in ,

LoveLove OMGOMG

Pramoedya Ananta Toer dan ‘Tierra Humana’

“Berbahagialah dia yang makan dari keringatnya sendiri, bersuka karena usahanya sendiri dan maju kerana pengalamannya sendiri.”

Demikan ungkapan yang mendenging daripada novel mendunia Pramoedya Ananta Toer, berjudul ‘Bumi Manusia’ (Tierra Humana). Bagi penggemar buku-buku seberang, nama Pramoedya Ananta Toer atau lebih mesra dengan panggilan Pram ini semestinya tidak asing lagi. Manakala bagi penggemar tegar karya-karya Pram pula, semestinya tidak lengkap hidup seorang ‘Pramis’ jika tidak membaca lumat, Bumi Manusia.

Pram (1925-2006) berada di kelasnya yang tersendiri. Sebagai pembaca dan kolektor karya beliau, saya mengakui bahawa Pram ialah seorang pengarang yang cukup hebat dan berpendirian teguh.

Pada mulanya, saya pernah tersilap langkah dalam misi mengenali sosok Pram iaitu dengan terus membaca Bumi Manusia dan kesannya; saya diserang sakit ‘readerblock’ selama beberapa minggu!

Mutu bahasa yang tinggi, istilah-istilah asing serta gaya penceritaan Pram yang terlalu unik menyukarkan saya untuk mengikutinya. Namun, saya tidak berputus asa. Saya mengambil jalan lain dengan mula menelaah ‘Midah’ terlebih dahulu, satu lagi novel tipis karya Pram dan kemudian diikuti dengan ‘Bukan Pasar Malam’ yang akhirnya membuatkan saya jatuh cinta dan berjaya menawan Bumi Manusia.

Bumi Manusia, dikatakan karya Pak Pram yang paling masyhur. Di sebalik proses penghasilan karya ini, terpalit pelbagai kisah tragis yang membungkus hidup seorang Pram.

Pram mengarang novel roman ini ketika dalam tahanan politik di Pulau Buru, Maluku pada zaman Orde Baru Presiden Soeharto. Pram membekas di Pulau Buru selama 10 tahun; Ogos 1969 hingga 197 kerana tuduhan terlibat dengan Parti Komunis Indonesia (PKI).

Novel Bumi Manusia ialah novel siri pertama dari ‘Tetralogi Pulau Buru’ yang terdiri dari empat siri; Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca.

Dalam Bumi Manusia, Minke ialah watak utama yang mengetuai penceritaan novel ini. Minke ialah nama panggilan yang berbau rasis (monkey), diberikan oleh seorang guru Belanda kepadanya. Minke juga adalah anak kepada seorang bupati yang membolehkan dirinya mendapat pendidikan Belanda di H.B.S.

Ayah Minke pula ialah seorang bupati yang terkenal, namun Minke sangat membenci budaya ‘Patriarki’ dan adat Jawa yang ketinggalan zaman. Minke menolak tawaran menjadi pembesar dan ingin mengikut cara hidupnya yang tersendiri. Keadaan ini turut membuatkan ayahnya berang, namun ibunya sentiasa menyokong keputusan Minke.

Minke pada tahun akhir kuliahnya telah berkenalan dengan Annelies Mellema, gadis berdarah campuran Belanda dan Peribumi (Jawa). Kemudian, berkenalan juga dengan Nyai Ontosoroh yang merupakan ibu Annelies. Nyai Ontosoroh asalnya adalah seorang gundik kepada Tuan Mellema (ayah Annelies), pemilik perniagaan besar ‘Boerderij Buitenzorg’.

Dalam beberapa babak penceritaan novel ini, Nyai Ontosoroh bertindak sebagai penyuntik semangat kepada Minke untuk berani dan membela nasib bangsanya

Minke kagum dengan Nyai Ontosoroh, walaupun hanya seorang gundik tapi dia cukup berpendidikan dan bertamadun Eropah sehingga mampu mengelola syarikat Robert Mellema. Dipendekkan cerita, Minke telah jatuh cinta dengan Annelies, begitu juga sebaliknya.

