in

Adakah Kita Benar-benar Bertakwa?

Seseorang yang mengaku sebagai Muslim belum tentu ia benar-benar bertakwa kerana mahu mencapai rasa takwa bukanlah suatu perkara yang mudah. Boleh jadi cuma sekadar di lisan namun jauh sekali dari perbuatan.

Apakah hakikat takwa yang sesungguhnya? 

Ulama terdahulu Musa bin A’yun rahimahullah mengatakan: 

“Orang yang bertakwa adalah orang-orang yang membersihkan diri mereka dari sesuatu yang halal, takut akan terjerumus kepada hal-hal yang haram, maka Allah menamakan mereka al Muttaqun [orang-orang yang bertakwa]”

Thaliq bin Hubaib rahimahullah berkata,

“Bertakwa itu ialah melakukan ketaatan kepada Allah dengan cahaya-Nya kerana mengharap pahala-Nya dan meninggalkan kemaksiatan kepada Allah dengan cahaya dari-Nya kerana takut azab-Nya.”

Seorang Muslim yang bertakwa bukan sekadar menjaga dirinya dari yang haram secara terang-terangan. Namun juga berupaya memelihara dirinya ketika berseorangan. Maksudnya di sini adalah dia tidak akan bermaksiat kepada Allah walaupun tiada sesiapa yang melihat perbuatan dosanya itu.

Begitu banyak insan yang mampu mencegah dirinya dari berbuat kemungkaran ketika berada di khalayak ramai tetapi tega melakukannya saat bersendirian. Dia lupa bahawa Allah sentiasa mengawasi tingkah lakunya. Manusia lain tidak melihat tapi Allah itu Maha Melihat.

Apabila seseorang itu belum sampai pada peringkat takwa yang hakiki maka di situlah dosa besar pun dianggap sebagai sesuatu yang remeh. Sebagai contoh suka memberi atau menerima rasuah, gemar menonton pornografi, zina dianggap sebagai bukti cinta dan seumpamanya. Dimana semua perbuatan buruk itu biasanya dilakukan secara tersembunyi dan jauh dari pandangan manusia.

Demikianlah bahana apabila manusia hilang rasa malu dan takutnya kepada Allah. Tidakkah ia berfikir sekiranya Allah mencabut nyawanya dalam keadaan ia berbuat dosa tersebut? Na’udzubillahi min zaalik.

Marilah kita contohi sifat takwa dari Nabi Yusuf alaihissalam. Ketika baginda digoda oleh seorang wanita yang rupawan serta kaya raya dalam keadaan yang amat tersembunyi dari penglihatan manusia. Boleh saja sekiranya ia menuruti kehendak si wanita itu, bukankah tiada seorang insan pun yang menyaksikan perbuatan mereka kelak?

Akan tetapi, kerana sifat takwa baginda yang begitu tinggi terhadap Allah SWT, maka Allah menyelamatkan baginda daripada tipu daya syaitan dan wanita itu. Jadilah baginda seorang pemuda yang mulia lagi suci kehormatannya.

Terdapat lagi satu kisah yang tak kalah hebatnya iaitu seorang wanita penjual susu beserta anak perempuannya.

Secara ringkasnya, pemimpin pada masa itu adalah Umar bin Khattab r.a. Beliau merupakan seorang yang sangat prihatin terhadap rakyatnya terutama golongan miskin. Setiap malam pasti beliau meronda secara senyap untuk memperhatikan apa saja aktiviti rakyat atau sesiapa saja berada dalam serba kekurangan.

Pada suatu malam, beliau dan seorang pembantunya melakukan rondaan malam seperti biasa. Ketika mereka melalui sebuah rumah yang kecil lagi usang. Umar r.a merasa curiga melihat lampu di dalam rumah itu masih menyala. Ternyata penghuni rumah itu masih belum tidur.

Beliau pun mendekati rumah tersebut dan cuba untuk mendengar perbualan penghuni rumah tersebut iaitu perbualan antara seorang ibu si penjual susu dan anak perempuannya.

“Wahai ibu, kita hanya dapat beberapa bekas susu sahaja untuk hari ini.” tutur anak perempuan itu kepada ibunya.

Lalu ibunya pun mencadangkan agar menambahkan saja air ke dalam susu agar bertambahlah kuantitinya dan mereka dapat berniaga susu dengan lebih banyak.

Tetapi apa yang berlaku selepas itu?

Si anak menjawab, “Jangan ibu. Sesungguhnya khalifah sangat melarang kita menjual susu dengan mencampurkan air ke dalam susu.”

Ibunya lalu membalas,” tapi bukankah khalifah tiada di sini dan tidak melihat apa yang kita lakukan.”

“Wahai ibu, walau tiada seorang pun yang melihat kita tapi ada Allah yang Maha Melihat. Allah pasti mengetahui segala perbuatan kita meskipun kita berusaha menyembunyikannya.”

Masya-Allah. Betapa dahsyatnya sifat takwa yang tertanam dalam diri anak perempuan itu. Kendatipun dia masih muda tapi pegangan agamanya sangat kuat. Membuat hati ibunya sentap.

Pada akhirnya, anak Umar bin Khattab iaitu Ashim meminang anak perempuan si penjual susu tersebut. Ia berasa takjub dengan kejujurannya.

Akhirul kalam, tiada yang sia-sia apabila kita bertakwa kepada Allah melainkan kebaikan akan berbalik semula kepada diri kita sendiri. Kekuasaan Allah tidak akan berkurang, kehebatan-Nya takkan terancam sekiranya kita enggan bertakwa kepada-Nya. Namun sebaliknya kita lah yang akan binasa seandainya kita meninggalkan Allah dan hilang rasa takut kepada-Nya.

Disediakan oleh: Shafiyyah

Berdakwah Bukan dengan Marah-marah

Adakah Membaca Memberi Ketenangan?