Integriti dari sudut bahasa bermaksud sempurna dan utuh. Secara khususnya, integriti dapat dikaitkan dengan perwatakan seseorang seperti jujur, amanah, cekap, kredibiliti, bijaksana dan lain-lain yang menunjukkan akhlak dan kesempurnaan peribadi seseorang. Hal ini dapat dilihat dengan peribadi yang mempunyai imej yang bersih dan utuh mencerminkan integriti seseorang, malahan ia menjadi imej yang baik untuk negara apabila seseorang itu amanah dalam melaksanakan tugas sebagai seorang penjawat awam.

Apabila nama Hamka disebut, kita mengenang Hamka sebagai seorang yang pemaaf dan berani. Kita juga mengetahui bahawa Hamka adalah sebagai seorang penulis dan pemikir yang disanjungi umat Islam di alam Melayu. Maka dalam artikel ini, penulis membincangkan mengenai ketokohan Hamka sebagai seorang yang berintegriti.

Umumnya kita mengetahui bahawa Hamka merupakan seorang penulis, sasterawan, ulama, ahli tafsir al-Quran, ahli politik, pemimpin dan sejarawan. Jika diperhalusi perjalanan hidup Hamka, Hamka telah berjaya melaksanakan kegiatan dan profesion beliau dengan sangat berintegriti.

Perkara ini dapat dilihat berdasarkan catatan biografi beliau yang ditulis oleh anak-anak beliau iaitu Rusydi Hamka (Hamka Pujangga Islam) dan Irfan Hamka (Hamka Pendekar Terbilang: Kisah Abadi Bersama Ayahku Hamka) serta catatan-catatan dan sanjungan yang dikongsikan oleh orang lain yang mengenali dan rapat dengan beliau semasa beliau masih hidup, termasuk beberapa kajian yang dilakukan mengenai ketokohan beliau.

Penulis membahagikan integriti Hamka kepada dua aspek utama, iaitu sebagai seorang penulis dan dalam kegiatan dan jawatannya.

Integriti Hamka sebagai penulis

Sebagai seorang penulis, Hamka merupakan seorang penulis yang prolifik. Sama ada beliau mengarang sastera, falsafah mahupun agama, ketokohan beliau sebagai seorang penulis tidak dapat disangkal lagi. Kita dapat melihat beberapa karya yang menjadikan beliau sangat terkenal di dalam masyarakat kita di Malaysia, antaranya ialah Di Bawah Lindungan Ka’bah, Tenggelamnya Kapal Van Der Vijck dan sebuah karya beliau yang menjadi “magnum-opus” iaitu Tafsir al-Azhar.

Dalam kegiatan penulisan beliau, Hamka sangat berupaya menjaga produktiviti beliau. Menurut Imron Baehaqi (2012), jika dikira lembaran karangannya dengan umur beliau, secara puratanya Hamka telah menulis sehingga sepuluh halaman sehari.

Hal ini menunjukkan Hamka begitu konsisten dan tekun menulis, sehingga begitu banyak karangan beliau yang kita dapat menikmati sehingga ke hari ini. Rusydi Hamka dalam catatan beliau menyenaraikan sebanyai seratus lapan belas (118) buah tulisan-tulisan Hamka sejak mula mengarang pada tahun 1925.

Hamka bukan sahaja konsisten menulis, malah dalam karyanya mempunyai nilai-nilai yang sangat baik, daya laku yang sangat panjang bahkan menjadi bahan bacaan sastera, kajian dan perbincangan ramai sehingga ke hari ini, seperti yang ditunjukkan menerusi antara karya yang terunggul iaitu Di Bawah Lindungan Ka’bah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Vijck (Imron Baehaqi, 2012).

Selain itu, Hamka juga menjaga amanah dan prinsip dalam penulisan beliau. Sebagai contoh, dalam penghasilan kitab Tafsir al-Azhar, Hamka sangat menjaga adab-adab beliau ketika mentafsirkan al-Quran.

Muhammad Husain al-Dzdzahabi dalam kitab al-Tafsir wa al-Mufassirun telah menggariskan sembilan syarat dan adab yang perlu dipenuhi; iaitu niat yang baik, berakhlak mulia, taat dan beramal dengan ilmu, berjiwa mulia, tawadhu’, tegas dalam menyampaikan kebenaran, mendahulukan orang-orang yang lebih utama daripadanya sendiri, berakidah dengan akidah yang benar, dan berpengetahuan luas dalam ilmu Islam.

