Sejak kebelakangan ini, pelbagai amalan pelik yang disandarkan kepada agama muncul dan menjadi tular di media sosial. Amalan-amalan pelik yang tiada asasnya dalam mana-mana nas ini dibawa oleh segolongan manusia yang didakwa sebagai orang agama oleh orang awam. Malangnya, mereka yang dikatakan sebagai orang agama ini mempunyai ramai pengikut yang kuat mempertahankan amalan-amalan tersebut. Jika tiada langsung usaha untuk membanteras fenomena ini, ajaran Islam akan tercemar dek bercampurnya amalan yang menyeleweng dengan ajaran yang sebenar.

Kita harus mengakui bahawa dengan kuasa tular media sosial, kita lebih mudah terdedah dengan banyak perkara yang masih belum jelas hukum-hakamnya. Contohnya, polemik mengenai boleh atau tidak kita meraikan perayaan Bon Odori. Tanpa ilmu yang benar, kita mungkin akan mudah tergelincir menghukum boleh atau tidak sesuatu perkara itu hanya berdasarkan rupa zahir atau nafsu semata-mata. Lebih malang jika kita beranggapan yang sesuatu perkara itu dibolehkan hanya kerana manusia lain melakukannya atau ia telah menjadi amalan turun-temurun.

Baru-baru ini, telah berlangsung Perkampungan Sunnah Siri ke-7 di Masjid Alwi, Kangar. Program selama tiga hari dan tiga malam yang padat dengan forum dan kuliah oleh asatizah dari seluruh negara itu telah menaikkan tema Bangkit Membela Sunnah. Pelbagai tajuk yang berkaitan dengan tema tahun ini telah dikupas dengan baik dan banyak ilmu bermanfaat diperoleh sepanjang tempoh program berlangsung.

Islam adalah agama fitrah. Sifat semula jadi manusia itu sendiri akan cenderung terhadap Islam. Sunnah ialah ajaran Islam yang sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ajaran Islam sememangnya sesuai dengan fitrah selagi fitrah manusia tidak rosak. Oleh itu, penting untuk kita agar tidak meletakkan diri dalam persekitaran yang boleh merosakkan fitrah kita. Islam merangkumi pelbagai aspek dan isu yang berkaitan dengan akidah, ibadah, syariat, dan akhlak. Sunnah bukan hanya merujuk kepada hadis semata-mata. Yang dikatakan sebagai hadis ialah apa yang Nabi Muhammad SAW sebut, lakukan, dan lafazkan. Ia juga merangkumi sifat, sama ada jasmani atau keperibadian, yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW, serta sirah baginda sebelum dan setelah baginda diutus menjadi rasul. Dalam bab sunnah, tiada cara lain melainkan kita mengikut Nabi Muhammad SAW dan manhaj salaf. Yang dikatakan sebagai manhaj salaf itu ialah jalan yang ditempuh oleh sahabat, tabiin, dan tabi tabiin. 

Nabi Muhammad SAW bersabda: Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka. – Riwayat al-Bukhari (3651).

Text

Description automatically generated

Isu berkaitan sunnah dan bidaah adalah perkara asas dan kekal relevan untuk dibincangkan. Hal ini kerana, usaha mencemarkan Islam akan sentiasa wujud sehingga kiamat. Terdapat pelbagai definisi bidaah yang dikemukakan oleh ulama yang mana perbezaan definisi tersebut akan menatijahkan sama ada bidaah tersebut akan dikira sesat atau tidak. Namun, dalam soal ibadah dan syariat Islam yang telah pun sempurna, maka tidak akan sama sekali berlaku pengurangan atau penambahan lagi. Dalam konteks perbincangan ini, bidaah yang dimaksudkan adalah ciptaan baru dalam Islam yang dikaitkan dengan ibadah dan syariat. Bidaah sebegini yang dikira sesat oleh Nabi Muhammad SAW sendiri dan setiap amalan yang sesat tidak akan sama sekali diterima oleh Allah.

