in

LoveLove CuteCute

Hamka Berbicara Perihal Rumah Tangga Melalui Novel Si Sabariah

Maafkan saya kalau salah,

kalau tidak hemat cermat,

Sangat berlindung pada Allah,

buku cerita sudah tamat.

Selesai rangkap puisi tersebut, bermakna selesailah saya membaca novel pertama karangan Hamka iaitu Si Sabariah. Novel ini merupakan terbitan Jejak Tarbiah pada tahun 2020 dengan dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Minang.

Ironi sekali, saya mampu khatamkan novel ini dalam tempoh masa setengah hari tidak seperti novel-novel pendek lain yang memerlukan saya duduk baring dan kadangkala terlelap seketika untuk melunaskan bacaannya. Sungguh, sekali lagi saya khayal dalam naratif Hamka yang penuh magis tetapi mendidik!

Pertama kali melihat buku ini, mata saya tertancap lama pada persembahan luarannya. Berlatar belakangkan warna hijau serta menonjolkan imej seorang lelaki dan seorang wanita, jelas membayangkan dua watak utama yang mengemudi kisah yang bakal diperikan oleh pengarang dalam novel ini. Sementara itu, latar imej gunung dan rumah bercirikan adat Minangkabau jelas memberi maklumat kepada pembaca bahawa latar cerita ini adalah di sebuah kawasan penempatan masyarakat yang mengamalkan adat perpatih iaitu di daerah Maninjau, Indonesia.

Seterusnya, jika diteliti kandungan buku tersebut terdapat beberapa ilustrasi dimuatkan serta disediakan nota kaki bagi beberapa perkataan yang berkemungkinan tidak difahami oleh pembaca. Hal ini kerana, naskhah asal Si Sabariah terdapat dalam bentuk tulisan Jawi lama yang kemudiannya dilakukan proses transliterasi untuk ditampilkan dalam bentuk fizikal buku rumi agar mudah dibaca oleh pembaca zaman kini.

Di samping itu, novel ini juga mempunyai beberapa rangkap puisi yang disusun indah aksara dan rimanya oleh Hamka. Puisi-puisi tersebut, turut berkaitan intisari cerita. 

Menerusi novel Si Sabariah, Hamka didapati menyuguhkan beberapa kritikan berguna sebagai tauladan kepada pembaca.

Kritikan pertama, adalah tentang perlunya melakukan penghijrahan untuk membawa perubahan. Pada zaman dahulu dalam budaya masyarakat Melayu, anak lelaki yang sudah dewasa akan merantau ke luar negeri untuk mencari kehidupan dan kebiasaanya ibu bapa agak keberatan untuk melepaskan kerana memikirkan siapa yang akan menjaga mereka jika sakit dan pening.

Sesebuah penghijrahan yang dilakukan bukanlah satu proses yang mudah dan ia menuntut pengorbanan. Namun, jika tidak melakukan penghijrahan sudah pasti kita masih bergelumang dengan keadaan dan situasi yang sama. 

Hal ini dapat dilihat menerusi watak Pulai iaitu suami kepada Sabariah yang ingin merantau ke luar negeri untuk mencari rezeki yang lebih lumayan buat keluarganya. Lalu ditinggalkan isteri, ibu mertua dan ibu kandung di kampung dengan berbekalkan azam yang tinggi untuk berjaya. Entah untung entah rugi ketika berdagang, Pulai sebagai insan biasa tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang kepada mereka yang ditinggalkan. Sebaliknya, dia hanya mampu memohon kepada yang Esa agar segala urusannya dipermudahkan dan pulang semula ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Menurut saya novel Sabariah mirip dengan kebanyakan naratif Hamka yang lain iaitu membuat kritikan tentang adat yang jika tidak bersendikan hukum syarak, natijahnya membunuh kebahagiaan manusia.

