Bukan mudah untuk berdakwah dengan hikmah. Silap cara, jadi terlampau berlembut ataupun boleh jadi menghukum. Namun, perkara asas yang perlu dilakukan para pendakwah adalah menyelidiki dan mengenal pasti sasaran terlebih dahulu. Sikap ghairah ingin berdakwah sememangnya bagus, tetapi perlu diawali dengan persediaan rapi dan dilengkapi ilmu pengetahuan supaya lebih berkesan. 

Pengetahuan bukanlah melibatkan ilmu agama semata-mata, ilmu psikologi juga harus diambil kira. Kebanyakan manusia tidak suka merasakan dirinya salah walaupun mereka memang benar salah. Perlu ada cara untuk mendekati terlebih dahulu, selalunya menerusi apa yang mereka minat. 

Ada yang minat menonton filem Hollywood, ada yang suka mendengar lagu-lagu pop barat, ada yang gemarkan anime dan manga Jepun, dan kini K-Pop serta drama Korea sangat-sangat popular di seluruh dunia, termasuklah di kalangan golongan Muslim. Sememangnya Islam tidak menghalang hiburan, namun hiburan yang menjauhkan diri daripada Allah adalah dilarang sama sekali. 

Niat baik para pendakwah untuk mencegah masyarakat Muslim terutamanya golongan muda daripada menggemari hiburan sebegini sememangnya wajar. Namun pada pendapat saya, kaedah untuk menegur boleh diperbaiki. Contohnya ketika penyanyi Billie Eilish datang mengadakan konsert di Malaysia, rakyat Malaysia termasuk yang beragama Islam ada yang sanggup beratur dari sebelum Subuh. Sesetengah pendakwah menyerkap jarang yang mereka semua tidak bersolat Subuh lalu menambahkan keyakinan sesetengah Muslim yang para pendakwah hanya mahu menghukum.

Begitu juga dalam menegur supaya jangan taasub dengan K-Pop contohnya, ada pendakwah yang terus membuat andaian menggunakan hujah bahawa semua artis K-Pop menjalani pembedahan plastik dan hidup dalam kepura-puraan. Pendakwah perlulah membuat sedikit ulangkaji tentang artis-artis ini. 

Lirik lagu Billie Eilish contohnya banyak menyentuh masalah sosial dan mendekati masalah penyakit mental. Artis K-Pop seperti BTS contohnya mempunyai etika kerja yang sangat bagus. Mereka menepati waktu dan berdisiplin serta sentiasa berlatih untuk memperbaiki mutu persembahan. Ada sebab kenapa mereka begitu berjaya.

Benar, kejayaan mereka hanyalah kejayaan dunia. Walaupun mereka lantang memperjuangkan masalah sosial, tidak dinafikan nilai dan paksi mereka bertunjangkan akal. Hingga menyokong cinta sesama jenis dan menentang fitrah manusia. Tetapi tidak hairanlah kerana mereka hidup untuk dunia sahaja, berbeza dengan kita. Mungkin sahaja mereka akan diberi hidayah suatu hari nanti, hanya Allah Yang Maha Tahu.

Apa yang harus ditekankan dalam berdakwah, adalah pentingnya kita sebagai Muslim menjadikan akhirat sebagai tujuan utama. Oleh itu, apa-apa hal dunia yang tidak bermanfaat termasuk hiburan melalaikan perlu ditinggalkan semampu mungkin. Ajaklah mereka ke arah cinta Allah dengan cara yang bukan membuatkan mereka lari. Usah membuat spekulasi seperti memukul rata bahawa semua hiburan yang mereka gemari dikuasai oleh golongan tidak bermoral dan tiada sebarang kebaikan. 

Terangkan bahawa kebaikan yang Islam ajarkan menyasarkan akhirat. Apa-apa yang kita nikmati di dunia ini tidak bermakna langsung jika di akhirat kita menerima seksaNya. Bukan kerana kita yang berdakwah ini lebih baik, tidak sama sekali. Tetapi kerana kita mahu sama-sama mengecapi kebahagiaan abadi. 

Disediakan oleh:

Nur Idawati Md Enzai,

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.