in

HAMKA Menulis untuk Perempuan yang Berasa Rendah Diri dan Merasakan Lelaki Sering Dilebih-lebihkan dalam Segala Hal

Buku Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan merupakan karya HAMKA yang kedua saya baca setelah novel Terusir beliau. 

Pada awalnya, saya tidak meletakkan ekspektasi yang terlalu tinggi untuk buku ini. Namun, setelah memulakan pembacaan, saya menjadi sangat teruja untuk terus melanjutkan pembacaan — terasa seakan tidak mahu berhenti untuk terus menyelak dari satu halaman ke satu halaman yang lain. 

Sejujurnya, buku ini membuatkan saya rasa sungguh dihargai sebagai seorang perempuan. Pada pandangan saya, HAMKA amat bijak dalam menghurai dan menyusun kata dengan mendatangkan hujah-hujah yang bernas daripada al-Quran dan hadis.

Kata HAMKA, “Wanita itu ialah tiang negara. Kalau wanita itu baik, baiklah negara, dan kalau mereka rosak, rosak pulalah negara.”

Saya amat tertarik dengan hujah HAMKA apabila menyangkal kisah Nabi Adam a.s dan Hawa berkenaan isu pokok khuldi yang tertulis dalam Kitab Kejadian (Perjanjian Lama) yang menyatakan bahawa perempuan ialah jenis manusia yang lemah dan lekas terpedaya.

Manakala dalam Kitab Kejadian (Perjanjian Baru) pula ditegaskan yang salah ialah perempuan kerana perempuan yang lebih dahulu terpedaya. 

Kedua-dua kitab tersebut jelas meletakkan salah hanya pada perempuan. Namun, HAMKA menyangkalnya dengan mendatangkan dalil daripada al-Quran yang menjelaskan bahawasanya yang bersalah adalah kedua-dua belah pihak. 

Seterusnya, Surah Taha pula menjelaskan bahawa yang bertanggungjawab di antara kedua-dua insan tersebut ialah Nabi Adam a.s — tegasnya ialah lelaki.

Pada pendapat saya, ini merupakan perkara yang mengagumkan kerana terserlah di sini Buya Hamka sebagai seorang lelaki turut memuliakan perempuan. Bayangkan sahajalah penulisnya lelaki tetapi kandungan yang ditulisnya adalah berkaitan perempuan. Wah, saya amat kagum dengan penulisan sebegini.

Jika kalian pernah baca novel Terusir karya beliau, saya juga dapat mengesan perkara yang sama sebagaimana yang ditampilkan dalam buku Buya Hamka Berbicara Dengan Perempuan ini kerana seolah-olah HAMKA mahu mengkhabarkan kepada kita tentang salah yang seringkali diletakkan hanya pada bahu perempuan itu tidak seharusnya terjadi. Lelaki dan perempuan sepatutnya mendapat penghargaan yang sama.

Kata HAMKA lagi, “ Mereka dipandang sebagai bahagian yang sama pentingnya dengan laki-laki dalam memikul tanggungjawab beragama, mengukuhkan akidah dan ibadat, sehingga timbullah harga diri yang setinggi-tingginya pada mereka, timbul ilham perjuangan.”

Ah, sungguh buku ini berjaya membuatkan saya jatuh cinta dengan isinya. Reka letak dan kulitnya pun benar-benar cantik. Kalian perlu membacanya terutama perempuan yang berasa rendah diri dan merasakan lelaki sering dilebih-lebihkan dalam segala hal.

Sejujurnya, 

perempuan itu 

merupakan insan yang 

mungkin luarannya terlihat lemah 

namun hatinya begitu tabah.

PROFIL PENULIS :

N. Nur Nasuha berasal dari Kelantan, Malaysia. Beliau aktif berkongsi perihal agama Islam

di media sosial instagram dan twitter @nasuharsl . 

Jika Bercinta itu Dosa, Mengapa Allah Hadirkan Perasaan Cinta Itu?

Islam Tidak Melarang Umatnya Mencari Harta