Golongan yang suka dengan amalan bidaah itu punya fitrah yang rosak. Namun, harus diingatkan juga untuk tidak mudah-mudah menghukum seseorang yang melakukan amalan bidaah sebagai ahli bidaah. Mungkin punya keuzuran seperti kejahilan, katakan sahaja yang seseorang itu tetap ahli sunnah yang masih ada padanya amalan bidaah yang masih belum ditinggalkan. Dan yang lebih penting ialah untuk menilai diri sendiri dahulu sebelum melihat manusia lain.

Manusia yang responsif, iaitu yang menyahut seruan dakwah Nabi Muhammad SAW, itulah yang terselamat daripada azab api neraka. Daripada Abdullah Ibn ‘Amr, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Dan akan berpecah umatku kepada 73 kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka?”. Nabi Muhammad SAW menjawab, “Apa yang aku berada di atasnya dan juga sahabat-sahabatku”. – Riwayat al-Tirmizi (2641).

Membela sunnah bukanlah bererti pembelaan terhadap hadis Nabi Muhammad SAW semata-mata. Membela sunnah turut bererti pembelaan setiap perkara yang berkaitan dengan diri baginda. Menjadi tanggungjawab kita juga untuk menjawab salah faham berkaitan Nabi Muhammad SAW dan menepis tohmahan yang dilemparkan ke atas baginda.

Ramai sahabat, tabiin, tabi tabiin, dan ulama yang dikenali terdiri daripada kaum lelaki. Wanita juga sebenarnya tidak terkecuali dalam peranan dalam membela sunnah. Walaupun sekadar yang diketahui, tiada perbincangan khusus tentang topik wanita membela sunnah, ia tidak menafikan usaha yang pernah dan sedang dilakukan oleh wanita dalam hal ini. Salah seorang wanita yang paling dekat dengan Nabi Muhammad SAW ialah isteri baginda iaitu Khadijah Binti Khuwailid. 

Khadijah dikenali sebagai seorang wanita yang mempunyai keperibadian mulia dan juga seorang usahawan yang berjaya. Peranan yang dimainkan oleh Khadijah menyerlah apabila Nabi Muhammad SAW didatangi oleh Jibril di Gua Hira’ dan menerima wahyu pertama iaitu ayat 1 hingga 5, Surah Al-Alaq. Nabi Muhammad SAW berasa amat takut setelah melalui peristiwa tersebut. Nabi SAW takut dengan tuntutan wahyu yang baginda perlu laksanakan. Hal ini diberitahu kepada Khadijah. Jawapan Khadijah menenangkan hati baginda.

“Jangan begitu, Allah sesekali tidak akan mengecewakan kau. Sesungguhnya kau menyambungkan hubungan kekeluargaan, bercakap benar, membantu anak yatim, memuliakan tetamu, dan membantu orang yang benar”.

Nabi Muhammad SAW mengiktiraf usaha dan sumbangan Khadijah dalam dakwah baginda. Setelah Khadijah wafat, Nabi Muhammad SAW masih teringat dan memuji Khadijah sehingga menimbulkan rasa cemburu kepada ‘Aisyah.

Usaha ‘Aisyah sendiri terlalu banyak dalam membela sunnah Nabi Muhammad SAW dan ia terserlah dalam peranannya meriwayatkan hadis baginda. ‘Aisyah telah meriwayatkan sebanyak 2210 hadis dan beliau merupakan satu-satunya wanita dalam golongan sahabat yang paling banyak (melebihi 1000 hadis) meriwayatkan hadis. Kedudukan ‘Aisyah adalah selepas Abu Hurairah, Abdullah Ibn Umar, dan Anas Ibn Malik.

