walaupun menurut pendapat sebahagian ulama adalah suatu misi yang mustahil untuk umat manusia mewujudkan peradaban hidup di planet yang lain berdasarkan sandaran mereka terhadap ayat-ayat al-Quran, namun di ayat yang lain, Allah telah memberikan kebebasan kepada umat manusia untuk menjelajahi dan menerokai penjuru langit dan ruang angkasa sesuai dengan kemampuan dan ilmu pengetahuan yang dimiliki. 

Sebagaimana firmanNya, “Hai jama’ah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya kecuali dengan kekuatan.” (Surah ar-Rahman: 33)

Ayat di atas boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk umat manusia menerokai ruang angkasa lepas. Konotasi “kekuatan” yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut ialah sesuatu yang boleh umat manusia usahakan untuk mengembangkannya, sama ada melalui ciptaan teknologi sains roket atau apa sahaja yang boleh dikembangkan mengikut kemampuan, Namun, sudah pasti semua itu juga dengan izin dariNya. 

Disediakan oleh: 

Muhammad Fahmi bin Md Ramzan

Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.