in ,

HAMKA Kata Budi Itu…

Kalimah ‘Budi’ adalah kalimah yang kaya makna dalam bahasa Melayu. Kita menyebut seseorang itu berbudi apabila dia melakukan sesuatu yang mulia dan terpuji, atau juga ketika dia berbuat bakti dan ketika tahu beradab di sesuatu majlis. Pendek kata, kalimah budi adalah kalimah yang membawa himpunan semua karakter baik dan mulia. Kita beruntung kerana memiliki kalimah ini. Kerana dengannya kita dapat menjunjung perilaku yang baik dalam segenap lapangan dan bidang kehidupan.

LEMBAGA BUDI- HAMKA | JT Books
Klik gambar untuk beli buku Lembaga Budi

Dengan kalimah inilah HAMKA mengarang bukunya berjudul Lembaga Budi. Yang menariknya, beliau menulis karya sarat makna ini pada umurnya di awal 30’an. Karya Lembaga Budi adalah perspektif seorang HAMKA dalam mentakrifkan makna kalimah Budi. Dalam penulisan kali ini, kita mahu melihat beberapa sudut pandang HAMKA terhadap kalimah Budi yang boleh kita manfaatkan:

Perjuangan menegakkan budi adalah perjuangan Nabi.

HAMKA memulakan bukunya dengan menyentuh hadis sahih yang maksudnya berbunyi “Aku diutus tidak lain hanyalah untuk menyempurnakan budi pekerti mulia.” Hadis ini menekankan perjuangan utama risalah kenabian adalah menyempurnakan ‘makarimal akhlak’ yang diterjemahkan oleh HAMKA sebagai budi pekerti mulia. 

Kita sendiri tahu bahawa akhlak Nabi, adalah akhlak Al-Quran. Ia bersumberkan wahyu. Tujuannya adalah membawa manusia kepada Tuhan yang satu. Dalam segenap budi pekerti, niatnya tidak lain adalah untuk mencari reda Allah yang mana bak kata HAMKA adalah mabda’ (tempat bermula) yang membentuk budi pekerti dalam ajaran Nabi SAW.

Seorang asatizah pernah menerangkan bahawa manusia sejagat sangat berhajatkan kepada wahyu untuk mengetahui nilai akhlak dan moral. Tanpa petunjuk wahyu, manusia akan berkelahi dalam menentukan baik buruk sesuatu. Bahkan terbuka untuk mentakrifkan sekehendak hati dan nafsu.

HAMKA mengingatkan kita kepada asas perjuangan ini. Dan jika kita semua berusaha untuk melaksanakannya, ia dikira sebagai usaha membenarkan ajaran Nabi Muhammad SAW, juga usaha menyampaikan kemanusiaan kepada tujuannya yang tertinggi.

Lapangan Budi itu Luas

Dalam buku Lembaga Budi, HAMKA membahagikan syarahan tentang budi dalam beberapa bab berdasarkan kegunaan budi dalam masyarakat. HAMKA menerangkan budi seorang pemerintah, budi rakyat kepada pemerintah, budi orang yang membuka syarikat, budi yang mulia kepada peniaga, sifat mulia dalam segenap pekerjaan seperti guru, doktor, hakim dan pengarang dan membuat analisa terhadap penyakit-penyakit budi serta cuba menghidangkan penawar-penawarnya.

Membaca karya ini membuatkan kita merenung bahawa akhlak yang mulia bukan hanya soal formaliti agama, ia hidup dalam soal kehidupan harian. Ini juga membuktikan bahawa perjuangan agama kita dalam menegakkan budi pekerti meliputi kehidupan sehari-hari. Benarlah bahawa agama Islam adalah cara hidup. Baik di atas jawatan tinggi atau ketika di tengah pasar, ada budi mulia yang dituntut untuk dilaksanakan.

Budi harus diisi dengan ilmu

Ketika membaca karya ini, pembaca akan sentiasa terserempak dengan perkataan ilmu, pengetahuan dan kepandaian. HAMKA sentiasa cuba menyelitkan hubungkait antara ilmu dan budi pekerti. Ia tidak boleh berpisah malah saling menyempurnakan sesama sendiri. Antara kata-kata HAMKA yang meringkaskan pendapat itu dalam karya Lembaga Budi adalah seperti berikut:

“Antara ilmu dengan budi hendaklah isi mengisi. Betapa pun banyak ilmu kalau tidak didasarkan pada budi hanya akan membawa kecelakaan. Dan budi tidak berisi ilmu tidak pula akan memberikan faedah kepada masyarakat.”

Berbudi adalah tugas masyarakat

HAMKA adalah seorang yang hidupnya sebati dengan masyarakat. Dikatakan bahawa rumahnya sentiasa menerima kunjungan berbagai lapisan masyarakat untuk bertanya soalan berkait agama dan kehidupan. Ini menjadikan penulisan-penulisan HAMKA sering menyentuh soal masyarakat hatta dalam soal budi pekerti. Walaupun kita berfikir bahawa berbudi mulia itu tugas individu, HAMKA seakan-akan ingin menegaskan bahawa ia adalah tugas bersama. 

Perkara ini dapat kita lihat dalam analisa beliau terhadap punca budi menjadi rosak. HAMKA menyatakan bahawa kepedulian terhadap hal ehwal masyarakat dan sifat prihatin merupakan antara unsur utama yang menegakkan budi pekerti mulia. Sebaliknya, sifat mementingkan diri, sempit lapangan hidup dan kurang peduli kepada keadaan orang lain merupakan penyebab yang membawa kepada kerosakan budi pekerti. Contohnya, orang yang mengambil rasuah tidak hirau jika masyarakat akan rugi atau ditimpa kesan buruk asalkan keinginannya untuk mendapat untung terbanyak dapat dicapai.

Ketika menyebut cara-cara memperbaiki kerosakan akhlak pula, HAMKA mengutarakan dua langkah; yang pertama adalah menjaga masyarakat dari segenap keperluannya sementara yang kedua adalah langkah pencegahan iaitu menyediakan hukuman. Menjaga masyarakat itu boleh dalam pelbagai cara. Contohnya dalam pendidikan, sukan, dan pemilihan jenis hiburan yang dihidangkan kepada masyarakat akan memberi kesan langsung kepada akhlak individu.

Banyak lagi perkongsian HAMKA dalam buku Lembaga Budi menekankan kaitan langsung budi pekerti dengan masyarakat. Satu jenayah yang dilakukan oleh individu boleh memberi kesan langsung kepada masyarakat, sementara suasana dalam masyarakat boleh menyumbang kepada kerosakan akhlak individu atau juga membendungnya.

Karya Lembaga Budi ini turut membawakan contoh-contoh nyata untuk direnungkan dalam kehidupan kita. Buku ini memberi panduan dan harapan buat setiap dari kita untuk merawat krisis masyarakat dengan terlebih dahulu merawat krisis budi yang ada padanya.

Disediakan oleh: Ruqayya Azhari


Hantar karya anda di emel [email protected]

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Golongan Lemah di Dunia yang Dijamin Syurga oleh Allah

Apakah Erti Hidup di Dunia?