in

Cerpen: Tentang Sampul Itu

Mentari sudah menyingsing dari sela lembah, cahayanya pun menyembur luas menyeka separa bumi. Sekonyong-konyong cahaya itu menyimbah wajah Baqir, pemuda yang baru 23 tahun usianya itu. Tersentak dia dari lenanya yang sepotong. Cuma dua jam, dua jam saja sempat meleraikan jasad dengan dunia, tirai besi yang mengasyikkan ini. Sudah berapa helaian malam silih berganti, dua jam itu sudah cukup barangkali untuk dia mendapatkan kembali tenaganya yang sudah memudar, atau barangkali tidak.

“Kolam matamu hitam, nak. Tidak tidurkah?”, getus mak, sambil mengelus wajah Baqir. “Ah! sudah kasar rupanya tanganmu itu mak. Betapa usia sudah menghakismu tanpa sedarku, mak!”, bisik hati Baqir. Dia masih tidak menjawab pertanyaan maknya, dua jam itu sudah cukup, sudah cukup untuk mengais hidup hari ini! Sebentar dia menoleh ke meja tua berlaci yang suku batang kakinya itu sudah dijilat anai-anai, lalu fikirannya melayang lagi. Melayang kemudian… “Nak. Ini bekalmu, di luar itu sudah ibu siapkan 50 bungkus nasi kuning untuk hari ini”. Layangan fikirnya disentak suara maknya, sambil mengangguk dia berdiri, mencium dahi maknya dan meminta izin pergi. Baqir menolak basikalnya lalu perlahan lenyap dari pemandangan.

Baqir, anak muda yang berjiwa kental. Selepas kematian ayah tercinta tiga tahun lepas, dialah yang menyara keluarganya dengan berniaga nasi kuning maknya di pasar. Kadang-kadang dia juga mengambil upah menjadi kuli di pelabuhan, tidak jauh dari rumahnya. Dia tidak banyak berhubungan dengan teman sebaya kerana kesibukan dirinya sebagai anak pertama, anak harapan utama keluarga, yang dibahu kiri dan kanannya berpaut tanggungjawabnya terhadap mak dan adik-beradiknya. Beberapa puluh minit kemudian, dia sudah sampai di pasar. Seperti biasa dia membentang kain dan meletakkan nasi kuning itu di atasnya. Dia duduk, lalu terbayang lagi meja berlaci usangnya itu di rumah. “Perlukah aku khabarkan mak? Perlukah? tentang sampul itu…”

“Baqir! Baqir! Baqir!”, tiga kali namanya dijerit keras oleh seseorang. Ah! Mimi, anak gadis pengurus sebuah syarikat perkapalan terkenal di kampungnya itu. Baqir pura-pura tidak mendengar, ingin saja dia membungkus semula nasi kuningnya itu dan pulang, namun jualannya itu masih tampan, tidak terusik lagi. “Eh Baqir, kau mendengar aku memanggilmu bukan? bagaimana keputusanmu?”. Tanya Mimi yang sudah sampai di depan matanya. “Keputusan apa, Mimi? Bukankah sudah ku bilang, jangan kau menghampiriku lagi, ah! ayahmu itu sudah melarangmu bukan? Kita tidak sekufu, kau itu anak orang-orang besar. Aku ini si tukang jualan nasi kuning sahaja, tidak layak berkawan, bahkan tidak layak bertatap mata langsung denganmu, langit-bumi Mimi”. Balas Baqir dengan nada mengelak. “Terserah aku Baqir, Demokrasi! kau berhak menyalak, aku pun berhak menolak. Demokrasi!” Mimi melawan, Baqir menggeleng. “Terima kasih tuan, saya jual..” Baqir mengirim ucapan buat pelanggan pertamanya hari ini.

“Mimi! kau itu orang berpengaruh, orang berada, orang yang berkuasa, orang yang dipinjamkan sedikit kuasa Tuhan…orang yang.. senangnya mendapat sesuatu dengan hanya menghayunkan sang telunjukmu! Jauh sekali denganku ini! Pulanglah Mimi”. Baqir kembali membalasnya. “Yang punya wang itu ayahku, yang berkuasa itu ayahku, yang punya telunjuk itu ayahku, bukan aku! Sudahlah Baqir, bagaimana keputusanmu? tentang sampul itu?”, ucapan dan pertanyaan ringkas Mimi itu mengubah suasana. Awan yang tadinya memberi teduhan redup di pasar, sudah berpecah dari sekawanannya. 

