Kalendar yang digantung di dinding rumahnya diambil. Terdapat kesan koyak dibahagian atas kertas yang memaparkan bulan Ogos. Barangkali kalendar bulan Julai yang dikoyaknya sebelum ini tanpa berhati-hati. Hodoh, tetapi dia tidak kisah. Itu kalendarnya. Tidak ada orang yang akan datang menghampiri kalendar itu dan memerhatikan setiap inci. Orang sudah bergantung kepada kalendar di gajet sahaja. Cuma dia, masih ketinggalan zaman menggunakan kalendar tradisional begitu.

Pen berwarna hitam yang memang diselit di bahagian atas kalendar itu ditarik keluar. Ada tarikh yang mahu dipangkahnya, menandakan tarikh itu telah berlalu. Dia hanya akan bertemunya semula apabila tahun baharu menjelma, lalu bulan silih berganti seperti biasa. Ah, itupun jika dia masih diberi nafas untuk hidup setahun ke hadapan lagi.

‘’3 hari lagi, Merdeka’’, bisiknya sendirian. Tarikh 27 Ogos dipangkahnya. Tarikh 31 Ogos pula mula dibulatnya. Ada catatan pendek yang diconteng di bahagian kosong tarikh itu, sebutannya, ‘’Aku tidak mahu lagi dijajah’’.

Kalendar digantung semula. Beg kerjanya disilangkan ke bahagian dada. Kunci motor dan helmet dicapai. Kesesakan ibu kota sudah menanti-nanti kehadirannya. ‘’Sabar, ini perjuangan hidup, Im’’ bisiknya lagi kepada diri sendiri.

                                                             * * * * * * * * * * * *

Suasana di kedai buku pagi itu, seperti biasa masih lengang. Baru sebulan dia bekerja di situ, ditemani seorang lagi pemuda sepertinya, Farhan. Pemuda yang suka akan buku, juga sepertinya. Mungkin orang yang bekerja di kedai buku, ialah orang yang suka buku. Kedai buku, itulah syurga yang dahulu selalu disinggah-singgah, kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan, rutin hariannya.

‘’Im, sedang baca buku Hamka kah? Berkerut dahi engkau.’’ Tegur Farhan sebagai tanda mesra awal pagi. Kerusi ditarik mendekati Zaim.

‘’Ya. Tiga hari lagi negara kita yang sudah merdeka ini akan genap usianya 63 tahun, Han. Sengaja aku baca buku ini, kutip ruh kecintaan almarhum Buya akan Malaya.’’ Jawab Zaim sambil dia mula meletakkan buku Kenangan-kenanganku di Malaya di atas meja. Buku ditutup.

‘’Hah. Apabila buku ditutup, ertinya? Engkau mahu bercerita tentang apa Im?’’ Tanya Farhan lagi sambil ketawa. Zaim itu, apabila buku yang dibacanya sudah mula ditutup, maka akan bermulalah sesi berdiskusi dengannya. Diskusi isi seputar buku yang sedang dibaca itu.

‘’Apa pendapatmu tentang merdeka Han? Benarkah kita sudah merdeka? Atau ada lagi segi kehidupan kita yang terjajah, belum merdeka?’’ Soalan Zaim kedengaran serius.

‘’Merdeka, ertinya jiwa kita ini bebas Im. Bebas daripada cengkaman hawa. Luarannya tampak kita ini sudah bebas daripada dijarah, tetapi hari ini Im, jiwa kita masih terjajah, Ada sangkar kebendaan yang memerangkap kita daripada menikmati kehidupan dengan bebas.’’

‘’Kerana? Puncanya Han?’’ Tanya Zaim lagi. Seakan dia sengaja meminta penjelasan daripada Farhan.

‘’Engkau tahu puncanya Im. Bukan aku tidak kenal engkau. Aku faham engkau telah pun faham maksudku. Kita hari ini Im, tidak dapat tidak memang perlu berlumba mengejar kebendaan demi menegakkan sebuah kehidupan. Kerana kehidupan kita hari ini telah berubah tiang. Kita tanpa sedar telah merobohkan tiang iman, agama kita Im, lalu kita gantikannya dengan kebendaan, untuk menegakkan kehidupan. Walhal dahulu, kita telusuri sirah-sirah anbiya’, para sahabat, kehidupan mereka bukan bertiangkan kebendaan. Tiada wang yang mereka kumpul kecuali yang perlu sahaja, dan jika ada yang tiada wang walau sedirham, akan bersegeralah orang yang mengumpul wang sebatas mencukupkan keperluan kehidupan sendiri, menghulurkan bantuan pada yang kebuluran kerana di genggaman tiada dirham Im.’’ Jawab Farhan.

‘’Tetapi, engkau lihat di sekelilingmu Im. Malahan diri kita sendiri, tidakkah ada sekelumit perasaan mahu mengumpulkan wang demi meneruskan kehidupan kita Im? Kita mengejar kebendaan kerana pandangan kita, fikiran kita telah dijajah kebendaan itu sendiri Im. Kita sangka dan mula percaya, tanpa kebendaan, kita mati. Walhal, tanpa iman terlebih dahulu kita telah mati Im. Mati jiwa walau di saku telah kembung dipenuhi jutaan ringgit. Kertas. Yang kita kumpul itu kertas, yang kita buang pula lebih tinggi nilainya daripada mutiara. Tertipu atau dungu. Itulah kita walaupun telah merdeka mendekati usia emas. 63 tahun sepatutnya kita telah sarat dengan hikmah dan pelajaran. Usia emas, mengandung emas pula di jiwa. Tetapi kita masih seperti setahun jagung baru merdeka.’’ Sambung Farhan lagi.