Sepasang suami isteri yang berkasih sayang dan berjanji sehidup semati akhirnya boleh bertelagah dan hampir bercerai hanya kerana salah seorang daripada mereka memegang status ‘orang luar’ serta keadaan bertambah buruk jika mereka miskin harta. Namun, tidak sebaliknya jika mereka datang daripada suku yang sama dan berketurunan mulia maka persiapkan sahaja diri untuk menjadi menantu kesayangan ibu mertua.

Seterusnya, sepanjang naratif berjalan pengarang juga didapati menyelitkan kritikan terhadap pihak ibu bapa. Dalam hal rumah tangga anak-anak, ibu bapa tidak sepatutnya terlalu ikut campur dan memaksa anak-anak untuk akur akan kehendak mereka. Jadilah ibu bapa yang mampu menyumbang nasihat yang baik dan menjernihkan keadaan bukan lagi mengeruhkan. Sindiran dan hinaan sepatutnya digantikan dengan bingkisan doa dan restu kepada anak-anak. Pujuk hati si anak untuk bersabar jika mereka diuji dengan hubungan jarak jauh yang menuntut kesetiaan yang bukan sedikit dan kasihilah menantu, ibarat menyayangi anak sendiri maka barulah rukun hubungan keluarga.

Selama kita bercerai,

khabar tidak, berita pun tidak,

adakah tuan senang saja?

Selain itu, pengarang juga membuat kritikan tentang sikap segelintir individu yang mengambil tindakan tanpa berfikir panjang dan hanya mengikut dorongan nafsu. Hal ini kerana, amarah dan dendam merupakan senjata ampuh yang dipersiapkan syaitan untuk membinasakan kehidupan manusia.

Dalam novel ini, dikisahkan Pulai yang pulang daripada berdagang telah menyimpan dendam kepada ibu mertuanya dan ingin menguji kesetiaan sang isteri. Hal ini kerana, dalam surat yang dikirim ibu kandungya semasa Pulai berdagang, Pulai diminta agar segera pulang kerana ibu mertua Pulai sedang membuat rancangan untuk memisahkan dia dan Sabariah. Tetapi, ibu kandungnya mengingatkan Pulai bahawa Sabariah tidak bersalah sama sekali dalam hal tersebut.

Oleh itu, sebelum pulang ke rumah menemui isteri dan mertuanya Pulai telah membeli pisau kecil di pasar. Pisau itu nanti dikisahkan di penghujung cerita ini telah menamatkan riwayat Sabariah dan Pulai. Lihatlah! insan mulia seperti Pulai akhirnya jatuh hina kerana candu dendam.

Si upik si Sabariah,

berumah di Koto Tinggi,

di kiri jalan Pananjunan;

Umur habis janjilah sudah,

sama meninggal dengan si Pulai

salah badannya merentangkan. 

Akhir sekali, Hamka juga mengkritik cara seseorang anak berdiplomasi dengan ibu bapa apabila menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Watak Sabariah dalam novel ini digambarkan sebagai seorang anak yang sangat menjaga tutur kata terhadap orang tuanya meskipun ketika sedang mempertahankan hujah. Ibunya meminta sesuatu yang amat sukar ditunaikan oleh Sabariah dan mana-mana isteri iaitu menuntut cerai daripada suami yang sangat dikasihi. Sikap Sabariah ini wajar dicontohi oleh anak-anak supaya ibu bapa sentiasa dihormati dan bermusyawarahlah dengan mereka dengan cara yang paling baik agar di akhirnya tidak bermasam muka.

Kesimpulannya, saya merasakan penerbitan semula novel Si Sabariah adalah relevan dan bermanfaat untuk generasi kini dan akan datang kerana isi dan pengajarannya akan sentiasa diguna pakai dalam kehidupan sehari-hari. 

Lumrah kehidupan manusia, harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Hamka akan sentiasa diingati kerana sumbangannya dalam menghasilkan karya-karya yang bermanfaat termasuklah novel ini iaitu Si Sabariah: Novel Pertama Hamka. 

Disediakan oleh,

Noor Hidayahtul Aiza

Membaca Buku Membuatkan Saya Bahagia

Congo Sedang Berdarah!