Perkara ini jelas dapat dilihat bahawa Hamka telah menggariskan prinsip-prinsip dalam pentafsiran al-Quran, antaranya ialah:

  1. Unsur-unsur isra‘iliyyat hanya dimasukkan sebagai peringatan sahaja.
  2. Menggariskan empat syarat untuk mentafsirkan al-Quran dengan akal; iaitu mengetahui bahasa Arab dengan pengetahuan yang dapat dipertanggungjawabkan supaya dapat mencapai makna dengan sejelas-jelasnya, tidak menyalahi dasar yang diterima daripada Nabi Muhammad SAW, tidak keras mempertahankan mazhab pendirian lalu menyesuaikan maksud ayat yang disesuaikan dengan mazhab yang dipertahankan, dan mestilah ahli dalam bahasa yang dia tafsirkan.
  3. Mempunyai pegangan akidah yang benar, mengambil pandangan ulama’ lain, merujuk kepada ilmu-ilmu teras Islam dan tidak berlandaskan kehendak nafsu (Muhammad Yusry Affandy, 2019).

Kesemua adab-adab dan syarat-syarat yang dipenuhi Hamka ini telah menunjukkan bahawa Hamka begitu amanah dan berdisiplin dalam menulis kitab tafsir beliau iaitu Tafsir al-Azhar.

Beliau juga menunjukkan sikap tawadhu’ beliau dengan tidak menulis tafsirnya sebagai tafsir, tetapi dengan menambahkan pembuka dan penutup kata iaitu “tafsir”. Kesemua garis panduan dan adab-adab yang dinyatakan Hamka ini terdapat di dalam mukaddimah Tafsir al-Azhar. Hasil penulisan kitab tafsir ini juga menjadi rujukan umat Islam terutamanya di alam Melayu, malah bersesuaian dengan dua golongan yang disasarkan Hamka sendiri, iaitu orang yang berilmu dan orang yang hendak mempelajari agama Islam.

Integriti Hamka dalam kegiatan dan jawatan

Hamka juga aktif dalam kegiatan beliau sebagai seorang penggerak dakwah dalam organisasi Muhamadiyyah, beliau pernah menjadi ahli dewan konsituante mewakili parti Masyumi dan mejawat jawatan sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI). Dalam perihal politik, Hamka sendiri mempunyai pandangan politik tersendiri, jika berulang kali membaca tulisan dan pidato beliau terdapat jalur-jalur benang politik (Nasir Tamara et al, 1983).

Dalam organisasi Muhamadiyyah, Hamka sangat aktif menyumbang tenaga sepanjang hidupnya. Beliau mendapat kepercayaan dan telah diangkat menjadi anggota Majlis Konsul Muhammadiyah Sumatra Tengah pada tahun 1934.

Salah satu ketokohan Hamka sebagai seorang yang berintegriti jelas dilihat semasa beliau menjawat sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI). Hamka merupakan seorang yang tegas berprinsip dalam mempertahankan kebenaran. Ketika beliau dilantik sebagai ketua MUI, Hamka telah menyatakan prinsip dan kewaspadaan beliau dalam memegang amanah. Hal ini jelas dilihat di dalam catatan Rusydi dan Irfan Hamka, bahawa Hamka telah berkata:

“Kita sebagai ulama telah menjual diri kita kepada Allah semata-mata. Ulama yang telah menjual diri kepada Allah, tidak boleh dijual lagi kepada pihak mana pun.”

Sebagai seorang ulama, Hamka juga mengingatkan bahawa jawatan ini merupakan suatu amanah yang besar dan perlu dijaga dengan bijaksana, dengan mengumpamakan ulama sebagai kuih bika:

“Ulama ibarat kuih bika; dari bawah dipanggang api, dari atas pun dipanggang api. Itulah kuih bika. Dari bawah oleh umat dan dari atas oleh pemerintah.”

Menurut Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, ulama merupakan penasihat kepada umara, iaitu pemimpin. Hal ini berdasarkan dua keadaan dan dua golongan dalam sesebuah masyarakat iaitu umara dan ulama. Kata beliau:

“Umara adalah individu yang menjadi pemimpin, manakala ulama adalah penasihat. Keadaan pertama ialah umara dan ulama adalah dua individu berbeza, manakala keadaan kedua di mana seorang individu menjadi pemimpin sekali gus penasihat. Pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin, Baginda dan para sahabat merupakan pemimpin sekali gus ulama ke atas kepimpinan dan masyarakat. Manakala tokoh ulama besar seperti Imam Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi tidak menceburi politik tetapi menjadi penasihat.”

Dalam hal ini, pengelibatan Hamka sebagai ketua MUI merupakan seorang yang berperanan besar dalam menasihati pemimpin. Pada masa yang sama, beliau perlu bijak menjaga jarak, kerana apabila terlalu dekat dengan pemerintah, nescaya hangus. Dan begitu juga apabila terlalu dekat dengan rakyat juga boleh jadi hangus (Mohd Fitri Ibrahim, 2016).

