in

Golongan Lemah di Dunia yang Dijamin Syurga oleh Allah

OKU merupakan singkatan daripada perkataan “Orang Kurang Upaya” atau juga disebutkan sebagai “Kelainan Upaya”. Menurut  World Health Organisation (WHO), OKU dimaksud sebagai “Kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat adalah mereka yang pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental dari melakukan aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan vokasional”. 

Kecacatan yang dikategorikan sebagai OKU terbahagi kepada tujuh iaitu kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya bertutur, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai.

Golongan OKU merupakan sebuah komuniti marginal yang telah menjadi salah satu daripada entiti dalam sesebuah masyarakat. Tanpa kita sedari, golongan OKU sering menjadi bahan persendaan oleh sebahagian kecil masyarakat yang kurang kesedaran dan tidak bermoral. Islam sangat melarang kita bersikap nempersendakan mana-mana orang sekalipun dirinya bukan dikalangan OKU. Dalam firman Allah SWT menerusi surah al Hujurat ayat 11, yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka, dan jangan pula ada golongan perempuan yang mempermain-mainkan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”

Islam datang dengan membawa rahmat buat sekalian insan. Dengan sifat kerahmatan tersebut, Islam tidak pernah meminggirkan apatah lagi menyisihkan golongan OKU. Allah SWT menerusi firman Nya, dalam surah al Fath ayat 17 yang bermaksud :

“Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul Nya, akan dimasukkan Nya ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai ; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksa Nya dengan azab yang tidak terperi sakitnya”

Dalam Tafsir al Qurtubi, Ibn Abbas RA berkata turunnya ayat diatas apabila ayat sebelumnya menceritakan tentang azab yang pedih bagi mereka yang tidak turut sama dalam berjuang menentang musyrikin lantas bertanyakan golongan-golongan kurang upaya dikalangan mereka seperti buta, tempang kakinya dan yang sakit kepada Rasulullah SAW akan perihal keadaan mereka yang uzur itu untuk turut sama berjuang. Lantaran daripada soalan tersebut, maka turunlah ayat diatas dengan memberikan keringanan buat golongan yang kurang upaya ini.

Betul ke OKU boleh dapat dapat layanan lain daripada segi undang-undang? |  SOSCILI

Meskipun golongan OKU dilihat mempunyai kelainan atau kurang upaya, namun Islam tidak pernah memisah-misahkan mereka dengan manusia yang lain. Perkara ini sepertimana yang dapat kita perhatikan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al Isra’ ayat 70, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan Kami angkat mereka di daratan dan di lautan dan Kami berikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka diatas kebanyakkan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan sempurna”

Berdasarkan mafhum ayat ini, Allah Azza Wa Jalla telah memuliakan manusia dan Allah memberikan kelebihan kepada manusia berbanding makhluk Allah yang lain. Kita dapat lihat bahawa kemuliaan oleh Allah kepada seluruh manusia yang merupakan anak cucu Adam tanpa membeza-bezakan keupayaan tiap-tiap diri manusia. Allah telah memuliakan manusia tanpa memisah-misahkan antara yang sempurna upaya dengan yang kurang upaya.

Selain itu, Allah SWT telah merakamkan kisah Abdullah bin Ummi Maktum, seorang sahabat Nabi SAW yang buta penglihatan. Dalam surah ‘Abasa ayat 1-10, firman Allah SWT yang bermaksud :

” Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling. (1) Kerana seorang buta (Abdullah bin Ummi Maktum) telah datang kepadanya. (2) Dan tahukah engkau (Muhammad), barangkali dia ingin menyucikan dirinya (daripada dosa). (3) Atau dia ingin mendapatkan pengajaran, yang memberi manfaat kepadanya ? (4) Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup (pembesar-pembesar Quraisy) (5) Maka engkau (Muhammad) memberi perhatian kepadanya (6) Padahal tidak salah keatasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman). (7) Adapun orang yang datang kepadamu dengan segera (untuk mendapatkan pengajaran) (8) Dengan perasaan takut (kepada Allah) (9) Engkau (Muhammad) mengabaikannya (10) “

Ayat ini merakamkan suatu ketika dimana baginda Nabi SAW sedang berdakwah di hadapan pembesar-pembesar suku Quraisy, Nabi SAW berharap dan bersungguh-sungguh agar mereka memasuki Islam. Dan tatkala itu, tiba-tiba datanglah Abdullah bin Ummi Makhtum, seorang sahabat Nabi yang buta, yang telah beriman kepada Allah, ingin bertanya sesuatu kepada baginda Nabi SAW. Kedatangan beliau telah membuat baginda tidak selesa lalu baginda memalingkan wajah daripadanya. Keadaan itu telah menjadi sebab turunnya ayat ini sebagai teguran kepada baginda Nabi sekaligus menjadi pelajaran dan peringatan untuk kita bersama.

Sebagai seorang muslim yang mengakui beriman kepada Allah dan Rasul Nya, kita seharusnya bersikap adil dalam menyantuni manusia. Tanpa mengira apa keturunan, darjat dan kedudukan, disisi Allah semua manusia itu adalah sama sahaja. Cuma, yang membezakan kita adalah nilai ketakwaan kepada Nya. Hal ini disebutkan dalam firman Nya menerusi surah al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

“Sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti”

Dalam sebuah hadith sahih riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya kalian ditolong (dimenangkan) dan diberi rezeki disebabkan orang-orang yang lemah di antara kalian – disebabkan doa, solat dan keikhlasan mereka”

Project DON: M'sian Talent Agency Focusing On The Disabled

Tanpa kita sedar, sebahagian mereka yang kurang upaya adalah mereka yang dijamin syurga kerana mereka lahir dalam keadaan akal yang tidak sempurna, dimana hal itu menyebabkan mereka dikecualikan daripada segala taklif sebagai muslim. Disebabkan itu, mereka tidak berdosa dan kembali kepada Allah dalam keadaan bersih dan suci. Maka, tidak pernah ada istilah sia-sia dan rugi sekiranya kita berbuat baik kepada golongan syurga ini.

Golongan OKU yang dilihat lemah dan tidak berupaya kadangkala menjadi punca dan sebab kita dimurahkan rezeki, dipermudahkan urusan dan dimasukkan ke syurga. Barangkali kerana kita menyantuni mereka, mereka mendoakan kita, pasti Allah mendengar doa mereka yang istimewa ini. Oleh sebab itu, jangan pernah ada rasa sombong diri, kerana yang lemah itu akan menjadi titian kita menuju ke syurga dengan berbuat ihsan terhadap mereka. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita.

Disediakan oleh: Faidhi Azis


Hantar karya anda di emel [email protected]

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Kehidupan yang Saling Berubah-ubah

HAMKA Kata Budi Itu…