Bahang mentari datang mengambang di tengah suasana. Sudah tegak rupanya mentari itu di ufuk sana. “Aku belum khabarkan pada mak. Aku masih buntu”. Baqir membalas ringkas. “Kau sahutlah seruan itu, inilah peluangmu mengubah nasib keluarga. Atas nama pendidikan! Pergilah mencorak perubahan!” Mimi memujuk. Ya, sebenarnya sampul di laci meja tua itu adalah berisi surat jemputan melanjutkan pengajian di luar negara, ke Belanda! Betapa runsing Baqir dibuatnya, hatinya bersifat separuh-separuh. Melanjutkan, lalu bakal bergelar seorang jurutera. Atau melanjutkan, lalu terpaksa meninggalkan keluarganya yang sedang sarat.

Separuh hatinya kadang-kadang memberontak; pendidikan memang senjata yang ampuh untuk mencorak perubahan. Namun pendidikan juga boleh menjadi senjata pemusnah yang merosak segalanya, pendidikan yang masih mendoktrin manusia untuk menyembah gred dan angka, sehingga melalaikan manusia dengan tanggungjawab terhadap lingkungannya. Pendidikan itu perlu humanistik! “Baqir! Pergilah. Belanja pengajianmu aku tanggung! pergilah”. Mimi menyampuk lamunannya. Ah! Mimi memang anak gadis yang mulia. Semasa zaman sekolah dulu, Mimi lah yang banyak menghulur. Kalaulah tidak kerana ayahmu yang tidak bersetuju, sudah pasti Mimi sudah sebahagian dari keluarga kecilku. “Nantilah Mimi, nanti aku sampaikan padamu semula tentang keputusanku. Nanti Mimi. Cuma untuk sekarang ini, patuhlah dengan ayahmu dulu. Jangan berjumpa denganku selalu. Biarlah khutbah-khutbah sang masa yang merungkai semuanya, semoga izin-Nya menyebelahi kita”. Baqir melucurkan kata dengan tenang, Mimi mengangguk, kemudian pergi.

*****

 

Senja mula merapat, Baqir menolak basikalnya sambil mengunyah suasana. “Terima kasih senja kerana setia menghias langit, walau hanya sekejap”. Bisiknya. Kemudian sampailah dia di rumah dan langsung meneruskan kegiatan rutinnya. Malam menjelma, perlahan pintu biliknya diketuk mak. Tiba-tiba.. mak berkata,“Baqir, pergilah. Mak sudah tahu semuanya nak. Pergilah. Capailah cita-citamu itu”. Baqir tersentak. Sejak bila ibunya tahu? sepantas kilat ia menoleh ke arah laci mejanya itu. “Ah! Tidak berkunci!”, Keluh Baqir. Maknya menyambung lagi,“Pergilah nak. Jangan kau fikirkan sangat makmu dan adik-adikmu di sini, makmu masih mampu menolak basikalmu itu ke pasar melanjutkan jualan nasi kuning itu. Adik-adikmu juga boleh temankan makmu di sana”. 

Air mata Baqir semulajadi tumpah dari kolam matanya yang masih hitam itu, ya mungkin disebabkan ‘dua jam’ semalam itu. Segera dia memeluk maknya, mencium dahinya seperti selalu. Lalu membisik,“Mak-ku, mak-ku cuma ada satu. Di hadapan-ku ini ialah yang satu-satunya. Mak-ku, biarlah aku berbakti buatmu dulu, mak. Pendidikan itu tidak pernah mati, pendidikan itu berterusan. Biarlah aku berbakti buatmu dulu, mak. Mak-ku, barangkali kau buta huruf tapi sungguh dirimu itu tidak pernah buta kasih sayang. Mak-ku, barangkali kau tidak bersekolah, tapi sungguh dirimu itu ialah madrasahku. Tempat pertama aku mengenal ilmu, ilmu kasih sayangmu”.

Baqir mencium lagi dahi maknya, air mata meluncur laju membasahi kedua wajah Baqir dan maknya. Keputusan Baqir untuk tetap dengan maknya itu sudah maktub. “Demokrasi, Demokrasi, Demokrasi, kita berhak memilih, bersuara dan menentukan!” Laung Baqir jauh dari dalam jasadnya. Tiba-tiba dia teringat akan Mimi. “Ah! Terima kasih Mimi sebab mengingatkan aku dengan kata demokrasi-mu itu; Kau berhak menyalak! aku juga berhak menolak!” Puji Baqir. Malam sudah pekat, sebentar lagi langit akan menjadi pucat. Sudahlah, ayuh kembali ke pelukan malam. Ayuh..

 

– Tamat –

Disediakan oleh,

 Ilham bin Yusuf

 

 

 


Hantar karya anda di emel [email protected]

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave a Reply

Loading…

Feeling Not Motivated To Pray?

Cerita Hari Kebangkitan Yang Ramai Tidak Tahu