in

Dunia Ini Hanya Sementara dan Manusia Hanya Sebentar

“Cintailah tiap-tiap sesuatu yang kamu kehendaki nescaya kelak pasti kamu akan berpisah dengannya, hiduplah tiap-tiap daripada kamu nescaya pasti kamu akan meninggalkan dunia ini”.

Puisi ini telah dipuji oleh ribuan ahli fikir tersohor dunia Islam yang tidak asing bagi kita. Puisi atau syair ini mempotretkan perjalanan kehidupan dunia dan seisinya, manusia dan fanatiknya yang ada tetapi fana.

Tuhan menciptakan dunia ini bersifat sementara. Begitulah juga setiap apa yang diisi di dalamnya sehingga pernah tersurat dalam sebuah kajian sains tidak kurang daripada 18,000  ciptaan. Sejumlah angka yang banyak yang memungkinkan ratusan malahan ribuan jemari batalion manusia bagi mencakupinya. Ajaibnya diangkat satu ciptaan Tuhan yang digelar manusia mengepalai tampuk pemerintahan dunia di saat ciptaan lain yang lebih hebat menolak.

Satu ciptaan yang indah dimuliakan dengan pemberian hadiah berupa amanah membawa perintah-perintah Tuhan ke sekalian ciptaan yang lain. Dikurniakan akal dan nafsu seiringan mengalahkan malaikat dan syaitan. Berhujah dengan mukjizat  mengalahkan gunung yang hancur kerana takwa. 

Di dunia ini manusia hanya sebentar cuma. Bernafas menggunakan oksigen juga percuma. Manusia hingga leka dan alpa dengan dunia. Gadaikan nyawa kejarkan cinta sementara. Keistimewaan yang tidak kekal lama. Sampai masa pasti akan fana dan celaka. Sedarlah khalifah penggalas amanah yang maha Esa. Tinggalkan keselesaan dunia dan gapailah keindahan syurga selamanya.

Fikir sejenak bawa hati kecil bermuhasabah. Berbaloikah kehidupan dunia selama 60 tahun dilaburkan untuk kehidupan akhirat yang selama-lamanya. Sesebuah pelaburan akan beroleh pulangan dan keuntungan yang lumayan jika hasilnya memuaskan. Segala kemewahan di dunia ingin dikejar. Halal dan haram dilanggar hingga berkali-kali terbabas. Kadangkala sampai ke destinasi yang dituju kekadang perlu berhenti dan berpatah balik kononnya masih mampu. Tetapi tanya kepada  diri sampai bila. Ingat kematian itu sekali sahaja.

Noktah tinta,  jalani kehidupan dengan berlandaskan garis panduan yang telah ditinggalkan oleh Tuhan dan sang utusan. Kelak pasti kehidupan akan terdorong dengan kebenaran jauh dari kesesatan. Manfaat dan hargailah nikmat-nikmat yang dianugerahkan dan jadikannya sebagai pelaburan pada masa hadapan di mana waktu berdimensi baharu.

Disediakan oleh: Muhd Syakirin Siddiq

Apakah Wanita di Malaysia juga Mempunyai Tokohnya Tersendiri?

Menguntum Malaysia di Hati