in

Cerpen: Cerita di Pinggir Senja

School drop-in center

“Penderitaan pun, ada batasnya!”,

Tiba-tiba Karman membuka cerita. Sambil mengetap bibirnya, dia menyambung,

“Kata orang Bal, kita boleh mencintai negeri ini, tapi belum tentu pada pemerintahnya!”.

Aku masih tidak menangkap, masih samar dan belum sempat aku bertanyakan kenapa, disambungnya lagi, “Aneh negeri kita ini; yang memerintah pun bangsa kita sendiri, tapi barang sedikit perasaan malu langsung tidak ada mengalir dalam pembuluh darah mereka. Bukankah kita berdarah timur, Bal? Yang dikenal orang dengan kesantunan dan sifat malunya, atau dengan budi dibalas budinya?”.

Aku diam, kemudian aku mengiakan, “Ya, memang aneh…” Jujurnya, aku masih belum memahami inti cerita yang cuba Karman sampaikan. 

Sesekali, seangkatan angin memukul tubuhku, kadang-kadang ia bergurau senda dengan deretan bakau yang merumputi muara Beluran. Ya, Beluran, sebuah pekan kecil yang terletak 88 kilometer dari Sandakan ini terlihat cukup indah secara geografinya. Pekan permata, betul-betul tumbuh di tengah perseteruan Labuk dan Sugut. Di sini, aku dan Karman lahir. Leluhur kami membina tanah ini dengan bangganya.

Karman, menurutku seorang yang idealis! Juga sedikit keras, barangkali. Dia tidak menyambung kuliahnya, walaupun selayaknya-layak. Pernah aku tanyakan mengapa, dengan sederhana-nya ia menjawab, “Aku lebih suka berguru dengan pengalamanku, dengan lingkunganku, Bal. Mungkin Ivan Illich, dia yang mengajarku menjadi sebegini.” 

Aku menambah, “Aneh kau, Illich? dia menulis pada zamannya tahun 1970 itu, dan zaman itu sudah terkubur lama. Masa sudah berlari dengan sangat laju. Sekarang sudah beza, paling tidak kau harus habiskan kuliahmu demi keluarga…maaf, Man, aku tidak bermaksud..”

“Aku faham, kau tidak maksudkannya. Lupakan, jatah nasib kita tidak sama. Illich? Paling tidak menyebelahi orang semacam aku, ‘Deschooling Society’ itu. Ya!” Karman membalas. Kasihan, Karman, aku tidak melawan. Kasihan, sejak dini sudah yatim piatu. Aku tidak melawan! Aku!

***

“Malu aku pada orang yang tidak malu itu! Sungguh! Berapa lama cuti semester mu Bal?” Karman bertanya. “Paling kurang 3 bulan, Man.” Dengan ringkas aku menjawab. “Kau tahu Bal? Walaupun aku tidak melanjutkan kuliahku, tapi aku tidak buta pada pendidikan negeriku, Bal. Sepatutnya kau lebih tahu tentang ini. Aku malu Bal, pemerintah melaung-laungkan kata pendidikan tanpa sempadan.

Katanya pendidikan perlu menerobos angkasa, perlu terbang lebih tinggi. Tapi 49 peratus, atau barangkali lebih lagi, capaian jaringan internet masih tidak bernyawa di negeri ini, Bal.

Anak-anak pelajar, ada yang terpaksa mendaki bukit atau merakit sampan ke seberang daerah untuk menikmati secubit jaringan. Parah! Paling ringan tidak siap tugasan, di maki hamun! Ah! Paling tidak, kau sudah tahu itu, pendidikan abad-21? mimpi!” Kata Karman buas, sambil melibas-libas kerusi panjang itu. 

Sudah bersih, dia duduk. Aku memegang bahunya, “Man, kau terlalu banyak mengeluh, bilang-bilang apa yang sudah kau buat untuk negerimu?”. Karman berdiri lalu dengan tajam menghunus aku dengan kata-katanya, “Itulah! Itu kata paling selamat untuk orang di atas itu melindungi dirinya dari kesalahan, dengan cara menundingkan semula persoalan sebegitu rupa kepada yang lemah! Bukan?”. Aku diam! Aku!

Ya, aku memang kagum dengan sahabatku, Karman. Sekilas pandang, aku lihat Ivan Illich dalam dirinya. Dua kali, aku melihat Jurgen Habermas yang berapi-api dalam dirinya;

Pendidikan ialah yang menyedarkan masyarakat terhadap realiti!

“Kau memang seorang yang humanis, Solehin Karman bin Mahmud!” Aku memuji. Karman membalas, “Manis, simpan kata-kata mu. Terlalu ramai orang yang berbicara tentang humanistik, tentang kemanusiaan, padahal tidak ada ‘manusia’ dalam dirinya sendiri. Kosong. Aku cukup tersinggung. Cukup!” 