Dalam rekod, terdapat lebih kurang 8000 perawi wanita, termasuklah anak perempuan Imam Malik sendiri. Beliau membetulkan bacaan hadis sesiapa yang datang ke rumahnya dari sebalik pintu. Menariknya juga, tiada seorang pun wanita dalam rekod tersebut yang dikategorikan sebagai pendusta atau pereka hadis palsu. Ini menunjukkan yang peranan wanita lebih kepada memastikan hadis yang disampaikan adalah tepat dan bebas dari elemen-elemen yang mencemarkan hadis seperti hadis palsu. Maka, apabila ada serangan terhadap kredibiliti ‘Aisyah sebagai perawi hadis, ia merupakan satu ancaman kepada ilmu hadis itu sendiri.

Peranan Ummu Sulaim, iaitu ibu kepada Anas Ibn Malik, juga tidak dapat disangkal lagi. Berkat keputusan beliau untuk menyerahkan anaknya untuk berkhidmat kepada Nabi Muhammad SAW, Anas Ibn Malik menjadi antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis iaitu sebanyak 2286. Beliau juga seorang yang amat teliti ketika meriwayatkan mana-mana hadis yang beliau perolehi. Ini menunjukkan peranan wanita sebagai ibu dapat membentuk kecenderungan dan kewibawaan seorang anak untuk mempertahankan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Apakah mesej yang boleh dibawa pulang setelah tiga hari dan tiga malam berkampung di Masjid Alwi?

Segala-galanya bermula dari rumah dan di situlah ibu bapa memainkan peranan penting dalam kehidupan anak-anak. Ibu bapa menunjukkan teladan kepada anak-anak dengan mereka sendiri yang mula-mula melakukan amalan yang bertepatan dengan sunnah. Anak-anak boleh dibiasakan dengan diceritakan kepada mereka yang amalan tersebut dilakukan kerana Nabi Muhammad SAW sendiri melakukannya. Kita juga haruslah membiasakan diri dengan majlis ilmu yang memberi pendedahan tentang ilmu agama mengikut kesesuaian dan kemampuan kita memahaminya.

Dalam Surah Fussilat, ayat ke-30, Allah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Dua perkara yang menjadi syarat untuk dijanjikan syurga dalam ayat tersebut iaitu mempunyai akidah yang mantap dengan mengakui bahawa Allah ialah Tuhan yang Maha Esa dan konsisten. 

Konsisten atau istiqamah didefinisikan oleh sebahagian ulama sebagai mencontohi sunnah Nabi Muhammad SAW dengan mengikuti jalan hidup baginda sambil menghias diri dengan akhlak yang luhur dan mulia. Istiqamah juga diibaratkan sebagai gunung yang mana sentiasa teguh walau dipukul ribut atau ditimpa hujan dan panas. Ini bererti, menjadi manusia yang istiqamah menuntut kita untuk tidak peduli dengan apa yang berlaku ke atas diri kita selagi mana jalan hidup yang kita pilih itu menepati sunnah Nabi Muhammad SAW. Tidak perlu sesekali kita berasa gentar jika kita punya hujah daripada Al-Quran dan sunnah.

Dalam Surah An-Nur, ayat ke-51, Allah berfirman: Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu antara mereka, hanyalah mereka berkata, “Kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.

Dengar dan taat itu ialah sikap kita apabila berhadapan dengan suruhan dan larangan yang datang daripada Allah dan Nabi Muhammad SAW. Namun, sikap kita terhadap apa-apa yang dibawa oleh mana-mana manusia lain, sekali pun yang didakwa sebagai orang agama, perlulah mengguna pakai kaedah dengar, semak, dan buat pilihan. Bukan lagi dengar dan taat.

Ingatlah seperti mana yang Nabi Muhammad SAW bersabda: Maka ke atas kalian sunnahku dan sunnah para Khulafa al-Rasyidin yang mendapat petunjuk, dan gigitlah ia dengan gigi geraham. – Riwayat Imam Ahmad (17144), Ibn Majah (42), Abu Daud (4607) dan al-Tirmizi (266).

Moga bermanfaat catatan ini buat diri yang menulis dan kalian yang membaca.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.