in ,

Bagaimana untuk Menilai Baik Buruk Seseorang Sebelum Memilihnya Menjadi Pasangan Hidup?

Saya teringat beberapa tahun lepas sewaktu dalam fasa mencari pasangan. Ketika itu saya menaiki penerbangan ke ibu negara kerana mempunyai janji temu dengan seorang wanita yang baru dikenali. Wanita itu sudi berjumpa dan ingin bersua muka dengan saya di satu kawasan awam. Perkenalan awal kami bermula di talian internet dan masing-masing memang berhasrat mencari pasangan hidup.

Apabila bertemu dengan beliau, seorang lagi perempuan turut bersamanya. Rupanya itu ialah rakannya yang hanya ingin menemani beliau dalam pertemuan kami. Jujurnya saya agak canggung dan segan. Iyalah, sebagai introvert yang kurang mempunyai tenaga sosial, perasaan janggal lebih kuat apabila terdapat beberapa elemen digabungkan. Perempuan (lain jantina), orang yang tak berapa dikenali, lebih daripada seorang, dan perbualan ke arah perkahwinan.

Namun, saya cuba untuk bersahaja kerana niatnya untuk berkenalan demi mendirikan rumah tangga. Jadi, tak perlu untuk terlalu malu. Secara rumusannya, perbualan kami tidak ubah seperti temu duga santai. Mereka lebih banyak bertanyakan soalan berbanding saya. Hal itu tidak mengapa bagi saya kerana mungkin beliau mempunyai beberapa kerisauan dan kegusaran dalam hati. Manakala bagi saya tidaklah banyak persoalan melainkan hal berkaitan pengurusan kewangan.

Hendak dijadikan cerita, beliau memilih untuk tidak meneruskan perkenalan lanjut. Mungkin kerana sebelum itu saya memberitahu tentang status diri yang telah dimufliskan oleh mahkamah. Berbeza dengan isteri saya sekarang yang tidak risau berkenaan hal ini kerana itu cumalah satu label kewangan berpunca dari bermacam faktor. Begitulah secebis dari pengalaman sebelum berkahwin.

Benarlah kata pepatah orang tua, tak kenal maka tak cinta. Berdasarkan apa yang saya alami sepanjang mengenali wanita tersebut, beliau kurang berinteraksi sepanjang kami berhubung. Cuba berbaik sangka, pada saya mungkin beliau mahu mengelakkan daripada terbagi harapan dan mengurangkan kemesraan selagi tiada pertalian yang sah. Jadi, sebab itulah tiadanya timbul bibit-bibit perasaan. Itu tidak salah kerana ada orang yang begitu mementingkan calon yang benar-benar mempunyai ciri-ciri yang mereka tentukan. Begitu juga ada orang yang tidak berapa kisah asalkan telah dilakukan penilaian umum dan berpuas hati. Itulah manusia, tidak semuanya serupa.

فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidaklah bererti yang tidak berapa kisah itu mengabaikan apa yang telah diberikan panduan oleh agama kita, tetapi usah terlalu memilih sehingga merumitkan perasaan. Sama ada lelaki dan wanita, keduanya berperanan sama rata dalam pemilihan pasangan walaupun secara literal hadis di atas menyebut pilihlah perempuan.

‏ إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Jika kamu suka akan agama dan akhlak seorang lelaki yang meminangmu maka nikahilah dia. Jika tidak, akan menjadi fitnah di dunia dan kerosakan besar.”

(Riwayat Tirmizi)

Berdasarkan kedua nas di atas, yang menjadi persoalan ialah bagaimana hendak menentukan baik buruk seseorang. Kerana yang menjadi penilai utama ialah diri kita sendiri. Boleh untuk kita meminta pendapat daripada orang yang dipercayai seperti ahli keluarga, sahabat rapat dan mereka yang berautoriti, tetapi pada akhirnya yang membuat keputusan ialah benak hati sendiri. Oleh itu, untuk mendapatkan pasangan yang baik agamanya perlulah kita sendiri juga cenderung kepada hal kebaikan.

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama.”

(Riwayat Muslim)

Jodoh ialah salah satu ketentuan Allah yang menjadi rahsia alam sama seperti roh, alam ghaib, rezeki, ajal maut, dan peristiwa-peristiwa akan datang. Fitrah manusia diciptakan cenderung hendak berpasangan dan menjadi keharusan kepada kita berusaha memilih jodoh yang baik untuk dijadikan teman hidup. Saya pernah menonton satu animasi terbitan Pixar yang bertajuk Soul (2020). Animasi itu mengisahkan watak Joe dan 22 yang masing-masing ialah roh berkenalan dalam alam ghaib sebelum dilahirkan ke dunia. Hal ini mengingatkan saya kepada satu hadis berkenaan roh yang saling berkenal dan bermusuh.

اَلْأَرْواَحُ جُنُودٌ مُجنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ منْهاَ ائْتَلَفَ ومَا تَناَكَرَتْ منها اخْتَلَفَ

Roh-roh adalah seperti tentera yang tersusun. Apabila mereka saling mengenali mereka akan bersatu. Apabila mereka saling memungkari mereka akan bercanggah (antara satu sama lain).

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitulah cinta, hanya hati dan perasaan di dalam jiwa yang meronta ingin bersama. Dan jika tersakiti, peritnya tidak terkata sehingga meninggalkan bekas luka yang dalam.

Disediakan oleh: Muhammad Baha’uddin Hamizan

Leave a Reply

Loading…

Agama yang Mempercayai Konsep Roh Berpindah dan Kelahiran Semula

Gigitlah Sunnah dengan Gigi Geraham