Kata-kata Hamka bukanlah satu omong kosong. Malah Hamka sendiri meletakkan jawatannya sebagai ketua MUI kerana beliau tegas dengan prinsipnya. Perisitwa Fatwa Hari Natal adalah natijah yang jelas menunjukkan bahawa beliau mempunyai integriti yang utuh. Rusydi Hamka menceritakan bahawa Hamka mengingatkan di dalam sebuah khutbah Jumaat dengan lantang:

“Haram hukumnya bahkan kafir apabila ada orang Islam menghadiri upacara natal. Natal adalah kepercayaan orang Kristian yang memperingati hari lahir anak Tuhan. Itu adalah akidah mereka. Kalau ada orang Islam yang turut menghadirinya, bermakna dia melakukan perbuatan yang tergolong musyrik. Ingat, dan katakan pada kawan-kawan yang tidak hadir di sini. Itulah akidah tauhid kita,”

Fatwa mengenai hukum menghadiri hari Natal itu telah sampai ke telinga pemerintah. Menteri Agama Alamsyah yang merupakan pihak pemerintah meminta supaya fatwa itu ditarik balik, namun Hamka dengan tegas enggan menarik balik fatwa beliau dan memilih untuk meletakkan jawatan beliau sebagai Ketua Umum MUI.

Dalam temu bual penulis bersama Pak Afif Hamka, iaitu anak kesembilan Hamka di Universitas Al-Azhar Indonesia pada tahun 2019, Pak Afif Hamka telah menceritakan latar belakang terjadinya peristiwa itu. Menurut beliau, terdapat tradisi “halal bil halal” di Indonesia pada ketika itu, iaitu berkumpul sesama ahli keluarga atau orang kampung, dan begitu juga jabatan-jabatan kerajaan untuk merayakan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Dalam perkumpulan itu, terdapat para muballigh yang menyampaikan ceramah atau tausiahnya, terdapat orang-orang bukan Islam yang turut hadir dalam perkumpulan itu. Setelah tiba Hari Natal, tradisi “halal bil halal” juga dirayakan untuk perayaan Hari Natal, dan inilah yang menjadi persoalan fatwa yang ditanya oleh masyarakat kepada MUI. Beliau menceritakan:

“Setelah tiba Hari Natal, ada acaranya Hari Natal juga. Istilahnya “Natal Bersama”. Kalau orang Kristian itu tidak mungkin orang Katolik panggil orang Protestan. Di gerejanya, tidak mungkin. Kalau di pejabat, mereka panggil semua. Pejabat, kan? Kalau pejabat, orang Protestan diundang, orang Batak diundang kerana diadakan di pejabat. Yang Kristian yang semuanya nasara lah, yang bukan Islam ya. Orang-orang Islam makan-makan juga. Tapi dalam Islam ada tausiahnya ada ceramahnya. Mereka (orang Kristian) pun memberi ceramahnya. Daripada ceramah, orang Katolik memberikan ceramah, orang Protestan juga memberikan ceramah. Akhirnya, bukan hanya kumpul-kumpul, kalau mereka itu pakai (ritual) menyanyi (seperti) di gereja. Itu sudah ibadah. Kalau di islam, itu cuma silaturrahim. Kalau mereka, tidak ada bidaah bidaah yang penting mereka ajar. Bidaah belum ada apa-apa lagi. Itu khutbah, bukannya ceramah lagi. Tapi ada, misalnya si Eusoff diundang atau dijemput, nanti nama Eusoff ada di kerusi. “Silakan pak, sudah ada buku di atas kerusi.” Buku nyanyian halaman sekian-sekian. Nanti pada saat acara itu semuanya menyanyi. Kalau Protestan nyanyinya itu juga, Katolik nyanyinya itu juga. Orang Islam, diundang. Ada nyanyinya juga. Itukan sudah ibadah. Ini yang membuatkan orang-orang Islam ini resah. Dari mana-mana daerahpun begitu juga. Bikin surat mereka kan. Surat kepada Majlis Ulama Indonesia. Ketika itu Buya Hamka menjadi ketua Majlis Ulama Indonesia. Datang ke rumah juga orang kepada Buya Hamka. Ini kan juga persoalan fatwa. Kerana ini masalahnya ada nyanyian, ada bakar lilin, ha itukan sudah ibadah itu. Bukannya silaturrahim lagi. Nah itu ditanyakan, kumpul itu ulama-ulama, komisi fatwa khususnya fatwa dibicarakan apa hukumnya. “Haram! Menghadiri upacara natal itu haram.” Jadi Buya Hamka sebagai ketua dia teruskan, dia tandatangan.”