‘’Lagi?’’ Zaim tersenyum. Puas hati barangkali dengan jawapan daripada pemuda berjanggut nipis di hadapannya itu.

‘’Sudah. Giliranmu pula. Curahkan pandanganmu kepadaku.’’ Alih Farhan.

‘’Iman. Memang iman itu ialah paksi segalanya Han.’’ Zaim membuka bicara. Tuturnya mahu disambung lagi.

‘’Buya Hamka, engkau pun banyak membaca buku-bukunya, bukan? Apa yang aku hadam, Buya tidak akan pernah lupa untuk mengaitkan setiap perbahasannya dengan pokok iman. Itulah juga yang digaris tebal oleh Buya di dalam buku ini.’’ Tangan kanannya menepuk lembut buku Kenangan-kenanganku di Malaya.

‘’Dengan iman kita bebas daripada penjajahan dan tanpa iman kita pulang semula ke era penjajahan.’’

‘’Nenek moyang kita Han, kerana iman, mereka tidak senang duduk selagi berasa dicengkam kekejaman dan penindasan penjajah. Terbit kesedaran daripada diri mereka untuk bebas dan tidak menjadi budak suruhan penjajah. Itu semua kerana mereka faham, bahawa mereka hanya layak menjadi budak kepada Allah. Budak ertinya hamba. Ya, iman ketika itu telah mengajar mereka, tidak ada kuasa yang berhak ke atas diri mereka selain kuasa Allah. Mereka hanya mahu hidup di bawah penaklukan-Nya, bukan penaklukan penjajah. Sebab itu, mereka terdorong untuk merdeka. Bebaskan kehidupan mereka daripada tangan-tangan penjajah. Golongan yang tidak langsung mempunyai kelayakan untuk menjadi Tuhan ke atas mereka.’’

‘’Iman yang menyemarakkan jiwa pejuang dan sanggup berkorban dalam diri mereka Han’’ kata Zaim.

‘’Tetapi hari ini, kita sudah tidak melihat iman itu sebagai tiang kehidupan. Kita tidak memahami erti sebenar kata iman. Kebendaan memang tidaklah kita puja sepertimana seorang yang bukan Islam tunduk sujud kepada berhala. Lebih parah dari itu, kebendaan telah bertapak di hati kita. Kita memujanya secara diam-diam, dan perlahan-lahan Allah bukan lagi menjadi keutamaan. Kita tidak sedar bahawa sekarang ini kita telah ditakluk kebendaan. Kita menjadi budak kepadanya.’’

‘’Ketiadaan iman yang kukuh telah membawa kita pulang semula ke sejarah dahulu Han. Sejarah kita dijajah.’’ Zaim bersuara lagi. Matanya kelihatan sedikit bergenang, tetapi seakan ada api yang sedang marak menyala. Mungkin azam yang tebenam dalam dirinya untuk mengubah haluan kehidupan masyarakat yang sudah meninggalkan Islam yang sebenar. Iman dan Islam tentunya saling berkaitan. Jika iman sudah nipis, sedikit pula ajaran Islam yang teraplikasi dalam kehidupan.

‘’Kring’’ bunyi loceng di pintu masuk kedai, menandakan adanya pelanggan yang singgah.

Mereka berdua bangun dari tempat duduk masing-masing. Pelanggan harus dilayan sebaiknya.

‘’Dik, akak sedang cari buku tentang merdeka. Buku apa kalau adik boleh cadangkan?’’ Tanya pelanggan yang kelihatan seperti sudah bergelar emak kepada Zaim.

Tanpa membuang masa, Zaim menarik keluar dari rak, dua buah buku dan disuakan kepada pelanggan itu.

‘’Kenangan-kenanganku di Malaya dan Islam, Revolusi dan Ideologi. Kedua-duanya karangan almarhum Buya Hamka. Mungkin akak berminat?’’ Zaim senyum.

‘’Boleh, akak ambil dua ini ya.’’ Senang sekali pelanggan itu menerima cadangan Zaim. Kepercayaan terbina antara penjual dan pelanggan.

‘’Selamat membaca kak. Semoga kita benar-benar merdeka jiwanya’’ ucap Zaim pendek sambil menghulurkan kedua-dua buah buku itu kepada pelanggan tadi usai bayaran.

‘’Terima kasih. Merdeka dik.’’ Balas pelanggan itu semula.

Zaim dan Farhan saling berpandangan. Masing-masing tersenyum. Entah bahagia kerana kedai yang mereka diamanahkan itu masih tidak sunyi daripada pelanggan atau bahagia kerana sekurang-kurangnya ada lagi rakyat Malaysia yang mahu memahami apa itu erti merdeka. Buktinya, dia mencari buku tentang merdeka.

‘’Dengan iman, kita bebas daripada penjajah. Tanpa iman, kita kembali dijajah.’’

Disediakan oleh,

Umi Khairunnisa binti Mohd Ali

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.