Minke suka menulis secara diam di akhbar dengan nama samaran Max Tonelaar tanpa diketahui oleh sesiapa pun di sekolahnya, H.B.S. Minke mempunyai seorang sahabat iaitu Robert Suurhorf yang akhirnya menjadi musuhnya kerana Minke merampas cinta Annelies daripadanya.

Atas sebab itu, Robert Suurhorf telah bertindak liar dengan mendedahkan Minke di khalayak umum bahawa dialah sebenarnya Max Tonelaar. Minke telah dipanggil oleh pengurusan tertinggi H.B.S, namun tiada hukuman dibuat terhadapnya malah Minke diangkat di sekolahnya kerana satu-satunya pelajar mereka yang berani menulis.

Pada suatu ketika, Annelies telah jatuh sakit kerana terlalu lama tidak bersua dengan Minke. Doktor Martinet muncul sebagai watak yang merawat Annelies dan menyatakan satu-satunya cara untuk menyembuhkannya adalah dengan mempertemukannya dengan Minke. Minke akur dan tinggal di rumah Annelies bersama Nyai Ontosoroh.

Kemuncak penceritaan novel Bumi Manusia ini ialah apabila Minke, Nyai Ontosoroh, Annelies dan Darsam terjumpa mayat Tuan Mellema, iaitu ayah Annelies yang mati kerana penyakit HIV berpunca daripada seorang pelacur Jepun ketika mengejar Si Gendut di rumah pelacuran kaum cina.

Rentetan itu, Nyai Ontosoroh, Minke, Annelies dan Darsam dihadapkan ke Mahkamah Belanda kerana kematian Robert Mellema. Di sinilah suasana rencam berlaku apabila Nyai Ontosoroh dengan lantang mengkritik Mahkamah Belanda yang bersifat berat sebelah dan menindas kaum peribumi. Nyai Ontosoroh bertegas bahawa ‘Boerderij Buitenzorg’ masih sah menjadi miliknya walaupun selepas kematian Tuan Mellema.

Mahkamah Belanda pula menidakkan kerana Nyai Ontosoroh hanyalah gundik Tuan Mellema dan bukannya isterinya yang sah.Berita kelantangan Nyai Ontosoroh tersebar meluas dan Minke menepis segala kritikan ke atas Nyai Ontosoroh dengan menulis di akhbar.

Penutup novel ini ialah babak Annelies yang akhirnya berkahwin dengan Minke selepas beberapa peristiwa rencam terhadap keluarga tersebut. Robert Suurhorf menghadiri majlis perkahwinan mereka dengan menghadiahkan berlian mewah, dan kisah berlian ini bersambung pada siri kedua di novel Semua Anak Bangsa.

Sebenarnya, Bumi Manusia ialah satu pendedahan suasana pada zaman tersebut yang penuh dengan ketidakadilan. Belanda sama sekali tidak punya hak ke atas Peribumi.

Novel ini bukan sekadar hikayat cinta malah satu gambaran tentang ketidakadilan penjajahan Belanda.

Pram berjaya membawa pembaca untuk mengembara bersama Minke untuk melihat situasi masyarakat pada abad tersebut. Dengan lenggok bahasa Pram yang puitis, Bumi Manusia menjadi satu santapan yang manis dan sarat untuk dijamah. Bumi Manusia ialah kisah awal kebangkitan Minke untuk sedar dan menyedarkan bangsanya tentang Belanda!

“..Aku lebih mempercayai ilmu pengetahuan, akal. Setidak-tidaknya padanya ada kepastian-kepastian yang bisa dipegang.”

Bumi Manusia, 1980

Disediakan oleh,

Ilham Yusuf

Bang Muluk dan Khadijah Ibarat Penjual Minyak Wangi dan Seorang Tukang Besi

Kisah Sedih Di Sebalik Tafsir al-Azhar