Pak Afif Hamka juga menceritakan bagaimana Hamka meletakkan jawatan sebagai ketua MUI kerana mempertahankan fatwanya:

“Dia (Menteri Agama Alamsyah) minta (fatwa) itu dicabut. Ini Hamka, jika sudah jadi fatwa itu tidak boleh dicabut. Tapi dia (menteri itu) ancam, kalau tidak dicabut, (esok) saya akan mengundurkan diri dari Menteri Agama. Begitu ancaman. Kata-kata itu akan dipegang oleh Hamka. Kalau dia (esok), akan hari ini saya (Hamka) mengundurkan diri. Kalau kamu (Menteri Agama) esok, kalau saya, hari ini mengundurkan diri. Dia (Hamka) buat kenyataan mengundurkan diri itu (bagi) mempertahankan fatwa natal.”

Di sebalik peristiwa fatwa Hari Natal, Pak Afif Hamka berpendapat bahawa prinsip Hamka yang ditunjukkan itu merupakan dalam hal ubudiyyah, akidah; iaitu tidak ada tawar menawar dalam tauhid. Hal itulah menunjukkan Hamka sebagai seorang yang berintegriti menurut beliau.

Kesimpulan

Sepanjang hidup Hamka, beliau telah menyumbang tenaga dan buah fikirannya sebagai seorang yang berintegriti. Dalam melakukan segala kegiatan dan penulisan, dapat dilihat bahawa beliau merupakan seorang yang konsisten dan amanah. Di dalam penulisan, beliau sangat menjaga nilai-nilai yang murni dan etika sebagai seorang Muslim yang baik.

Beliau juga bukanlah seorang yang omong kosong dalam menyatakan pendirian, malah bertegas dalam menyampaikan dan mempertahan kebenaran. Kesemua perwatakan yang mulia ini merupakan sebahagian daripada ketokohan Hamka sebagai seorang yang berintegriti yang boleh dicontohi umat Islam.

Oleh itu, umat Islam terutamanya masyarakat Melayu perlu mengambil contoh teladan dalam membentuk diri menjadi seorang yang berintegriti. Hal ini kerana, integriti dapat dibentuk daripada kekuatan rohani dan kesucian akidah tauhid (Muhammad Kamal Hassan, 2004).

Mudah-mudahan dengan menjadikan Hamka sebagai sebahagian daripada inspirasi umat Islam, integriti umat Islam dapat dibangun dan imej Islam sebagai agama yang bersih dan utuh dapat ditonjolkan sebagai satu dakwah Islamiah bagi manusia seluruh alam.

Disediakan oleh,

Eusoff Amiruddin


Rujukan:

  1. Afif Hamka. (30 Disember 2019). Temu bual dengan penulis.
  2. al-Dhdhabiy, Muḥammad Ḥusain. (2000). Al-Tafsīr wa al-Mufassirūn. Kaherah: Maktabaṯ Wahbaṯ.
  3. HAMKA, Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. (2015). Tafsir Al-Azhar. Jakarta: Gema Insani.
  4. Imron Baehaqi. (2012). Perumpamaan Melayu: Kajian Terhadap Penggunaannya Oleh HAMKA Dalam Tafsir Al-Azhar Juzu’ 27. (Tesis Sarjana). Kuala Lumpur: Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Universiti Malaya.
  5. Irfan Hamka. (2012). HAMKA Pendekar Terbilang: Kisah Abadi Bersama Ayahku Hamka. Shah Alam: Pustaka Dini.
  6. Mohd Fitri Ibrahim. (3 Ogos 2016). Mencari Hamka Baru di Malaysia. (https://www.malaysiakini.com/letters/350944)
  7. Muhammad Kamal Hassan. (2004). Kepincangan Nilai Dalam Masyarakat Global. Kolokium Pengukuhan Integriti, Institut Kefahaman Islam Malaysia
  8. Muhammad Yusry Affandy. (2019). Hamka: Permata Tafsir Bumi Nusantara. Batu Caves: PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd.
  9. Nasir Tamara, Buntaran Sanusi dan Vincent Djauhari. (1983). Hamka Di Mata Hati Umat. Jakarta: Penerbit Sinar Harapan.
  10. Pahrol Mohd Juoi. (18 Februari 2013). Ulama jadi calon: Golongan ualama bentuk sahsiah masyarakat. (https://www.sinarharian.com.my/politik/ulama-jadi-calon-golongan-ulama-bentuk-sahsiah-masyarakat-1.132284)
  11. Rusydi Hamka. (2010). Hamka Pujangga Islam Kebanggaan Rumpun Melayu: Menatap Peribadi dan Martabatnya. Shah Alam: Pustaka Dini.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.