Aku keluarkan sebotol air, lalu meneguk airnya hingga separuh. Separuh, dan ku-hulurkan kepada Karman. Dia menggeleng, mengisyaratkan tidak minatnya. Perlahan aku menutup botol tersebut dan menambah,

“Mungkin, kita berbeza sudut pandang, Man. Asalkan kau tahu, tidak ada sistem rangkaan manusia itu sempurna. Tidak! Justeru itu, kita disarankan keluar, untuk mengubah mana yang tidak beres, kita anak muda harus mengubahnya Man. Kau terlalu keras, sehingga perhatianmu justeru berputar-putar dalam ‘penderitaan’ itu saja.” 

Karman mengangguk perlahan. Kemudian,

“Kau barangkali betul. Aku terlalu keras, dan demikianlah aku. Kau lihat pondok kecil itu Bal? Di sanalah aku bekerja setiap petang. Paginya, aku akan ke laut mengais rezeki. Petangnya, aku duduk bersama 17 orang anak-anak buta huruf yang tidak bernasib baik untuk bersekolah. Tidak layak! Justeru itu aku melihat peranan diriku terhadap mereka.

Aku perkenalkan mereka dengan huruf, angka dan ilmu-ilmu seorang manusia sejati. Ya, mereka buta huruf tapi tidak buta dunia, Bal. Besok-besok, 17 orang ini akan bekerja di luar sana, walaupun sebagai kuli, asalkan tidak menjadi pengemis, atau sejahat-jahat penjenayah. 

Buat yang halal, itulah peranan pendidikan, Bal. Membebaskan mereka daripada cengkaman kejahilan. Kalau tidak kerana ilmu, mereka hanya akan mengenal kata ‘amuk’. Dan orang-orang semuanya akan memandang mereka bangsa liar, yang hanya tahu menyelesaikan masalah dengan saling menebas darah!

Padahal kesalahan mereka ini, anak-anak sebegini hanyalah tidak tahu berbuat apa lagi selain ‘amuk’. 17 orang ini, akan aku didik menjadi manusia yang sebenar-benarnya manusia. Aku tidak mengambil upah walau satu sen. Itulah pondok kami, yang aku namakan Sekolah Peribadi”. Aku diam. Aku kagum? Ya, aku!

Hari sudah mula tersinggung, mentari perlahan bersembunyi, menuruni sela lembah. Bebenang kekuningan yang tadinya menghiasi langit sedikit-sedikit memudar. Puluhan unggas bergegas pulang, menandakan hari sudah cukup.

“Senja ini akan perlahan disambar malam.” Bisikku perlahan.

Lalu ku-pegang lagi bahu Karman,

“Menjadi pemerintah, tidak pernah salah Man. Takdir memberikan mereka kuasa untuk begitu, untuk memerintah. Kata guruku, selepas Tuhan, yang paling berkuasa di dunia ini ialah pemerintah.”

Karman tersenyum, selepas seharian panjang, ini ialah seni senyuman pertamanya yang dia hulurkan kepadaku. Karman berdiri,

“Aku menghormati mereka, aku taat. Cuma aku tidak tunduk pada ketidakadilan. Mereka diangkat untuk memperjuangkan itu, dan kita jelata biasa sedang turut membantu mencerahkan masyarakat. Walau hanya dengan duduk menakung ilmu di pondok kecil itu, bersama 17 orang anak-anak itu. Mereka akan keluar dan mencari 17 orang anak-anak lainnya, dan begitulah seterusnya. Urusan menyampaikan itu kerja kita, urusan memandaikan dan memahamkan pula kerja langit. Selebihnya pemerintahlah, sediakan landasan buat mereka.”

Aku berdiri, mengangguk sambil menepuk bahu Karman.

“Kau, Man. Sudah seperti Paulo Freire. Teringat aku kisah 1960-an, ketika keresahan besar berlaku di negara Brazil itu. Mahasiswa, buruh, seniman dan petaninya digerakkan untuk tujuan politik. 34.5 juta penduduk dan hanya 15.5 juta sahaja yang ikut mengundi di pemilihan umum. Sementara yang lainnya tidak, kerana apa? Buta huruf! Program mengenal huruf digunakan untuk kepentingan golongan itu.

Dan kau, tidak Karman. Kau, seorang Freire yang menyedari perkara ini, lalu kau melawannya. Kagum!”. Karman mendengar dan kali ini ia tertawa besar, “Hahaha.. Bal, Bal. Sudah, aku mahu menghantar anak jiranku ke seberang sungai sana.” 

“Untuk apa?” Aku menyahut. 

Karman menepuk bahuku semula, “Di sana sahaja ada jaringan internet, Bal. Dia perlu menyiapkan tugasan sekolahnya, Hahaha..”

 

***

-Tamat-

Disediakan oleh,

Ilham bin Yusuf

 

Leave a Reply

Loading…

Bagaimana Mengekalkan Motivasi Dalam Membaca?

Warkah Generasi Tani